Sunday, December 30, 2018

SETELAH BERLALU 365 HARI

SESUATU berlaku ke atas diri saya pada tahun 2018. 

Pemergian arwah suami saya M.Nasri Ayob ke rahmatullah pada 3 Mei telah membayangi semua hal yang terjadi pada tahun ini. Kisah-kisah lain menjadi tidak penting, kerana walau apa pun yang berlaku dalam hidup saya sepanjang tahun ini, hakikat kepergiannya masih menjadi imej-imej yang berputar dalam fikiran saya setiap hari. 

Hanya setelah selesai pementasan Bangsawan Zhao Si Anak Yatim saya menjadi lebih lega. Mungkin kerana ini adalah projek terakhir yang belum sempat arwah laksanakan, dan dengan bantuan adik-adik yang saya sayangi, pementasan ini akhirnya dapat dilakukan. Walaupun ketika saya pulang ke rumah selesai persembahan malam pertama, saya terpaksa duduk dalam kereta selama lebih setengah jam sebelum dapat masuk ke dalam rumah. Saya menangis. Terlalu banyak perasaan ingin saya luahkan ketika itu. Saya ingin meluahkan kegembiraan dan kebanggaan saya atas usaha ini, tetapi tanpa arwah di sisi, saya hanya mampu menangis. 

Apa yang saya lalui tahun ini memang dahsyat. Enam bulan pertama selepas pemergian Nasri, hidup saya sangat tragik. Hanya sahabat-sahabat yang rapat saja yang tahu dan menyaksikan betapa sukarnya saya melangkah keluar daripada zon depresi. Tapi alhamdulillah kasih sayang Allah sentiasa ada. Dihantarkannya saya manusia-manusia baik yang sentiasa bersedia membantu meringankan tekanan dan penderitaan saya, sehingga saya dapat bangkit semula dan keluar daripada dunia yang murung dan hiba. 

Begitulah perjalanan hidup kita dari tahun ke tahun diselang-seli dengan kisah sedih dan gembira, persilihannya tanpa gagal, selagi nyawa dikandung badan. Ibarat pergantian siang dan malam, panas dan hujan, maka peristiwa jatuh bangun dalam hidup kita itulah yang melengkapkan diri kita sebagai seorang manusia.

Di akhir setiap tahun, kita akan menyedari bahawa dalam kita berhasil mencapai sesuatu, kita juga mungkin mengalami kehilangan. Kita bertemu kawan baru dalam hidup, dan kawan lama pergi meninggalkan kita. Sungguhpun sedih, tetapi  hakikat redha itu saya fahami. Mereka yang pergi itu telah selesai berurusan dengan segala madu dan racun dunia. Kita yang masih hidup ini perlu meneruskan perjuangan hingga dapat kita kembali kepada fitrah yang kita janjikan kepada Allah sejak dari alam Rahim.

Selamat tahun baru kepada para pembaca blog ini. Semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindungan dan kasih sayang Allah. Semoga kita menjadi semakin baik daripada masa lalu, lebih teliti berfikir dan bertindak, lebih seimbang rohani dan jasmani. Semoga semua tekad kita diiringi kebijaksanaan, dan semoga segala pengalaman yang kita lalui menumbuhkan kematangan. Semoga kita terhindar dari kezaliman dan tidak juga menzalimi diri-sendiri. Jauhkan diri kita dari sikap perkauman dan diskriminasi kerana ia adalah perbuatan zalim dan buruk sekali.

Insya Allah pada 2019 nanti saya akan cuba menulis blog dengan lebih kerap dan konsisten. Semoga catatan saya dapat memberi manfaat kepada diri anda yang sudi meluangkan masa membacanya.


Saya akan terus hidup dan menghargai kenangan, sungguhpun kenangan adalah satu peperangan untuk mengingati dan dalam masa yang sama, melupakan.

No comments: