Friday, January 29, 2016

HOLA OLA BOLA!

YANG menyeronokkan ketika menonton Ola Bola dua hari lepas adalah kerana Nasri tahu perkembangan bola sepak Malaysia. Jadi dia tahu latar belakang setiap watak yang muncul meskipun watak-watak itu berselindung di sebalik nama-nama rekaan. Malah sewaktu bahagian belakang badan Soh Chin Aun dinampakkan pertama kali di hujung cerita pun dia terus cakap, "itu Soh Chin Aun tu".

Begitulah hebatnya impak sebuah sukan bernama bolasepak. Sekiranya saya ada peluang menulis skrip filem, saya memang teringin sekali menghasilkan cerita mengenai sukan. Saya sukakan sukan apatah lagi sukan berpasukan. Di sekolah dahulu saya mewakili sekolah dalam acara bola jaring dan bola tampar. Walaupun tidaklah layak mewakili negeri apatah lagi negara, tetapi passion para penggiat sukan di mana-mana pun sama. Yang pernah bergelar atlit pasti faham apa maksud semangat kesukanan yang kerapkali memarakkan api patriotik dalam perjuangan fizikal mereka.

Tidak sukar untuk saya menyukai filem Ola Bola ini. Saya tak perlu tahu kalau di dalamnya ada pelakon popular atau tidak, kerana sebaik saja saya melihat trailer filem ini yang bercerita tentang sukan, saya tahu ini adalah filem yang harus saya tonton. Ternyata saya tidak silap. Terlalu banyak "rasa" yang terkandung dalam filem ini. Hebat bukanlah perkataan sesuai untuk menggambarkannya. Ia tidak hebat, dan saya tak peduli pun untuk mencari hebat itu. Tapi saya percaya pengarahnya seorang pencerita yang tenang tapi dramatik. Penulisnya pula seorang yang puitis dan patriotik.

Walaupun di awal 30 minit saya sedikit hilang arah mencari-cari premis cerita ini, tetapi akhirnya ia dibina dengan menarik, diletupkan dengan dahsyat, dan berakhir dengan damai. Mungkin itu juga kelebihan untuk sebuah filem yang berinspirasikan kisah benar. Ia tidak perlu menyimpang-siur ke mana-mana kerana destinasi ceritanya sudah diketahui. Tetapi campur tangan fiksyen dalam sebuah inspirasi kisah benar itulah juga yang mungkin membuatkan filem ini agak goyang-goyang di beberapa tempat. Ia bukan filem hebat, tapi saya suka. Ia bukan juga filem yang bosan, Ola Bola mendamaikan. Ia mengembalikan banyak perasaan yang sering hilang dari dalam diri saya sebagai seorang yang meminati bidang sukan, dan dalam masa sama seorang patriotik juga.

Isu-isu besar diusik dalam cara yang kecil-kecil. Apabila Eric Balak bergaduh dengan Ali kerana jersi nombor 10, Eric berkata,"disebabkan nombor 10 ini kau buat aku macam orang luar?" Mungkin dalam keadaan biasa dialog ini biasa, tetapi kerana Eric seorang pemuda berasal dari Sabah maka dialog itu menjadi lain kepada saya, anak jati Sabah.

Babak latihan ala-tentera sangat menaikkan semangat. Saya suka dengan kata-kata pegawai tentera itu, "seorang pahlawan takkan pernah lupa mengapa mereka meninggalkan keluarga mereka". Bulu roma saya meremang waktu ini, saya sangat involve dengan makna tersirat ayat itu. Mana mungkin seorang perantau lupa mengapa mereka meninggalkan tanah kelahiran mereka sendiri? Untuk apa mereka meninggalkan? Sampai bila? Bilakah akan kembali?

Dialog-dialog yang menghembus semangat patriotik tertumpu di separuh kedua filem ini. Mungkin kerana pada waktu ini bahang permainan bola sepak sudah mula menguasai seluruh penceritaan. Pada waktu inilah semua punchline filem ini ditembak kepada penonton. Paling saya respect dan rasa nak beri standing ovation adalah koreografi permainan bola yang ditampilkan. Koreografi itu sangat gigih dan mengagumkan.

Apa lagi nak sebut? Apa lagi? Ohhh yaaa....

Bront Palarae!

My God! Bront seorang penyeri dalam filem ini. Aksinya mencuit hati, dialognya menggeletek rasa (terima kasih penulis skrip). Sesekali saya sebut "Hasbullah Awang?". Walaupun yang keluar nantinya adalah Rahim Razali tapi saya tetap nampak roh Hasbullah Awang di situ. Dan Bront bermain dengan secukup rasa sesempurna yang sesedapnya.

Okeylah cukup. Saya tak mahu pecahkan pula semua jalan ceritanya di sini. Walaupun pada awal filem saya merungut-rungut juga akan beberapa perkara seperti pengenalan watak-watak yang tidak berapa kukuh dan jelas, tetapi semakin filem ini menuju ke akhir, semakin saya tak peduli apa yang sudah berlaku di hadapan tadi.

Tahniah produksi Ola Bola. Saya tak kenal sangat anda semua kecuali seorang dua (itu salah saya sebab saya bukan penonton filem yang tegar), tapi anda semua bagus! Kalau dah bagus tu baguslah, nak apa lagi?

No comments: