Monday, March 6, 2017

MENJADI JURI: SEBUAH PENCARIAN YANG PANJANG

BETAPA sulitnya berada dalam posisi sebagai juri, apatah lagi untuk menilai hal-hal yang subjektif, dan menjustifikasi elemen-elemen ini bagi memberi anugerah kepada mereka yang berhak. Itulah pengalaman yang saya lalui dalam jangka masa 4 bulan kebelakangan ini, apabila berpeluang berkhidmat sebagai Ketua Juri dalam dua pertandingan teater yang berlainan tahap dan peringkatnya.


Pada November 2016, saya dilantik oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) untuk mengetuai barisan juri dalam penilaian Festival Teater Malaysia 2016 (FTM). Bersama-sama saya ketika itu ialah Tuan Haji Adnan Hamzah, seorang tokoh yang bukan saja berpengalaman dalam bidang seni persembahan namun beliau juga antara perintis bidang ini sejak zaman Panggung Negara. Seorang lagi juri ialah Dato Jalaluddin Hassan, yang tak perlulah diperkenalkan lagi siapa orangnya.


Baru saja berlalu pada 13-26 Februari 2017 saya memikul tugas sebagai Ketua Juri untuk Karnival Teater Universiti Malaya 2017 (Karviter), sebuah pertandingan teater antara kolej-kolej kediaman anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Kebudayaan Universiti Malaya. Selama 12 malam berturut-turut saya dan dua lagi juri mengerah mental dan psikologi untuk menilai persembahan-persembahan para pemain muda di gedung ilmu ini. Juri-juri yang bersama saya kali ini adalah Encik Mazlan Tahir, seorang pensyarah teater di FiTA UiTM yang juga seorang pemain teater, tv dan filem yang sangat berpengalaman di Malaysia. Seorang lagi adalah sahabat seperjuangan saya Rime Nazren Abdul Razak yang selain menumpahkan ilmunya dalam bidang akademik di ASWARA, juga sesekali masih turun bergiat secara profesional.

Saya tidak akan mengulas tentang keputusan kedua-dua pertandingan kerana ia sudah berlalu, dan saya percaya para peserta juga telah memperoleh ulasan khas daripada juri. Namun apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah bahawa pengalaman mengetuai barisan juri dalam kedua-dua acara FTM dan Karviter ini sebenarnya memberikan pelajaran tersendiri kepada diri saya.

Ternyata pengalaman dan pengetahuan adalah perkara yang sangat membantu dalam mekanisme penilaian pertandingan teater, selain daripada rubrik yang disediakan oleh pihak penganjur. Saya menempuhi dua pengalaman berbeza dalam kedua-dua pertandingan ini. Untuk penilaian FTM, kami berhadapan dengan kumpulan-kumpulan yang telah mempersiapkan diri dalam jangka waktu yang lama, kerana mereka telah bermula sejak pertandingan di peringkat negeri. Manakala untuk Karviter UM saya berhadapan dengan kumpulan pemain muda daripada pelbagai latar belakang pengajian universiti, yang rata-ratanya mengambil masa sebulan untuk melakukan persiapan. Tetapi kesimpulan yang saya temui akhirnya adalah, adakalanya tempoh persiapan bukan satu-satunya ukuran kematangan sesebuah persembahan. Namun kegigihan produksi dan ketelitian mereka menggaul dan mencerna ilmu dan pengetahuan dalam produksi adalah tanda aras sebenar yang menunjukkan kualiti sebuah persembahan. Ia bukan sahaja tentang masa, tetapi tentang kreativiti dan muslihat teaterikal yang dimiliki.

Sungguhpun Karviter UM merupakan pertandingan tahap amatur antara pelajar kolej, namun tahap persembahan sekurang-kurangnya dua kumpulan yang berada di tangga teratas tidak jauh bezanya dengan tahap yang dipersembahkan dalam FTM. Malah andai kata dua pemenang teratas Karviter UM 2017 berada dalam liga FTM, mereka pasti memberi cabaran yang sangat sengit terhadap peserta FTM.  Saya fikir ini mungkin dipengaruhi faktor jurulatih yang melatih kolej-kolej ini, kerana meskipun pemainnya amatur, tetapi penganjur Karviter telah membuka ruang kepada kolej-kolej ini bagi mendapatkan khidmat jurulatih profesional untuk mengendalikan persembahan mereka.

Manakala FTM telah mempunyai prestij dan kredibiliti tersendiri sebagai sebuah medan pertembungan para karyawan amatur dan profesional. Malah ramai karyawan teater yang penting di Malaysia dilahirkan oleh aktiviti Festival Teater (sejak zaman Pekan Teater lagi). Keputusan JKKN membawa grand finale pada tahun 2016 ke negeri Kedah, pertama kali berlangsung di luar Kuala Lumpur, adalah eksperimen yang baik. Tambahan pula wilayah utara Semenanjung Malaysia merupakan antara platform teater yang sangat prolifik di negara ini. Ada juga saya mendengar penggiat teater di Kuala Lumpur merungut tentang pemindahan lokasi ini, tetapi ketahuilah bahawa kehilangan yang anda rasakan di Kuala Lumpur itu membawa makna yang besar kepada komuniti teater di wilayah yang lain.

Yang saya paling suka adalah sesi diskusi selepas persembahan selesai. Kalau dalam FTM, setiap malam setelah selesai acara, saya bersama Haji Adnan dan Dato Jalal akan bersidang dan berbincang mengenai setiap persembahan. Di situ saya mendengar buah fikiran dan pandangan kedua-dua tokoh ini, menghayati kupasan dan justifikasi mereka sebelum kami memberikan keputusan muktamad pada malam akhir. Manakala berbeza dengan acara Karviter, selesai sahaja persembahan, diskusi berlangsung antara juri dan para peserta. Dalam diskusi ini kami lebih banyak menumpukan pada sesi perkongsian, saranan, cadangan dan memberi peluang kepada para peserta untuk bertanya dan memberi respons. Ini juga adalah satu sesi yang memberikan saya banyak ilmu dan pelajaran walaupun setiap malam selama 12 malam berturut-turut saya hanya akan sampai di rumah menjelang pukul 12 tengah malam!

Perkongsian bersama Tuan Haji Adnan dan Dato Jalal di FTM sangat saya rindukan kerana sikap mereka berdua yang langsung tidak lokek ilmu dan pengalaman, malah diskusi bersama mereka sentiasa membuka tingkap baru dalam pengetahuan saya yang nyata masih terbatas. Sehinggakan setiap malam saya tidak sabar menunggu persembahan selesai untuk duduk bersama mereka, dan berbincang lagi tentang persembahan yang baru disaksikan. Sungguh manis dan lazat rasanya menelan buah ilmu yang dihasilkan oleh pohon yang ranum dan matang. Sesekali buah fikiran mereka disertakan dengan cerita mengenai pengalaman lampau yang begitu mahal nilainya, menyuntik motivasi pada saya untuk menggali lebih dalam lagi akan erti keberadaan diri saya dalam bidang ini.

Manakala sesi perkongsian dengan peserta dalam Karviter menjadi ruang untuk saya memahami cara pemain kontemporari berkarya. Respons dan soalan-soalan yang mereka kemukakan adalah satu tanda aras untuk saya mengetahui bagaimanakah para pemain muda ini berfikir dan apakah jangkaan mereka terhadap kerja-kerja berteater. Sesungguhnya, pengalaman menjadi juri ini merupakan sebuah proses pencarian yang panjang dan berterusan untuk diri saya sendiri.

Satu yang saya suka dalam menjalankan tugas ini apabila saya berpeluang memberi justifikasi, tetapi yang saya tak suka adalah apabila saya terpaksa mencari dan menimbang-nimbang kelemahan peserta demi menentukan siapa yang layak menang. Oleh kerana itu saya berulang-ulang memberitahu kepada para peserta bahawa kemenangan dan kekalahan itu hanyalah sifat sebuah pertandingan. Ia tak kurang penting mengenai kualiti, tetapi yang lebih penting adalah mengenai perjuangan. Setelah menang pun jika rentak perjuangan ini tidak terus dihidupkan, maka manfaatnya tidaklah juga berpanjangan. Sekurang-kurangnya walaupun pertandingan telah tamat, namun apresiasi terhadap bidang teater harus hidup subur dan berterusan.

Akan datang nanti adalah hal penilaian juga, kali ini projek persembahan akhir 6 buah produksi oleh Jabatan Drama Pusat Kebudayaan Universiti Malaya. Tetapi yang ini tujuannya lain, lebih bersifat akademik, jadi pengisian dan cabarannya juga adalah berbeza. Saya akan tulis mengenainya nanti, insya Allah.

No comments: