Tuesday, December 4, 2018

TRAVELOG: "MENEMUI" PULAU BESAR - BAHAGIAN 2

JADI petang itu kami ambil keputusan untuk melihat matahari terbenam di pantai sebelah sana. Setelah bertanyakan jalan dengan orang, kami perlu melintasi satu padang golf untuk turun ke sebelah barat. Rupanya ada usaha membangunkan sebuah resort dengan padang golf sekali untuk tujuan pelancongan. Saya tak berkesempatan mengetahui kisah tentang resort dan padang golf ini kerana nampak seperti ia terbiar, mungkin nanti pada kunjungan yang lain.

Okay, dijadikan cerita kami tersilap arah waktu nak merentas padang golf. Sepatutnya terus ke hadapan tapi kami membelok ke kiri. Kemudian terjumpa satu pondok kecil, ada sepasang suami isteri sedang menjaga pondok berkenaan yang dipenuhi jualan seperti kain dan ada bunga-bunga. Pondok ni macam pondok yang selalu kami buat kalau ada adegan berjualan dalam pementasan bangsawan Melayu. Beberapa meter daripada pondok itu pula ada satu lubang perigi, Zila beritahu saya ini perigi Nenek Kebayan.

Tempayan yang disangka perigi.
Saya menyapa kakak yang menjaga pondok itu, ke mana arah menuju pantai. Dia menunjuk arah yang betul dan kami ucapkan terima kasih. Namun sebelum kami bergerak menuju arah yang betul, sekilas mata saya memandang hamparan kain di atas tanah di depan pondoknya. Sebelum itu kami tanya pada kakak itu, apa cerita perigi berkenaan. Kakak yang kemudian mengenalkan namanya sebagai Ummi Noor itu, memberitahu itu adalah tempayan nenek Dang Wangi. Tempayan itu ditanam dan membawa kepada kedalaman dua tingkat lagi di bawah tanah. Malah dahulu ada tangga yang dibina untuk membolehkan orang turun ke bawah. Katanya setelah nenek Dang Wangi menanam tempayan berkenaan, Allah Taala pancutkan mata air yang memenuhi tempayan itu (beginilah sebiji ayat yang dituturkannya). Ramai orang datang bernazar membaling duit syiling dan sebagainya ke dalam tempayan berkenaan. Ramai juga orang yang datang untuk mengambil balik barang-barang berkenaan.

Inilah kubur Dang Wangi, ditutup dengan hamparan kain yang ditaburi bunga bunga.
Kemudian saya menghampiri pondok itu dan bertanya apakah di sebalik hamparan kain di atas tanah itu. Ummi Noor berkata ia adalah kubur nenek Dang Wangi. Di atasnya ditabur bunga-bunga wangi dan nampak ia memang dijaga dengan sesungguh hati. Saya tanya, "Dang Wangi?" Ummi Noor kata, "Ya, Dang Wangi isteri Hang Jebat." Saya rasa waktu tu tanduk kreatif saya tumbuh di kepala dan radar Bangsawan pun diaktifkan hahaha... Tapi perbualan tentang nenek Dang Wangi terhenti sekejap sebab dia menyebut tentang Keramat Ular. Rupanya waktu tersilap arah tadi kami menuju ke arah Keramat Ular. Dinamakan berkenaan sebab bentuk batu di kawasan itu serupa kepala ular. Ia adalah tempat pendekar bertapa dan berzikir, seperti pendekar Lidah Hitam. Saya dan Zila berpatah semula untuk melihat Keramat Ular.

Batu berbentuk kepala ular tempat para pendekar duduk bertapa dan berzikir.
Di hadapan Keramat Ular, saya tanya Zila, siapa Ummi Noor ini sehingga dia sanggup menjaga kubur Dang Wangi di tengah-tengah tempat seperti itu. Ia bukan tapak perniagaan, jauh dari pantai dan sudah pasti tiada faedah atau sebarang tujuan keuntungan. Ia nampak menjaga kubur berkenaan dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab.

Zila jawab, "Kau tanyalah!"

Maka kami pun pergi semula ke pondok berkenaan dan saya tanya terus-terang. Kenapa Ummi Noor jaga kubur ini? Ada kaitankah dengan Dang Wangi? Ummi Noor tersenyum sambil memandang suaminya yang dari tadi hanya duduk diam. Akhirnya dia menyatakan bahawa dia adalah keturunan Dang Wangi yang ke-9. Dari situ dia mula memberitahu saya tentang siapa Dang Wangi, kisah tentang fitnah orang kepadanya dan  Hang Jebat dan beberapa maklumat lain yang saya belum mahu kongsikan di sini.  Hanya yang disebutnya adalah Dang Wangi merupakan sepupu kepada Sultan Ariffin dan Dang Wangi juga adalah anak kepada Pendekar Lidah Hitam. Pendekar Lidah Hitam ini juga disebut sebagai Panglima Awang Hitam (Enrique of Malacca), anak Melayu pertama yang menemani Ferdinand Magellan belayar mengelilingi dunia. Katanya sekian lama dia berharap ada orang datang bertanyakan tentang hal ini kerana sejarah menyatakan hal yang salah. "Tapi siapalah kami hendak bercakap", katanya. Sehingga sampai satu tahap dia menangis.

Ummi Noor, wanita berpenampilan sederhana, bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris, sopan santun tinggi, lemah gemalai tutur kata, lembut budi bahasa. Katanya "terima kasih kerana nak bergambar dengan saya".
Memang kejadian ini sangat terkesan di hati saya. Tak sangka kunjungan ini membawa saya bertemu dengan seseorang yang mengakui dirinya keturunan ke-9 daripada satu-satunya wanita terakhir yang berada di sisi Hang Jebat sebelum mati di tangan Laksamana Hang Tuah. Malah mungkinkah Dang Wangi melihat pertarungan itu? Kami meluangkan masa mendengar cerita daripada mulut Ummi Noor. Cerita tak habis di situ dan kami janji akan datang di lain kali. Saya beritahunya saya akan datang lagi ke pulau ini khusus untuk bercakap dengannya mengenai kisah Dang Wangi yang lengkap, mungkin saya boleh hasilkan sesuatu yang kreatif daripada kisah ini.

Setelah bersalaman dan mengucapkan terima kasih, kami menuju ke pantai. Saya dan Zila mengulas kejadian itu. Ummi Noor sudah menghambakan dirinya di situ selama 30 tahun, tak termasuk zaman kecilnya sebelum dibawa melanjutkan pelajaran di luar pulau, dan kembali pula kemudiannya. Untuk apa, kalau bukan kerana kasih sayang dan cintanya kepada seorang Dang Wangi yang dipanggilnya nenek. Dan percayakah anda kalau kami katakan bahawa perawakan serta perwatakan Ummi Noor sangat lembut, berbudi bahasa, sopan-santun selayaknya wanita zaman silam? Entahlah kalau kami terlalu terpesona dengan kisahnya, tetapi saya dan Zila sependapat, dia ada semangat Dang Wangi dalam dirinya. 


Entahlah Lenny ...
Kami turun ke pantai, tapi cuaca tak membantu. Tak mungkin dapat lihat matahari terbenam, malah cahaya matahari pun kami tak nampak. Maka selepas berjalan-jalan dan ambil gambar, kami pun berpatah balik. Yang tragiknya waktu berpatah balik melintas laluan hutan, ada bunyi babi merengus. Saya dah separuh nak lari, tapi Zila suruh saya berhenti, kalau lari katanya nanti dikejar babi. Ini lawakkkkk.... sudahlah saya baru tengok video kisah hikers direnung singa dalam hutan hahahahaha... tapi kami selamat. Babi berkenaan baik.

Kemudian saya dan Zila luangkan masa lepak di tepi pantai daripada lepas Maghrib membawa ke tengah malam. Dari gerai tepi pantai membawa ke pinggir pantai betul-betul. Dari duduk di kerusi sampai duduk atas pasir. Kami bercakap macam-macam perkara, mengulas hal pulau itu. Kadang-kadang diskusi jadi ilmiah, kadang-kadang jadi bangang pun ada hahaha... dan kami juga bercerita hal-hal silam, peribadi, nostalgia, sesekali ada air mata keluar mengenang orang tersayang yang sudah pergi. Tetapi bercerita begitu sangat membahagiakan, saya membenarkan diri saya kembali ke masa lalu dan menyebut nama arwah suami berkali-kali dalam kenangan cerita-cerita yang manis. Si Zila pun layan aje kan ...

Jadi kami balik ke chalet malam itu dengan sangat penat sampai tak dapat membezakan suis lampu dan plug socket. Yang penting tidur dengan tekad akan bangun besok pagi melihat matahari terbit.

Tapi ...

Mimpi ajelah .... bangun tengahari kau ... hahahhahahahaha...

Chalet D'Puteri Kurnia Resort yang dibangunkan dengan terancang
Tapi tak apalah, matahari terbit bukanlah fenomena yang asing sangat dalam dunia ini. Duduk di PD nanti pun boleh tengok, kerana nilai sejarah dan cerita yang kami peroleh di pulau ini jauh lebih berharga. Kami bangun dan berkemas, berjalan sekejap di tepi pantai dan makan. Kemudian kami pergi ke masjid untuk solat Zuhur. Waktu itu sudah jam 1.30 tengahari.

Ketika itu ada sekumpulan pelawat lain sedang bergendang dan berselawat di perkarangan masjid. Meriahnyalah. Betapa syahdunya solat di tengah alunan selawat dan pukulan gendang. Rasa nyaman hati, terasa betul berkahnya tanah ini.

Mereka bergendang dan berselawat
Waktu itu kami sudah menghubungi abang Abu untuk datang mengambil kami. Tapi sebelum itu kami mengunjungi Imam Ahmad di pejabat masjid untuk mengucapkan terima kasih atas pertolongannya kepada beberapa urusan kami. Dapatlah kami meluangkan masa di hadapan Imam Ahmad, yang sempat memberikan tazkirah kepada kami tentang tawassul, tabarrukh dan istighotsah. Betapa mendalamnya tazkirah beliau sehingga saya sebenarnya sudah mengeluarkan air mata kerana terlalu tersentuh.

Imam Ahmad mengingatkan kami betapa nipisnya sempadan kelakuan syirik dalam diri manusia. Orang yang terang-terangan melakukan maksiat itu sudah tentu ada penjelasan syiriknya. Rupanya orang yang menjaga solat dan ibadah juga ada kelakuan syirik dalam dirinya, khususnya apabila sudah mencapai tahap riak, ujub, sum'ah dan takbur terhadap ibadah yang dilaksanakannya. Penjelasan imam ini sebenarnya menjawab beberapa soalan dalam diri saya, bahawa kenapa solat dan ibadah tidak juga menjadikan sesetengah manusia itu baik, malah semakin dibenci.

Manakala apabila Imam mendapat tahu saya dan Zila sudah 20 tahun bersahabat, Imam menasihatkan kami supaya bersahabat kerana Allah dan semoga persahabatan ini membawa kami ke syurga. Insya Allah amin ya Rabb.

Demikianlah penutup kunjungan pertama saya ke pulau ini. Sebelum berlepas pulang kami sempat mengunjungi sekali lagi makam Sultan Ariffin membacakan Al-Fatihah, mengenang jasanya menyebarkan syiar Islam, mengharap pada Allah semoga kunjungan ini memberikan manfaat kepada diri kami.

Akhirnya watak abang Abu pun muncul. Dan tangga tertanam kukuh di dalam pasir hahaha....
Abang Abu sampai, kami naik semula ke atas bot. Saya beritahu Zila nanti saya nak datang lagi, kali ini misi mencari Dang Wangi hahaha ... Yang kami tak sempat kali ini adalah melawat muziumnya, juga tak sempat ke Gua Yunus, Batu Belah, dan Zila tak sempat mandi pantai dan saya tak sempat mandi air perigi. Tapi saya kata muzium dan hal-hal lain itu boleh tunggu lain kali, yang penting kami dapat bertemu dengan sumber-sumber hidup yang ada di Pulau Besar.

Sukar untuk saya nyatakan karakter Pulau Besar dengan perkataan kerana saya melihat ada dua kepercayaan yang saling bertembung di situ. Satu pihak percaya bahawa keberkatan tanah itu datang seiring dengan sifat keramat jasad alim ulama, yang mana ia telah memberikan asbab kepada pemulihan diri, rohani dan jasmani kepada manusia-manusia yang pernah datang mendapatkan bantuan. Manakala satu pihak lagi terang-terang menolak amalan berkenaan, dan terus bercakap mengenai hakikat manusia dan sifat hamba kita kepada Allah, bahawa semua doa harus ditujukan langsung kepada Maha Pencipta tanpa sebarang perantara. Kontradik sekali bahawa kedua-dua pihak ini adalah umat Islam yang mengucapkan syahadah yang sama.

Saya tiada persepsi negatif kepada mana-mana pihak kerana mereka pun aman-aman saja berkongsi tanah yang sama. Saya memakai kasut seorang penyelidik, dan pertimbangan akal adalah pakaian saya dalam menjustifikasi sebarang maklumat. Saya berpaut kepada sumber, dan saya percaya perlakuan manusia ditentukan oleh zaman yang mereka rentasi. Saya hanya jatuh cinta dengan takdir Allah kepada semua manusia, yang kemudian diberiNya hidayah untuk meneroka dunia mencari hikmah dan kembali fitrah.


Ketika bot bergerak menjauhi pantai Pulau Besar, saya katakan dalam hati, "kutinggalkanmu sebentar. Nanti datang lagi." Insya Allah.

Muka lega di Jeti Umbai lepas terlambung-lambung dalam bot yang laju gila.
Gambar hiasan.
Inilah kucing yang ikut kami berjalan di Pulau Besar.









No comments: