Thursday, June 14, 2018

KEMBALI KE ASAL - SALAM AIDILFITRI

SAMPAI rumah di kampung, benda pertama yang saya lihat ketika masuk ke dalam bilik adalah baju-baju Melayu arwah suami yang bergantungan. Itu saja dah buatkan saya terduduk. Bajunya di sana-sini. Memang dia gemar meninggalkan pakaiannya di sini, sebab dia tak mahu bawa beg berat naik kapal terbang. Jadi apabila saya ambil semua baju itu dan lipat satu-satu untuk masukkan dalam almari supaya tak nampak di mata, maka empangan pun pecah haha... tak taulah apabila mendengar takbir malam esok. Dulu terakhir menangis dengar takbir waktu raya seorang di Melbourne. Rasanya tahun ni mau lagi tragik.

Saya tak akan menipu bahawa saya gembira tahun ini. Tapi insya Allah saya okay. Melati dah cuba semua baju raya tadi, siap posing suruh atuknya ambik gambar. Dan dia balik balik cakap tak sabar nak raya. Jadi saya tak mau spoil mood dia. Apabila bercakap pasal baju raya, dia beritahu orang yang "mama tengah bertubung (berkabung), jadi mama tak ada baju raya tahun ni".

Semalam sewaktu dia duduk di beranda rumah, tempat arwah ayahnya selalu duduk memandang Kinabalu, sekian lama tak bercakap apa-apa tentang ayahnya, tiba-tiba Melati cakap, "mama, nanti kita pergi kubur ayah baca Yassin". Saya tanya, "rindu ayah ke?" Dia jawab selamba, "taklah". Emotionless. Memang berbeza cara kami menangani kehilangan ini. Memang nampak saya lebih sedih, tapi saya risau dia lebih sakit. Atau mungkin dia hanya seorang yang ekspresif. Menyerlahkan emosinya hanya apabila merasakan mahu - itu betul-betul sikap Nasri. Tak drama queen seperti saya. 

Dan tahun ini melalui emak saya, ayah saya beritahu yang dia dah bayarkan zakat untuk saya dan Melati. Saya tanya kenapa bayarkan? Kemudian saya teringat, saya kini sudah "kembali" kepadanya. Dalam keadaan sekarang, lelaki yang saya harus taati semula adalah ayah saya. Dan dalam beberapa hari berada di Sabah ini, saya ke sana sini dengan abang sulung dan adik lelaki saya. 

Saya kembali ke asal. 

Inilah realiti yang mencubit saya sehingga pedih dan sedih. Kepulangan kali ini sangat sakit. Air mata saya menjadi terlalu murah dan mudah di sini. Rupanya sepanjang berada di Kuala Lumpur saya menekan perasaan sedih saya hingga ke dasar paling dalam, tapi di sini saya tak dapat menipu lagi. Adakalanya saya baru sedar yang saya rupanya sesedih ini. Tidaklah saya ini kuat sangat seperti yang dikatakan oleh kawan-kawan yang terkejut melihat saya kembali bekerja dalam masa yang singkat. I am an actor, remember? Sigh.

Okay, selamat hari raya semua yang membaca. Insya Allah saya okay. Hanya dalam masa emosi masih bak roller coaster ini saya mahu terus menulis tentangnya, supaya saya selalu mengenang perasaan ini. Tak ada apa-apa ucapan. Hanya mendoakan semua orang selamat dan gembira. Nanti saya ceritakan kalau saya menangis di pagi raya atau tak hahaha... 

No comments: