Friday, June 12, 2015

DI PUNCAK KENANGAN - SEBUAH TRAVELOG YANG TERLEWAT

i.
Pada tahun 1995, saya mendaki Kinabalu bersama sekumpulan kawan-kawan. Ketika itu jumlah bayaran yang dikenakan kepada pendaki sangat murah iaitu kira-kira RM80.00 seorang. Pakej itu membolehkan kami menginap satu malam di Poring Hotspring, transit di Laban Rata, serta satu malam di hostel Taman Kinabalu selepas turun dari gunung. Pengalaman ini merupakan antara ingatan-ingatan manis yang saya gemari.

Gambar ini diambil sebelum memulakan pendakian, di belakang kelihatan kabus melitupi kaki pergunungan. Inilah kumpulan kami yang kebanyakannya sudah terputus hubungan dan tidak pernah berjumpa lagi. 
Selepas bermalam di Poring, kami bergerak ke Taman Kinabalu dengan semangat yang tinggi untuk menawan puncak Kinabalu. Lebih kurang jam 7 pagi kami telah berada di sana, bersarapan, meninggalkan barang-barang di hostel kaki gunung dan diberikan taklimat oleh pemandu perjalanan kami. Pemandu perjalanan inilah yang sekarang ini disebut sebagai Malim Gunung, ketika itu istilah ini belum wujud. Kalau saya tak silap kami diiringi dua orang Malim Gunung, seorang yang sentiasa berada di bahagian hadapan dan seorang lagi di belakang kumpulan kami.

Sewaktu memulakan pendakian dari pondok Timpohon, cuaca sangat baik. Saya pula membawa hanya satu persalinan pakaian dalam beg sandang yang ringan serta botol air. Kami sudah diberitahu di setiap pondok persinggahan nanti telah disediakan tangki air untuk mengambil minuman. 

Belum pun suku pendakian saya sudah rasa letih yang amat-amat sebab memang tak ada buat persediaan stamina. Hanya bawa badan dan semangat yang tinggi saja. Kami yang perempuan ni memang jauh tertinggallah di belakang sebab yang anak jantan semua berlumba nak sampai awal di Laban Rata. Cuma ada seorang kawan lelaki yang sentiasa menunggu kami di setiap pondok untuk memastikan semua perempuan ada barulah dia meneruskan pendakian ke pondok seterusnya. Dan seorang lagi yang sentiasa berada di belakang kami adalah si Malim Gunung itu. Dia tak pernah memintas kami dalam apa keadaan sekalipun. Kami pun buat lawak, “mesti pakcik ni dah menyumpah terpaksa jaga budak-budak perempuan yang lidut-lidut berjalan ni”. Tapi dia tetap di situ, di belakang kami.

Semakin lama pendakian semakin mencabar sebab trek Kinabalu sifatnya curam, tiada yang datar. Jadi seluruh pendakian adalah dalam keadaan menaiki tangga, sungguh mencabar mental dan fizikal untuk seorang pendaki bukan regular seperti saya. Dalam masa yang sama kami sentiasa berselisih dengan para porter yang bertugas mengangkat barang dari kaki gunung untuk kegunaan perkhidmatan di Laban Rata. Para porter ini, terdiri daripada lelaki dan perempuan Dusun, mengangkat tong gas dan barang-barang lain menggunakan wakid (sila Google images), selamba berjalan memintas kami naik dan turun. Malah ada seorang makcik ni pintas kami waktu naik dan belum pun kami sampai di Laban Rata dia dah santai-santai selisih kami turun gunung.

Sempat memerhati corak mereka mendaki, kami mendapati mereka menaiki trek itu dalam cara zig-zag. Kaki mereka mendaki bersilang-silang ke arah kiri dan kanan, bukannya naik lurus macam kami buat. Apabila ditanyakan pada Malim Gunung, katanya itu teknik mengurangkan keletihan. Secara psikologi, teknik zig-zag membuat kita rasa seperti berjalan di atas jalan rata berbanding mendaki gunung yang curam. Kami pun cuba-cubalah buat teknik itu dan memang sebenarnya ia berkesan.

Akibat banyak berhenti-henti, kaum perempuan sampai di Laban Rata dalam masa 7-8 jam sedangkan yang lelaki kurang dari 6 jam. Tapi yang nak dijadikan cerita, dalam dua jam terakhir pendakian, hujan lebat turun. Ketika ini seluruh pakaian di badan saya termasuk dalam beg kain saya basah kuyup. Sejuk menggigil waktu tu memang tak boleh nak kata. 

Apabila sampai di Laban Rata untuk transit sebelum bertolak ke puncak jam 2 pagi nanti, semua baju saya sudah basah. Kami cuba keringkan dengan menggunakan pembakar BBQ di luar hostel tapi tak ada gunanya kerana kami berada di Laban Rata, yang jaraknya kurang 3 kilometer dari puncak tertinggi di Asia Tenggara! Suhunya boleh mencecah negatif darjah Celsius! Api pun pasrah dengan cuaca sejuk di situ. Jadi malam itu saya tidur berpakaian lembab hampir basah. Selimut tebal di hostel pun tak dapat selamatkan saya. Apa yang jadi dengan saya malam itu sangat menakutkan kerana kesejukan membuatkan saya menggigil dan meracau waktu tidur sampai saya bermimpi hantu Jepun masuk hostel nak penggal kepala saya. Beberapa kali terbangun dan rasa sejuk tahap “mak kau hijau”! Selepas beberapa hari turun dari gunung, dan teringat balik peristiwa kesejukan itu saya jadi seriau. Patutlah ada orang mati kesejukan sebab rasa sejuk malam itu memang sangat menyeksakan. Rasa macam organ dalaman hampir rosak. Saya terpaksa tidur bawah tilam di hostel demi nak menghambat sejuk, sambil baca surah Al-Quran berulang-ulang. Begitulah tahap seksa sengsaranya saya sementara nak menunggu jam 2 pagi.

Mujurlah tindakan tidur bawah tilam itu menyebabkan badan saya normal semula dan tak jadi sejuk beku. Jadi dalam jam 2.30 pagi kami semua bangun, makan sikit, dan mulakan pendakian ke puncak. Suasana sangat gelap. Hanya berbekalkan cahaya lampu suluh, kami mengharung trek yang sangat mencabar berbanding laluan Timpohon-Laban Rata. Paling mencabar buat saya apabila kami sampai di trek bertali yang sangat curam itu. Sebenarnya sebelum mendaki saya  tak buat research langsung mengenai Kinabalu, jadi saya tak tahu apa cabaran yang akan ditempuhi. Ini semua main redah saja. Adik-beradik saya yang dah panjat gunung bukannya peduli sangat nak bagi informasi. Tapi alhamdulillah kami berjaya melepasi cabaran trek bertali itu kerana semua orang sangat membantu, terutama Malim Gunung. Mereka akan memastikan semua orang berjaya melepasi semua halangan.

Setelah mengharung pendakian yang curam, sampailah masanya kami tiba di Sayat-Sayat. Ini adalah sebuah kawasan yang agak datar dan luas, kurang 2 kilometer menuju ke puncak. Di sini juga terletaknya sebuah kolam besar yang mengandungi air beku. Orang kata di kolam itu para pendaki sering bernazar dengan membaling duit syiling. Jadi kami pun buat juga, tapi tak ada niat apa, ikut trend saja. DAN di sinilah pemandangan terindah mula dapat dilihat apabila jarak langit seperti sangat dekat, dan fajar sadiq sudah mula menjelma. Di depan mata, puncak Kinabalu sudah kelihatan. Puncak yang selama ini hanya saya perhati dari beranda rumah di kampung saya kini telah hampir tercapai dek tangan.

Sweet 18 waktu ini :)
Di Sayat-Sayat ini jugalah kami berselisih dengan ramai pendaki lain. Mereka yang sudah sampai di puncak dan dalam perjalanan turun akan memberi semangat kepada kami yang baru naik. Sekali cerita saya terlalu letih dan duduk sebentar melepaskan penat sebab stamina dah hujung nyawa. Ketika itu seorang pendaki bangsa asing meneriakkan kata-kata semangat di telinga saya, YOU CAN DO IT, COME ON!!!, sambil menghulurkan tangannya.  Dan saya pun bingkas bangun macam dapat wahyu dari langit Sabah.

Sesungguhnya kepenatan yang saya ceritakan dari mula tadi, termasuk trauma sejuk beku tahap mak kau hijau di Laban Rata, kini hilang! Lenyap begitu saja apabila berada di puncak Kinabalu! Suluhan matahari yang perlahan-lahan memunculkan diri, cuaca yang indah, disempurnakan lagi dengan pemandangan yang memanifestasikan kuasa Allah Pencipta semesta alam. Tiada tertanding dan tiada terbanding perasaan saya waktu itu. Tiada kesedihan di puncak itu,  kami senyum, ketawa, mengambil gambar, berjenaka, melaungkan semangat dan kepuasan. Kami menghidupi kehidupan di atasnya. Saya sempat melihat sekumpulan pemuda berjubah melaungkan azan dan menunaikan solat Subuh di puncak. Dan ada sekumpulan pendaki berbangsa orang putih yang membuka baju mereka (bukan bogel!) untuk mengambil gambar dan memakainya semula dengan pantas. Semua orang tenggelam dalam hasrat dan azam masing-masing, seolah-olah Kinabalu memberi nafas kepada semua pendakinya untuk memarakkan semangat dan inspirasi baru bagi meneruskan hidup.

Tidak banyak gambar di puncak dalam simpanan saya. Maklumlah waktu itu pakai kamera asli, tak ada gajet gajet ni semua. Orang lain sibuk bergambar di tempat yang hotspot, entah kenapa kami pergi bergambar di tempat merbahaya ni.
Moment indah ini tidak lama, kerana kami harus turun sebelum kabus pula mengambil tempat. Jadi kami meninggalkan puncak dengan hati yang lapang, riang, dan semangat yang lebih bernyawa. Perjalanan turun tidak sesukar pendakian, kerana semuanya gembira bagaikan bayi yang dilahirkan semula. Cuma beberapa ratus meter sebelum sampai di Timpohon kaki saya kejang, dan dua orang kawan memapah saya sampai ke hostel. Tapi itupun jadi bahan jenaka dan kenangan manis kemudiannya, tiada yang pahit. Malam itu kami berkampung di hostel kaki gunung, menyanyi, bermain gitar, meraikan keceriaan cara orang muda dengan segala kegembiraan yang tulus.

Akhirnya kami bergambar meraikan kejayaan dengan sijil masing-masing.

Saya pulang ke KK dengan gembira, tak henti-henti menceritakan pengalaman kepada keluarga saya dan menunjukkan sijil yang saya perolehi sebagai tanda berjaya menjejak puncak. Puncak kegembiraan paling seronok untuk seorang sumandak seperti saya waktu itu adalah kehilangan beberapa kilogram dari badan! What an achievement!

ii.
Rasanya dalam lima tahun kebelakangan ini, saya sering beritahu Nasri yang saya mahu mendaki Kinabalu lagi, untuk menguji fizikal dan mental saya. Hasrat itu sebenarnya terkandung dalam senarai perkara yang mahu saya lakukan setelah tamat pengajian Phd. Tambah-tambah setelah menonton rancangan Majalah 3 dua tiga tahun lepas, yang menonjolkan kejayaan sekumpulan OKU sampai di puncak, semangat saya makin membara. Saya berazam sebelum usia saya 40, saya mesti menawan puncak Kinabalu sekali lagi. Dan kali ini saya akan lebih belajar dari pengalaman, bawa baju hujan plastik, bawa coklat banyak-banyak untuk dimakan sepanjang jalan, pakai kasut yang lebih sesuai untuk trek gunung, dalami teknik zig-zag, buat latihan fizikal etc...

iii.
Pada 5 Jun 2015, menerusi mesej Whatsapp dalam kumpulan keluarga kami, adik saya memberitahu ada gempa bumi di Ranau. Saya fikirkan ia adalah gegaran yang biasa dialami pada beberapa tahun terdekat sebelum ini. Abang saya pula forward mesej dari Jabatan Meteorologi dan oh, baru saya sedar mereka bercakap tentang gempa bumi yang sebenar dan bukan gegaran biasa. Saya pula berharap janganlah ia seperti gempa 1991. Tapi apabila emak saya memberitahu apa yang berlaku di rumah pada jam 7.15 pagi itu, ia rupanya lebih teruk daripada 1991. Sedangkan pengalaman 1991 masih membuat saya trauma,  apatah lagi ini, yang digambarkan sebagai dua kali lebih teruk daripada itu. Apabila saya mula menonton berita di televisyen pagi itu dan melihat gambar-gambar serta video kejadian dengan pantasnya tersebar di internet dan Whatsapp, baru saya betul-betul sedar rupanya sebuah tragedi telah pun terjadi. Dan apa yang berlaku di Ranau lebih-lebih lagi di Gunung Kinabalu pada hari itu, sudah pun tercatat dalam sejarah.

iv.
Mengikuti setiap perkembangan tentang tragedi gempa bumi di Ranau ini, baik menerusi berita di televisyen mahupun berita yang viral di media sosial, saya diselubungi kesedihan yang tak dapat saya tuliskan dengan perkataan. Sebagai seorang anak jati Dusun dari keturunan asal kampung Bundu Tuhan di daerah Ranau, saya memahami betapa sakralnya Gunung Kinabalu itu di hati bangsa saya. Apatah lagi 10 tahun kebelakangan ini saya mula kembali menyelidik, memahami, dan mengakari kearifan bangsa saya sendiri. Apabila punca kejadian ini ditakrif daripada perspektif pribumi, ramailah orang menempelaknya semula sebagai hal yang tahyul dan khurafat. Dalam hal ini, pendirian saya hanya satu: bahawa manusia memang sifatnya sombong, memikirkan hanya mereka saja yang layak hidup dan perlu dihormati di atas bumi Allah ini! Kerana itu saya diam, dan biarlah saya menyimpan pandangan hidup saya ini yang hanya terluah dalam renungan saya pada Kinabalu selepas hari-hari yang tragis ini.

Hanya Allah yang tahu segala-galanya, kepada Dia-lah kita serahkan segala perhitungan, kepada Dia-lah kita kembali dan mengembalikan segala-galanya. Takziah kepada semua keluarga mangsa gempa. Semoga Kinabalu terus bertahan dalam sisa kekuatan yang masih ada, semoga semua etnik di Sabah kekal bersatu setiap kali memandang puncak yang akan mengingatkan kita kepada riwayat suka dan duka negeri ini.
Ayah saya adalah seorang jurugambar bebas yang tak pernah gagal merakam wajah Kinabalu di setiap perjalanan KK-Ranau yang diharunginya. Saya selalu melihat gambar-gambarnya dalam cara yang biasa, kerana puncak ini sudah biasa saya lihat sejak saya lahir! Gambar ini diambil oleh beliau pada 10 Jun 2015 dari pekan Ranau, lima hari selepas tragedi gempa. Apabila memandang puncak dalam gambar ini, saya tahu ia sudah tidak akan sama lagi. 

1 comment:

Mil Arshad said...

Titipan kenangan yang hebat. Sy mahu jadi Kak Lenny.