Tuesday, December 29, 2015

PADA HARI KE 365


For last year's words belong to last year's language. And next year's words await another voice. And to make an end is to make a beginning. 

Begitulah tulisan penyajak terkenal T.S Eliot dalam menggambarkan peristiwa peralihan tahun.  Perjalanan hidup kita dari tahun ke tahun diselang-seli dengan kisah sedih dan gembira, persilihannya tanpa gagal, selagi nyawa dikandung badan. Ibarat pergantian siang dan malam, panas dan hujan, maka peristiwa jatuh bangun dalam hidup kita itulah yang menyempurnakan diri kita sebagai seorang manusia. 

Di akhir setiap tahun, kita akan menyedari bahawa dalam kita berhasil mencapai sesuatu, kita juga mungkin mengalami kehilangan. Kita bertemu kawan baru dalam hidup, dan kawan lama pergi meninggalkan kita. 

Pada dua bulan terakhir 2015 ini, saya menerima berita pemergian ke rahmatullah beberapa orang yang saya kenal secara peribadi. Tarikh 26 November, rakan sepermainan saya ketika bersekolah rendah, allahyarhamah Azeela Alwi meninggal dunia di kota Madinah ketika mengerjakan umrah, akibat penyakit jantung. Diikuti pada 30 November, pemergian pelawak terkenal negara yang juga sahabat baik saya dan suami, iaitu arwah Pak Yus atau nama sebenarnya Yusri Edoo juga akibat serangan jantung. Paling mendukacitakan hati saya adalah pemergian seorang mentor yang banyak memberikan semangat dan sokongan kepada saya untuk mendalami pengajian seni tradisional iaitu arwah Ismail Mamat, atau dikenali oleh warga ASK/ASWARA dengan nama Pak Mail. Beliau meninggal dunia pada 19 Disember 2015.  

Kita juga kehilangan tokoh negara yang dikasihi ramai, almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang ulama yang sangat saya hormati. Begitu juga pemergian anak-anak seni seperti arwah Harun Salim Bachik, seniwati Mariani, seniwati Momo Latif, dan terbaru selebriti media Aziz Desa, juga menghibakan hati. Hidup mereka didedikasikan untuk menghibur malah mungkin merawat jiwa-jiwa kita yang pernah kosong dan kehilangan. Sepatah kata serta aksi mereka mungkin telah menyembuhkan kegelisahan sementara yang pernah kita alami, maka kenangilah jasa mereka yang memberi cahaya pada hidup masyarakat biarpun mereka sendiri membakar diri.

Sungguhpun sedih, tetapi  hakikat redha itu saya fahami. Mereka yang pergi itu telah selesai berurusan dengan segala madu dan racun dunia. Kita yang masih hidup ini perlu meneruskan perjuangan hingga dapat kita kembali kepada fitrah yang kita janjikan kepada Allah sejak dari alam Rahim.

Sepuluh hari sebelum melangkah masuk ke 2016, saya dipilih pula sebagai Presiden Persatuan Alumni ASWARA dalam mesyuarat agung persatuan pada 20 Disember lalu. Sudah sangat lama saya tidak berada dalam kepimpinan tertinggi mana-mana organisasi bukan kerajaan. Alumni ASWARA pula bukan nama kecil. Dua presiden sebelumnya (Shahrul Azli dan Rime Nazren) sudah membina form dan platform yang cantik dalam mengukuhkan dasar persatuan ini. Saya pula sangat memahami bahawa kerja berpersatuan adalah sebuah khidmat sukarela para ahli untuk memberi balik kepada komuniti menerusi platform yang mereka wakili. Jadi ini adalah sebuah amanah yang sangat menguji, dan dalam masa sama ia meresahkan saya.

Begitupun saya menerima jawatan ini dengan gembira dan positif kerana ia adalah satu cara untuk saya kembali berbakti kepada alma mater saya.  Saya bersedia untuk menerima apa sahaja yang mendatang kerana hidup harus menjangkakan begitu, barulah hidup itu hidup. Bak kata penyair Rumi "berbudilah kepada siapa (dan apa) saja yang mendatang, kerana setiap yang muncul itu telah dihantar (oleh Allah) sebagai panduan/ pendorongmu dari masa depan".

Satu kegembiraan yang tidak dapat saya sembunyikan pada tahun 2015 juga apabila akhirnya saya disahkan lulus pengajian Phd, setelah empat tahun yang penuh drama dalam hidup saya. Ketika saya membaca email pengesahan lulus itu, saya merenung skrin komputer lama-lama, seolah-olah merenung tayangan slaid empat tahun yang sudah berlalu. Kemudian saya baring di atas kerusi, ada rasa sebak dalam hati. Air mata terasa mahu mengalir, tapi tidak menitis di mata. Ia tumpah di dalam hati. Begitu dramatik sekali nilai Phd ini, sebab saya sendiri melabelkan diri saya sebagai seorang perempuan gila yang meninggalkan suami dan anak di tanah air hanya untuk mengejar cita-cita. 

Lulus Phd itu sebenarnya satu perkara yang lain, tetapi pengalaman yang saya jalani sepanjang pengajian ini lebihlah tinggi nilainya dalam hidup saya.  Pengalaman itu tidak akan dapat ditukar ganti dengan sebarang anugerah material di dunia ini. Tinggal berseorangan di rantau orang selama tempoh itu banyak mengubah diri saya secara ideologi dan juga spiritual. Insya Allah apabila ada kekuatan akan saya tuliskan mengenainya satu hari nanti.

Banyak lagi kenangan manis yang saya raikan pada 2015. Pementasan Makyong Gading Bertimang bersama PESIBAN dan pementasan Bangsawan Anak Raja Anak Papa bersama Opera Sri Bandaraya DBKL merupakan dua produksi yang menyelamatkan jiwa saya daripada mati kering-kontang setelah 5 tahun tidak bekerja dengan pentas. Manakala ada soalan-soalan dalam hidup saya yang belum terjawab pada tahun-tahun lalu, mungkin ia sudah terjawab tahun ini, atau mungkin belum. Maka saya pun perlu meneruskan pencarian, melangsungkan hidup tanpa mengetahui bila, di mana, dan bagaimana kisah hidup saya di alam fana ini akan berakhir.  

Selamat tahun baru kepada para pembaca blog ini. Semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindungan dan kasih sayang Allah. Semoga kita menjadi semakin baik daripada masa lalu, lebih teliti berfikir dan bertindak, lebih seimbang rohani dan jasmani. Semoga semua tekad kita diiringi kebijaksanaan, dan semoga segala pengalaman yang kita lalui menumbuhkan kematangan. Semoga kita terhindar dari kezaliman dan tidak juga menzalimi diri-sendiri. Jauhkan diri kita dari sikap perkauman dan diskriminasi kerana ia adalah perbuatan zalim dan buruk sekali.

Insya Allah pada 2016 nanti saya akan cuba menulis blog dengan lebih kerap dan konsisten. Semoga catatan saya dapat memberi manfaat kepada diri anda yang sudi meluangkan masa membacanya.

No comments: