i.
Dua malam
sebelum persembahan Asiah Samiah bermula, saya sedang risau memikirkan beberapa perkara, terutama tentang cadangan asal melakukan persembahan arena tetapi tak efektif kerana lompong di bahagian prosenium ET melemahkan lontaran vokal pelakon. Dalam keserabutan itu, abang Toemoe
berkata sesuatu kepada saya. “Lenny, kalau arwah Nasri ada, senang kerja
engkau. Tak adalah Lenny kena ambil tahu pasal teknikal”. Saya tergelak saja
waktu itu, sebab saya sebenarnya sedang berfikir perkara yang sama.
Sehari sebelum persembahan pembukaan pula, saya ke hulu ke hilir memikirkan hal menutup ruang prosenium, dibantu dengan efektif oleh Along Purple yang menguruskan hal-hal
set dan prop. Setelah semuanya selesai, Along membuka mulut, “kak, saya teringat arwah abang
Nasri. Kalau dia ada kak Lenny tak payah ke hulu ke hilir buat benda lain. Mesti
korang tengah duduk bertekak kat sini. Saya dah biasa dah tengok tu, dah ready
dah tiap kali produksi.” Dan saya ketawa lagi, saya beritahu Along, “itulah
pasal kan Along. Ingat lagi engkau”.
Dulu kalau
saya mengarah, Nasri akan menguruskan hal teknikal. Saya hanya perlu komplen
saja kepada dia apa yang saya tak puas hati, dan semua akan selesai. Kadang-kadang kami bergaduh pasal
kerja, tak kiralah gaduh kecil atau besar, yang penting masalah selesai. Along
Purple adalah antara orang yang banyak bekerja dengan kami terutama sejak 10 tahun kebelakangan ini, jadi dia ada
ingatan yang mendalam pada arwah, dan sangat memahami cara kami bekerja.
ii.
Pada suatu
masa dahulu, saya bertanya pada Nasri, apa saya perlu buat untuk menjadi
seorang pengarah yang berkesan. Nasri beritahu supaya saya
mengubah beberapa sikap saya, terutama sikap panas-baran dan kuat melenting. Nasri juga yang memberitahu saya bahawa seorang pengarah
bukanlah manusia yang paling pandai dalam produksi. Tapi seorang pengarah mesti
tahu apa yang dia mahu untuk menjadikan produksi itu berhasil. Seorang pengarah juga adalah pakar strategi dan juga decision maker, jadi segala strategi dan keputusan yang diambil haruslah yang memenangkan produksi.
Dahulu saya
selalu kecil hati, kerana setiap kali saya melakukan kerja pengarahan, saya
terlindung di sebalik bayang-bayang Nasri. Pernah sekali seorang kawan kami berjumpa saya selepas persembahan Melati & Melur (2007). Kawan itu berkata “ini
Nasri yang buat kan?” Saya cakap, “saya mengarah ni.” “Yalah, tapi Nasri yang
buat kan?” Perbualan itu rupanya sangat menyakitkan hati saya. Ditambah lagi dengan
kenyataan seorang “tokoh teater”, bahawa “Marlenny tu penulis bukannya pengarah.
Yang pengarah tu Nasri”. Rasa hati nak
menjawab tapi Nasri nasihatkan saya supaya tidak memanjangkan isu itu kerana statement
itu tak penting.
Berkenaan
hal panas-baran dan kuat melenting itu, Nasri beritahu saya selagi dia ada
mungkin orang tak akan mengata saya sangat sebab orang mungkin lebih takutkan dia.
Hanya dia risau pada satu hari nanti kalau dia tiada bersama saya, sikap-sikap sebegitu
akan membuatkan orang berkata yang tidak baik kepada saya, dan waktu itu dia
sudah tak dapat melindungi saya lagi.
iii.
Pada malam terakhir
sebelum persembahan, abang Hamdan duduk dengan saya. Dia menyebut yang dia
melihat kekuatan (pengaruh) arwah Nasri ada bersama saya dalam kerja pengarahan kali ini.
Saya tersenyum, mengangguk dan bersetuju dengan abang Hamdan. Manakala sebelum
kami semua berpisah di akhir persembahan, kak Juhara datang pada saya dan
memberitahu “Lenny, kalau arwah Nasri ada, dia mesti bangga dengan Lenny
sekarang”. Saya cakap, “kak Ara, saya nak nangis ni.” Kemudian kak Ara cakap
lagi, “kak Ara selalu terfikir, dengan siapalah Lenny berbincang kalau balik
rumah tiap-tiap malam lepas latihan”. Waktu itu air mata saya sudah nak tumpah
ruah, tapi saya hentikan cepat dan peluk kak Ara lama-lama. Saya tak suka
menangis di hadapan orang ramai sebab nanti saya susah nak berhenti kalau dah
mula menangis.
Ada satu hal yang
mereka tak tahu, selepas kejadian Along Purple berkata demikian (rujuk perenggan kedua di atas), saya mencari kawasan panggung paling gelap. Ketika itu muzik
sedang bergema kuat kerana sound check sedang dijalankan, lalu saya menangis teresak-esak
di kawasan paling gelap itu. Menangis seperti saya selalu menangis di hadapan
Nasri ketika saya berada di kemuncak kesedihan, dan meluahkan perasaan di
hadapannya, begitulah saya lakukan di sudut paling gelap itu – tapi berseorangan
diri. Ketika itulah saya tersedar, rupanya saya masih boleh menangis apabila menyebut namanya.
iv.
Begitu kuat
ingatan dan kasih sayang kami kepadanya. Sudah lebih setahun setengah dia
pergi, dan setiap kali saya masuk ke studio untuk memulakan latihan dan apatah
lagi memijak panggung, setiap kali itulah ingatan kepadanya semakin mendalam.
Bukan sahaja saya, malah orang-orang di sekeliling saya. Sentiasa ada cerita
yang menyebabkan kami menyebut namanya. Selalunya cerita kelakar, yang membuatkan
kami ketawa beramai-ramai. Walaupun sayu, tetapi saya senang mendengar namanya disebut-sebut.
Catatan ini
terhasil kerana lewat petang tadi saya bercakap dengan sahabat saya Ramzi suami
kak Dot yang juga sahabat baik arwah. Asalnya kami bercakap hal kerja, di akhir
perbualan Ramzi menyebut “ging, waktu menonton Asiah Samiah, aku boleh rasa dan
nampak arwah di sana.” Ada sebak di hujung suara Ramzi ketika memberitahu
hal itu, dan saya jadi emosional.
Salah
seorang pelakon saya bernama Nil memberitahu saya selesai semua persembahan. “Doktor,
saya tak pernah jumpa pengarah setenang doktor. Doktor memang tenang gila”.
Saya senyum dan angguk saja. Dalam hati saya berkata “tengok bang, saya dah tak
panas-baran dan tak kuat melenting lagi macam dulu.” Anehnya, ketika dia hidup seperti susah dia nak mengawal saya kalau bukan sering berakhir dengan pertengkaran. Tetapi setelah dia tiada, segala nasihat dan kata-katanya membayangi dan memandu saya dalam setiap apa saja yang saya lakukan. Seperti dia masih menjaga dan melindungi saya dari dimensi yang berlainan.
Saya
menonton dengan setia kelima-lima persembahan Asiah Samiah. Saya mencapai
katarsis sendiri dalam diri saya. Ketika watak-watak tragik itu menangis di
atas pentas, saya menumpang tangisan mereka untuk melepaskan lara hati sendiri.
Tak pernah saya enjoy menangis sebegitu selama 3 hari 3 malam.
Kehilangannya
sebagai seorang sahabat sejati lebih menyakitkan.
No comments:
Post a Comment