Sunday, June 17, 2018

PERANCANGAN TAK KESAMPAIAN

Pagi tadi saya lawat lot tanah di kampung yang saya rancang mahu perlahan lahan dirikan rumah bermula tahun hadapan. Ini persediaan kecil daripada perancangan besar saya untuk kembali menetap di Sabah pada masa hadapan. Arwah suami dah rancang balik raya tahun ni dia nak tanam pokok di setiap penjuru tanah. Dan dia sanggup balik kerap untuk bersihkan dan bangunkan tanah ini.  Kami juga sudah merancang design rumah yang bagaimana,  dan dia merancang mahu menanam pokok apa.

Arwah sukakan kehidupan di Ranau. Dia suka merenung dan menghayati puncak Kinabalu,  dan dia boleh describe masa bila puncak akan terang atau dilitup kabus.  Dia pernah beritahu saya yang dia mahu menghabiskan hayat di sini,  dikebumikan di sini.  Tapi perancangan Allah rupanya lain.

Saya sangat rindukan dia,  dan segala perancangan masa hadapannya. Dia sangat suka balik ke Sabah, kerana kesibukan Kuala Lumpur sudah semakin menjauh dari hatinya.

Keluarga di sini juga sangat merinduinya.  Pada malam takbir abang sulung saya menyebut "tiada lagi orang nak bakar lemang" kerana setiap tahun ketika masih sihat dia yang akan uruskan hal lemang, dari mencari buluh,  memasukkan beras,  membakar,  mengangkat,  hingga memotong untuk dihidangkan.  Bagaimanalah orang tak rindu.  Dan mereka mengingati sikap sikapnya yang tak banyak bercakap,  sangat relax,  dan cool sahaja. Kalau berkumpul semua adik beradik ipar duai,  dia adalah orang yang akan duduk di satu spot mendengar semua orang bercakap sambil tersengih sengih.  Sesekali dia menyampuk akan keluar punch line,  tapi orang tak tau dia melawak atau serius.  Sampai mereka melawak kalau waktu gempa bumi dia ada di Ranau mesti dia orang terakhir keluar dari rumah sambil relax relax.

Saya hanya ketawa dalam rindu yang sarat.

Tak mungkin dapat saya beranjak daripada semua kenangan ini, kepada dia kekasih yang disayangi,  dan suami yang dicintai.  Semua yang saya pandang,  dengar,  dan rasa,  semua mengingatkan saya pada jasadnya.  Hingga hari ini saya masih belum kuat melihat gambar lama,  terasa dia masih hidup,  berada di mana mana.

Redha,  sudah saya lepaskan dia ke dunia yang lebih benar.   Tapi rindu ini sangat menyakitkan. Semoga rindu dan kasih sayang ini sampai kepadanya di alam sana. Al fatihah.

No comments: