Saturday, May 12, 2018

MENGENANGMU KEKASIH YANG SETIA

RASA kehilangan, kerinduan, dan lara hati membawa saya kembali ke sini, di laman yang lama saya tinggalkan kerana memberi tumpuan kepada perkara lain yang lebih menuntut perhatian.

Pada 3 Mei 2018 bersamaan hari Khamis jam 1.25 petang, di hujung azan Zohor, suami saya M.Nasri Ayob berangkat pulang ke rahmatullah selepas lebih 42 jam kritikal di ICU Pusat Perubatan UM.


Sejak pemergiannya itu, kehidupan saya sangat aneh. Seperti banyak perkara kecil-kecil yang hilang daripada diri saya, dan saya mencarinya di mana-mana tapi tidak dapat saya temui. Saya duduk diam dan bingung, bertanya-tanya apakah yang lenyap daripada diri ini.


Rupanya yang hilang lenyap itu adalah semangat saya. Almarhum suami adalah teman sejati saya sejak 20 tahun lalu. Biar betapa "bad boy" pun imej yang dibawanya, tetapi dia adalah teman setia yang tidak pernah menafikan saya dalam apa sahaja perkara. Sewaktu saya kata saya tak boleh melakukan sesuatu, dia akan menjadikannya boleh. Dan apabila orang kata ia mustahil untuk saya lakukan, dia akan menjadikannya kenyataan.

Di hujung nyawanya, doktor memanggil saya dan memberitahu mereka mengesyaki dia menghidap kanser paru-paru. Doktor menunjukkan saya hasil x-ray dan ada satu tanda seperti bebola yang agak besar di bahagian paru-paru kirinya. Tetapi biopsi tidak sempat dijalankan kerana dia meninggal dunia terlebih dahulu dan kami tidak membenarkan post-mortem dilakukan. Jadi dalam sijil kematian, punca kematian ditulis sebagai severe pneumonia. Setelah urusan pengebumian selesai, saya melakukan bacaan mengenai kanser paru-paru, dan tepatlah almarhum mempunyai semua simptom berkenaan. Cuma kanser paru-paru adalah jenis kanser yang sukar dikesan sekiranya pesakit tidak membuat regular check-up, dan selalunya ditemui tidak sengaja menerusi radiologi, dan jika ditemui pun selalunya juga ia sudah terlambat.

Memang 3 tahun kebelakangan ini adalah tempoh kemerosotan kesihatan arwah. Berat badannya turun naik, tetapi kami fikir ia ada kaitan dengan diabetes yang dihidapinya. Hanya yang membuatkan saya ralat adalah saya tidak berjaya memaksa arwah ke hospital dengan lebih kerap walaupun saya juga merasakan yang dia ada penyakit lain. Saya hanya banyak membebel tentang sikapnya tak mahu mengambil ubat dari doktor. Dan tabiat merokok yang 99% menyumbang kepada penyakit ini juga adalah satu hal yang tak dapat saya kawal. Setelah doktor menemubual saya mengenai sejarah hidupnya, doktor mengesahkan dia adalah seorang perokok tegar untuk 35 tahun. Hanya 6 bulan sebelum meninggal dunia, arwah mula banyak mengadu sakit itu dan ini, tetapi masih tidak ke hospital dan gemar mengambil rawatan natural.

Pada 16 Mac 2018, sudah berlaku serangan kritikal, diserang sesak nafas di rumah, paru-parunya berhenti berfungsi, menyebabkan arwah menjalani "induced coma" selama 5 hari di PPUM kerana selain gula yang tidak terkawal, paras oksigen dalam badan sangat kritikal disebabkan pneumonia. Selama 12 hari di hospital dengan tiub dimasukkan ke dalam badan, dan apabila keluar arwah berusaha mengubah cara hidupnya. Dia meninggalkan langsung rokok, dan berpesan kepada sesiapa yang dikenalinya supaya hentikan tabiat merokok. Setiap hari dia beritahu saya dia bertaubat tak mahu merokok lagi kerana sakit yang dialaminya selama 12 hari itu sangat sakit. Saya memberikan sokongan moral, menukar semua pemakanan, beras, dan kami memilih makanan sihat. Hasilnya dalam masa 2 minggu beratnya meningkat dari 47kg kepada 53kg dan dia sangat gembira.

Dalam tempoh 1 bulan Allah memberinya peluang kedua, arwah berusaha keras memperbaiki cara hidup, dan ini sebenarnya membuatkan saya lebih gembira berbanding sebelum itu. Kami tidak lagi bergaduh kerana rokok, atau kerana tak mahu ke hospital. Dia patuh kepada temujanji doktor dan diabetes begitu terkawal. Dia juga membiarkan saya mengawal pemakanannya. Namun yang saya terkilan adalah temujanji diabetes lebih didahulukan berbanding temujanji rawatan dada yang hanya akan berlangsung pada 16 dan 17 Mei. Sedangkan rupanya keparahan di dada itulah yang menjadi asbab kepada kematiannya.

Namun saya bukan menyesal. Saya hanya bercerita. Saya redha dan menerima aturan Allah dengan  baik.

Pada hari dia dimasukkan ke ICU iaitu 1 Mei 2018, adalah hari terakhir kami sekeluarga bersama. Hari itu cuti, dan sepanjang hari saya memasak untuknya. Pagi saya menggoreng mi, dia makan dengan berselera. Tengahari dia minta saya masak sup kepala ikan merah. Petangnya kami bertiga dengan Melati keluar ke Taman Tasik Perdana kerana Melati nak main kasut roda. Tetapi hujan lebat dan kami hanya duduk bersembang dalam kereta. Kemudian untuk pujuk Melati yang murung kami pergi ke Taman Tun Dr Ismail untuk lepak dan minum. 

Kami berbual seperti biasa. Kami merancang sebuah pementasan teater muzikal tahun hadapan yang sudah ditawarkan oleh sebuah agensi. Dia memberi idea kepada cerita, dan saya memberi gambaran apa yang ingin saya lakukan kerana saya sudah lama mahu membuat muzikal. Kemudian kami balik ke rumah dalam jam 6.45. 

Tidak sampai 5 minit sampai di rumah, segala-galanya terjadi. Dia batuk darah, menjerit memanggil nama saya, dan apabila saya meluru kepadanya, darah sudah membuak keluar seperti paip pecah. Saya minta dia kawal batuk tapi katanya dia tak dapat kawal, ia keluar sendiri. Saya minta dia bangun dan pergi kereta untuk dibawa ke hospital. Dia bangun dua tiga langkah dan terduduk semula. Waktu itu saya lihat wajahnya sudah lain. Saya lari keluar rumah dan menjerit di hadapan rumah jiran. Jiran saya datang dan apabila kami masuk semula darah sudah keluar dari mulut dan hidungnya. Jiran-jiran mengangkatnya masuk ke dalam kereta dan saya membawanya ke PPUM. 

Malang sekali, Melati menyaksikan semua itu di hadapan mata. Malah serangan pertama dahulu juga berlaku di hadapan mata Melati.

Dalam kereta saya asyik menjerit memanggilnya untuk memastikan dia sedar, namun tak ada jawapan. Sampai sahaja di Kecemasan, saya menjerit lagi di hadapan pintu masuk dan staf perubatan dengan pantas membawa stretcher ke hadapan kereta. Sewaktu salah seorang staf meluru masuk ke dalam kereta, saya mendengar dia menjerit "Dah tak ada!". Kemudian mereka mengangkatnya ke atas stretcher, staf itu melompat naik ke atas stretcher sambil melakukan CPR, sambil stretcher ditolak masuk ke wad kritikal.

Di rumah itulah kali terakhir saya melihat dia hidup.

Dalam tempoh lebih kurang 42 jam dia dimasukkan ke ICU, sebanyak tiga kali jantungnya berhenti dan kembali semula selepas CPR. Ini membawa kepada kerosakan otaknya, kerana kali pertama terhenti adalah selama 10 minit, kemudian 1 minit, dan 30 saat. Dalam tempoh 42 jam juga para doktor di PPUM mengendalikannya dengan rapi dan mereka mengendalikan saya juga! Setiap 4-5 jam mereka akan memanggil saya dan menerangkan apa yang terjadi. Dan setiap kali itu mereka akan memberi jangkaan berapa lama hayatnya yang tinggal. Malam pertama di ICU doktor memberitahu saya risiko kematian adalah 100%. Esoknya mereka beritahu tak akan lebih seminggu, atau mungkin dua tiga hari. Ketika itu juga doktor memberitahu hasil CT Scan kepalanya menunjukkan ada sel otak yang sudah mati. Paling menghancurkan hati saya apabila doktor pakar memanggil saya pada malam 2 Mei memberitahu, "kalau bukan malam ni, esok dia meninggal dunia". 

Pada jam 1.15 petang 3 Mei, jururawat memberitahu saya, selepas masa melawat pada jam 2 nanti, saya boleh duduk berseorangan dengan Nasri di dalam bilik. Saya sangat faham apa maksudnya itu. Lalu saya masuk sebentar ke dalam, memberi salam seperti biasa dan mencium tangannya. Ketika itu ubat pelali sudah dimatikan jadi dia sudah boleh mendengar hanya tak boleh respon kerana ada sel otak yang sudah tak berfungsi. Saya membawanya mengucap dua kalimah syahadah sebanyak 3 kali, dan lidahnya bergerak-gerak. Kemudian saya minta dia mengucap kalimah La ilaha ilallah, dan lidahnya bergerak-gerak lagi. 

Saya kemudian bercakap beberapa perkara secara peribadi kepadanya. Saya memohon ampun dan maaf atas semua kesalahan dan kedegilan saya selama ini. Saya memberitahunya sekiranya saya pernah berkasar padanya, itu bukanlah kerana saya bencikan dia, tetapi itu adalah kelemahan saya sebagai isteri dan manusia. Saya juga memaafkan dia, tiada apa dendam yang saya simpan dan ungkit, tiada kemarahan dan kebencian yang saya pendam. Kemudian saya minta dia jangan risau tentang saya dan Melati. Saya tahu apa impiannya kepada Melati dan saya beritahu saya akan menjaga Melati dengan baik seperti mana dia mahukan. Saya beritahu lagi bahawa dia adalah lelaki terbaik dan mulia yang pernah saya cintai dalam hidup saya, dan saya tak akan jumpa lagi manusia sepertinya di dunia ini. Akhir sekali saya beritahu supaya dia berangkatlah dengan tenang dan elok, jangan terbeban dengan hal dunia, kerana di sana hal yang baru dan kekal menantinya. Semua perkataan ini keluar dari mulut saya dalam esak tangis, namun saya memberitahunya saya menangis ini adalah kerana sedih dan sayangkan dia, tapi saya redha.

Saya teringat masa melawat yang hampir tamat, jadi saya memberitahunya yang saya akan keluar sekejap kerana ramai orang mahu bertemu dengannya di luar. Saya janji jam 2 nanti saya akan masuk balik dan menjaganya. Ketika saya keluar azan Zohor sedang berkumandang dari masjid PPUM. Saya baru memberikan pas masuk kepada pakcik dan makciknya, kemudian dipanggil semula oleh doktor yang mahu bertemu waris utama. Saya masuk bersama abang kandungnya, dan doktor memberitahu M.Nasri Ayob baru saja meninggal dunia.

Saat dia menghembuskan nafas terakhir, di luar wad ICU dipenuhi oleh orang-orang yang menyayanginya. Kaum keluarga, anak-anak didiknya, dan sahabat-sahabat yang sudah mula berkumpul sebaik sahaja mereka mendapat tahu jangkaan hayat yang diberikan doktor. Urusan jenazahnya sangat lancar dan mudah dengan bantuan ramai pihak sehingga saya langsung tak merasa apa-apa kesulitan. Dari wad ICU dia dibawa ke bilik mayat, kemudian ke surau PPUM, dimandi, dikafan dan disolatkan, kemudian van jenazah terus membawanya ke kampung Mengkarak, Pahang. Selepas sekali lagi solat jenazah dilakukan, M.Nasri Ayob selamat dikebumikan selepas Isyak pada malam Jumaat itu.

Sayu. Dan hilang.

Melati sangat kuat. Kali terakhir dia meraung adalah ketika saya menjerit menyuruhnya naik ke atas ketika peristiwa muntah darah di rumah, kerana saya tak mahu dia melihatnya. Selepas itu dia tak pernah menangis lagi, walaupun ketika saya memberitahu dia ayah telah meninggal dunia. Dia menerima dengan baik dan tenang. Malah dia menenangkan saya, dengan kata-kata, dengan perbuatan, dengan kad ...


Kadang-kala dia bertanya ayah buat apa sekarang dalam kubur. Dan dia mencipta imaginasi bahawa ayah sedang berehat dalam kubur sambil membuat perkara yang biasa dilakukan di dunia. "Tengok Astro, channel China". Saya biarkan saja dia dengan imaginasi itu, supaya dia lebih selesa mengingati ayahnya dalam cara begitu. Dia juga memberitahu yang "ayah lebih baik di syurga sebab di dunia ayah selalu sakit". Begitupun, saya sudah melihat kesan trauma yang lebih besar apabila dia menyebut "ayah asyik merokok saja pasal itulah ayah mati. Saya tak suka orang merokok." 

Dan semuanya kini tinggal kenangan.

Selepas lebih seminggu berlalu, saya baru ada kekuatan untuk membaca semua ucapan takziah yang diterima dan saya cuba membalasnya satu demi satu. Tulisan-tulisan mengenai arwah di Facebook dan IG sungguh mengharukan hati. Saya terharu kerana kenangan yang dia tinggalkan kebanyakannya adalah dalam dunia yang dia cintai, iaitu dunia teater. Dia seorang yang sangat passionate, mendedikasikan hidup kepada perkara yang paling dia cintai. Dia tak bersungguh-sungguh mencipta nama dalam bidang ini walaupun peluang datang kepadanya beberapa kali. Dia hanya ingin berkarya dan bekerja. Tetapi ironinya, dia mendorong saya dengan sangat kuat sekali kerana dia begitu yakin terhadap beberapa perkara yang saya mampu lakukan. Dia pengkritik saya yang pertama dan utama, telus dan jujur kepada karya-karya saya, mentor dan guru, sahabat dan kekasih, suami yang mulia. Siapakah Lenny tanpa seorang Nasri?

Ramadhan yang bakal tiba, tak tahu bagaimana saya akan memulakannya. Tradisi kami setiap Ramadhan adalah solat berjemaah Maghrib dan Isyak. Bulan-bulan lain memang selalu tertinggal juga kerana tuntutan kerja yang merentas waktu malam, tapi bulan Ramadhan itulah amalan yang kami usahakan. Dan Ramadhan kali ini pasti aneh dan ganjil, kerana imam saya sudah pulang kepada Maha Pencipta.

Saya tak mahu bersedih lama. Dia sudah pergi, sudah selesai dia dengan segala madu dan racun dunia. Tinggal kita yang hidup ini berjuang untuk memastikan kita kembali kepada fitrah sebelum turut dipanggil pulang. Hanya saya perlu meluahkan di sini, supaya satu hari nanti apabila kenangan ini makin menjauh, tulisan ini akan mengekalkan ingatan dan kasih sayang kita semua terhadapnya, khususnya buat Melati.

Sehingga kini saya masih dikunjungi oleh ahli keluarga, sahabat-sahabat dan anak-anak didiknya, yang bimbang akan keadaan saya. Syukur alhamdulillah, semua perhatian yang diberikan ini memulihkan semangat saya perlahan-lahan. Keluarga saya juga memberi sokongan moral yang sangat kuat daripada awal serangan pertama berlaku, dengan ibu saya kekal berada dengan saya sekarang untuk memastikan saya dalam keadaan yang baik. Pengalaman ini memang traumatik dan pedih, tapi ia adalah salah satu episod yang sudah tertulis dalam riwayat hidup saya. Nasri yang saya kenal adalah manusia yang sangat positif terhadap hal-hal kematian dan kehidupan. Alhamdulillah sikapnya menurun banyak kepada Melati, yang tak gentar berhadapan dengan hal-hal hidup dan mati. Jadi saya harus ikut positif.

Sekurang-kurangnya saya bersyukur kerana detik-detik terakhir hidupnya dapat saya uruskan sendiri. Bermula daripada tragedi muntah darah di rumah hinggalah kepada mengucap dua kalimah syahadah, saya ada di sisinya. Malah saya berkomunikasi dengannya selama lebih kurang 10 minit, yang mana selepas komunikasi itulah dia pergi menghadap Ilahi. Seolah-olah dia menunggu saya untuk meluahkan segala-galanya sebelum dia dapat pergi dengan tenang. Hanya saat dia betul-betul menghembuskan nafas terakhir saya keluar sebentar, tetapi saya (dan abangnya) adalah orang yang pertama dipanggil dan diberitahu oleh doktor. 

Ingatan terhadap detik-detik terakhir ini membantu saya untuk lebih mensyukuri peluang yang Allah berikan. Apatah lagi sebulan terakhir hidupnya, kami sangat bersemangat memastikan kesihatannya pulih. Malah dia meninggal dunia ketika kesihatannya meningkat naik semula, bukannya seperti ketika serangan kali pertama. Begitupun saya anggap peluang kedua itu adalah saat paling manis Allah berikan kepada kami bertiga. Nasri pergi ketika kami sedang gembira dan kali terakhir lepak dan bersembang bersamanya petang itu adalah nostalgia terindah. Allah Maha Besar, dalam kepedihan Dia memberikan kemanisan jua untuk dikenang.

Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Semoga Nasri berehat dengan tenang di alam sana di bawah lindungan Allah yang Maha Rahim dan Maha Rahman. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan menempatkan dia dalam kalangan manusia terpilih di syurga kelak. Di sebalik kesakitan terakhir yang dilaluinya sebelum tidak sedarkan diri, wajah almarhum begitu seri dan tersenyum selesai dimandikan. Dia sudah terlepas daripada kesakitan dunia yang sementara ini.


Kasih sayang dan cintamu abang, saya simpan selamanya dalam hati dan memori. Terima kasih kerana menjadi pelindung terbaik untuk saya selama ini. Saya ingin bertemu abang semula di syurga. Amin ya Rabb.

AL FATIHAH
M.NASRI BIN AYOB
15 Februari 1969 - 3 Mei 2018

6 comments:

Eddy rusdi said...

Saya baca sampai tak sedar air mata jatuh. Kak.. sya syg kak lenny dan abg nasri. Jaga diri kak. Abg nasri ada dgn kta selamanya dlm semangat2 yg dia tinggalkan.

UmmuNurul said...

Allahhu.. berjurai air mata kakmas petang ini sehingga terlupa pada pengkisahan dalam negara sekarang ini. Kuatlah Lenny dan Melati tanpa Abang Nasri. ������

khairul basyar said...

Semoga Dr.Lenny dan Melati terus kuat.

alla azura abal abas said...

Allahuakbar.. b strong my dear, i know u can do it.. slowly, with Melati by ur side. May arwah Nasri rip. May Allah swt blessed & protect both of u dunia wal akhirah. Aamiin.

abd naddin said...

Semoga terus tabah. Rasa sebak dan terharu. Allah lebih menyayanginya. Alfatihah

Afiqa Mohamed said...

al-fatihah.. Tiada lg gurau senda dan teguran dr seorg guru .. semoga arwah tenang di sana