Thursday, April 13, 2017

BANGSAWAN KEPULAUAN RIAU: YANG HILANG DARI GARIS MASA DI TANAH MELAYU

PADA 26 Mac baru-baru ini, saya hadir ke Auditorium Matic di Jalan Ampang untuk menyaksikan persembahan Bangsawan Kepulauan Riau berjudul Laksamana Bentan. Yang menarik saya untuk datang menonton pastilah kerana jenama Kepulauan Riau dalam persembahan ini. Saya memang tahu akan kewujudan persembahan Bangsawan di Indonesia tetapi belum pernah berpeluang menyaksikannya. Saya hanya mengetahui maklumat mengenai persembahan ini melalui penyelia saya di Monash dulu iaitu Dr Karen Kartoumi, yang giat melakukan penyelidikan ke atas Bangsawan di Pulau Natuna, yang juga dikenali sebagai Mendu.

Sepanjang menyaksikan persembahan Laksamana Bentan, ingatan saya kembali kepada perbualan saya dengan tokoh Bangsawan Malaysia Seniman Negara Rahman B. ketika saya menjalankan penyelidikan Phd. Menurutnya, Bangsawan yang dipraktikkan pada zaman dahulu hanya mempersembahkan dua segmen extra-turn. Setelah lagu, tarian selamat datang, dan syair dipersembahkan, babak lakonan akan bermula. Menurutnya, extra-turn pertama hanya akan berlangsung selepas beberapa babak awal dan extra-turn kedua menjelang dua babak terakhir.

Apa yang saya saksikan dalam persembahan Bangsawan Kepri ini mempunyai persamaan dengan apa yang pernah dinyatakan oleh Pak Rahman dulu. Secara konvensinya dalam Bangsawan amalan di Malaysia sekarang, pertukaran babak akan membawa kepada kemunculan extra-turn. Sekiranya street scene berlangsung, tirai tetap akan ditutup untuk memberi peluang kepada perubahan babak. Namun dalam Bangsawan Kepri ini, peralihan babak pemergian Laksamana Bentan untuk berperang hanya diselangi dengan perjalanan pegawai diraja merentas pentas yang membawa buah nangka, diikuti dengan babak Wan Anum meminta seulas buah nangka daripada pegawai berkenaan. Hanya selepas itu barulah extra-turn bermula.

Manakala extra-turn kedua berlangsung sebelum babak berakhir, menepati apa yang dimaklumkan oleh Pak Rahman kepada saya. Persembahan extra-turn dalam persembahan Laksamana Bentan ini pula tidak ada batasan masa. Pelbagai jenis persembahan dipertunjukkan, daripada tarian, nyanyian solo, persembahan silat dan pergendangan, hinggalah kepada segmen pembacaan puisi. Ia berlainan dengan persembahan Bangsawan di Malaysia yang terbiasa dengan konsep selang-seli satu bentuk persembahan dengan sebuah segmen extra-turn.

Saya mendapatkan maklumat mengenai kumpulan ini yang kemudiannya diketahui berpengalaman bermain di kampung-kampung sekitar Kepulauan Riau. Maka tidak hairanlah corak persembahan mereka rapat dengan stail rakyat, apabila konvensi masa tidak menjadi perkara yang membataskan persembahan. Walaupun audiens sudah masuk ke panggung sejak jam 8 malam namun persembahan hanya bermula pada jam 9 lebih. Dan kerana corak persembahan rakyat yang tiada kerangka masa, maka persembahan berkenaan berakhir hanya beberapa minit sebelum jam 12 malam! Ia pasti berbeza dengan persembahan dalam siri Semarak Bangsawan, yang kalau menjangkau 1 jam 45 minit pun pasti tauke panggungnya Shah Rizal sudah resah gelisah :)))

Apabila saya mengaitkan corak persembahan ini dengan sejarah perkembangan Bangsawan di Tanah Melayu, ternyata pada sekitar tahun 1900, kumpulan Mamak Pushi dari Pulau Pinang telah membuat persembahan keliling di Indonesia dan kumpulan ini telah berpecah di sana, kemudian diambil-alih oleh Jaafar Turki seorang hartawan Indonesia. Manakala dalam dokumentasi di Indonesia, Bangsawan pertama kali masuk ke Penyengat sekitar tahun 1906. Kerana kurangnya sambutan masyarakat di situ kepada bentuk baru ini, maka Bangsawan yang sudah diubah kepada Staembul ketika itu (Komedi Stambul), tidak berkembang dengan masyhur seperti mana yang berlaku di Tanah Melayu.

Mungkinkah jenis Bangsawan ini yang hilang dalam garis masa Tanah Melayu, dan dibawa oleh Mamak Pushi ke Indonesia lalu berkembang di sana, dan muncul dalam jenama Bangsawan Kepulauan Riau? Manakala kita pula mewarisi legasi Bangsawan yang diadun dengan pelbagai definisi, terbuka kepada kepelbagaian pengaruh lalu mencipta Bangsawan yang kita ada sekarang?

Corak lakonan Bangsawan Kepri ini menghampiri seni lakon Bangsawan yang saya pelajari di Pulau Sibu lebih 15 tahun lalu di bawah bimbingan almarhum Pak Hamid Ahmad (Hamid Lawa), seorang tokoh Bangsawan dari Singapura. Corak lakonannya tidak mengaplikasi gerakan zig-zag atau stailisasi seperti yang dianjur oleh Rahman B. Tetapi ia lebih menumpukan kepada penzahiran emosi dengan lontaran intonasi yang berirama. Aktor boleh saja duduk terpacak sambil berdialog sesama-sendiri, namun intonasi dan lontaran vokal adalah permainan yang major. Corak lakonan ini mempunyai kaitan dengan latar belakang Pak Hamid dengan perkembangan lakon Bangsawan untuk rakaman televisyen. Manakala Singapura dan Kepulauan Riau bukanlah dua tanah yang asing, maka segala perkaitan ini pastilah bukan kebetulan.

Itulah kecantikan sebuah seni persembahan. Di peringkat ini kita tak perlu mencari siapa yang betul dan siapa yang salah kerana itu bukan persoalannya. Ada ikatan yang sebenarnya menyambungkan rumpun ini, kerana kita berkongsi jiwa dan estetika yang sama. Hal ini sangat menarik perhatian saya, hinggakan saya sudah tertulis sebuah kertas kerja penyelidikan untuk meneliti dan memanjangkan perbincangan mengenai Bangsawan di Nusantara. Menjelang akhir tahun ini, saya harap saya sudah dapat menyaksikan beberapa lagi Bangsawan di Kepulauan Riau untuk menghadam lagi segala intipatinya.

Amalan seni persembahan juga boleh membuktikan bahawa akhirnya kita semua adalah serumpun. Cucu-cicit pula kepada Adam dan Hawa.

No comments: