Sunday, November 29, 2015

SAPU SAWANG DENGAN CERITA MAKYONG

Blog bersawang! Blog bersawang! Enam bulan menghilang tanpa berita.

Entri ini kira "warm-up" dulu selepas berbulan-bulan senyap. Saya akan cuba lebih rajin mengemaskini blog saya selepas ini demi mengisi jiwa seorang dua rakyat Malaysia yang gemar membaca blog ini.

Ada banyak acara menarik yang saya alami sepanjang tempoh berdiam ini tapi tak dapat diceritakan terus-menerus. Dulu energy tinggi. Selepas saja habis satu acara, keterujaan akan mendorong saya untuk mengemaskini blog serta-merta. Tapi sekarang setiap kali habis kerja saya balik rumah tidur. Saya memang suka dengan suasana "menghabiskan kerja dengan komited". Tapi itulah, habis kerja, sampai rumah, uruskan hal rumahtangga, tidur. Membaca buku pun kadang-kala tak sempat. Hilang sudah energy tinggi zaman muda yang boleh buat macam-macam hal dalam 24 jam.


Para pemain Makyong Gading Bertimang kumpulan PESIBAN

Jadi saya nak cerita tentang persembahan Makyong Gading Bertimang yang dijayakan bersama kumpulan Persatuan Seni Budaya Anak-Anak Kelantan (PESIBAN) pada hujung Mei lalu, di bawah tajaan Geran Seni dan Budaya PETRONAS. Dalam persembahan itu saya memainkan watak Bonda buat pertama kali, dan buat pertama kali juga menyanyikan lagu Sedayung Makyung dalam versi yang sungguh "rare" sekali buat diri ini. Nampaknya saya perlu banyak belajar lagi untuk menyanyikan lagu berkenaan dengan baik. Perlu ada 20 persembahan lagi untuk saya tampil sebelum betul-betul berkata "aku boleh dah nyanyi lagu ni".

Pengalaman bermain Makyong kali ini amatlah menyeronokkan kerana saya dapat berkumpul dengan kawan-kawan lama dan baru, tua dan muda. Paling mengujakan apabila dapat berganding dengan Mek Imah, tokoh Pakyong dari negeri Kelantan. Saya sangat risau sebenarnya, takut saya tak boleh faham apa Mek Imah cakap atas pentas nanti. Makyong ini sifatnya improvisational, tidak bergantung pada skrip. Memang skrip tu ada untuk orang yang macam saya. Tapi apabila masuk pemain pro macam Mek Imah, terpaksalah saya tolak tepi skrip tu. Selama ini saya main Makyong dalam barisan kawan-kawan yang sekufu dengan saya dalam hal-hal pengucapan dialek Kelantan. Saya tak pernah bermain dengan pemain senior dari Kelantan. Apatah lagi Mek Imah kecek Kelate sejati, jadi saya perlu adjust diri saya supaya tidak menyebabkan Mek Imah rasa tak pro langsung dapat sparing partner yang entah turun dari planet mana ni.

Tapi alhamdulillah, Mek Imah "menjaga" saya dengan baik di atas pentas. Beliau memberikan saya ruang dan peluang menampilkan apa yang saya mampu di atas pentas. Sesekali ketika berlakon, dia memberi isyarat mata menyuruh saya bercakap supaya saya tidak diam dan tenggelam oleh orang lain. Sungguh seronok dan terharu, betapa kerdilnya diri ini apabila dapat menimba ilmu dengan seorang tokoh yang tidak sekali-kali memandang rendah pada orang seperti saya yang sangat cetek ilmunya. Betapa gentar dan debar juga saya di atas pentas itu apabila harus mengambil bahagian dengan baik, bercakap pada waktunya, mengisi yang lompang, memberi reaksi dengan tepat dan pantas, dan ini semua kami lakukan secara improvisasi sahaja, dalam dialek Kelantan!

Jadi keseluruhannya persembahan Makyong Gading Bertimang berjalan dengan baik, meninggalkan kenangan manis dalam pengalaman saya bermain Makyong. Saya memang sangat terhutang budi dengan PESIBAN di bawah kendalian Asrulfaizal Kamaruzaman dan konco-konconya. Mereka sentiasa memberi peluang, malah mengajar saya macam-macam perkara tanpa jemu, membantu saya menambahkan pengalaman diri. Saya kagum dengan kegigihan anak-anak muda dalam kumpulan ini yang berjuang memartabatkan kesenian dan kebudayaan negeri Kelantan di sebuah bandar mega bernama Kuala Lumpur. Saya juga sangat kagum dengan kepakaran mereka, serta komitmen mengangkat kesenian negeri dan bangsa. Ketinggian ilmu mereka terselindung di sebalik kesederhanaan penampilan diri.

Walaupun saya sudah bermain Makyong sejak tahun 2001, tetapi saya bukan pemain prolifik dan regular. Bermain setahun sekali tidak cukup untuk mengasah kemahiran menjadi tajam. Apatah lagi kalau sudah bertahun-tahun tidak melakukannya, memang keras juga lidah dan banyaklah aspek permainan yang hilang dari ingatan. Jadi kejadian ketawa lebih banyak dari bercakap tu perkara biasalah sewaktu proses latihan.

Saya harap PESIBAN terus maju menongkah arus zaman ini. Terima kasih kepada semua abang adik kakak yang saya kenal di dalamnya. Asrul sang sutradara, Mek Imah si primadona, Che Mat Jusoh Raja Rebab, Yana si Puteri Rebab, Isey yang tak reti diam, Farid Raja Gendang, Ismadian harapan bangsa, Rosnan Rahman Pakyong Negara, Mek Fiqah, Amani SM setia berkhidmat, Elin, Hazirah, Mek Ida, Mie, Mat Zam, dan semuanya sekali. Oh, dan jangan lupa yang penting sekali Encik Zahari Hamzah wakil PETRONAS yang membuka ruang kepada persembahan ini. Juga abang Razman Razmi dan team busana tatarias yang menjaga penampilan kami semua. Semuanya menyumbang kepada penghasilan sebuah persembahan demi mempertahankan warisan negara.

Saya ada pesan dengan Asrul pada malam terakhir, kalau lepas ini PESIBAN buat show tak panggil saya, maka saya akan serang dia di Facebook sampai dia tutup akaun Facebook dia. Dan ada satu lagi cadangan daripada saya. Kalau nanti sesekali apabila saya menyertai show PESIBAN lagi, tolonglah modify nama PESIBAN tu. Tambah di hujung PESIBAN BAH.

Okey, harap entri ini dapat mengubat rindu pembaca Blog Lenny Erwan yang seorang dua tu. Nanti entri seterusnya saya cerita pasal Bangsawan pulak. Chiaoo...

 Itu dia saya terperosok di upstage. 
(Gambar kredit kepada adikku Nina Fariza)

Para pemuzik yang handal di bawah pimpinan Che Mat Jusoh.

Hadek-hadek manis. 

 Dua pengasuh yang susah nak dikawal terutama yang botak tu.

Gambar hiasan

With my precious little Melati, my number one fan. Tanyalah apa saja show yang pernah dia tengok, dia akan cakap show paling best waktu mama jadi Bonda. Hah! Itu guna anak!

2 comments:

Pegawai Khalwat said...

bab pulang dan menguruskan rumah tangga kemudian tidur, itu adalah antara intisari penting entri kali ini.

LENNY ERWAN said...

Faktor usia tu....