Saturday, May 2, 2015

KISAH GST, RONALD, KESIHATAN, PENDIRIAN DAN MAKYONG

i. TENTANG GST

Sepanjang pengajian saya di Melbourne, hidup kami memang sudah biasa dengan hal-hal GST. Tapi di sana harga produk mempunyai jajaran yang besar, dari yang termurah hingga termahal. Kalau nak beli sardin dalam tin, harga bermula serendah 75 sen (produk Filipina) hinggalah 3 dolar lebih (produk Malaysia Ayam Brand). Begitu juga dengan produk lain seperti mee segera, barangan keperluan rumah dan lain-lain, biasanya yang dijenamakan semula oleh pasaraya dijual dengan harga murah. Kualitinya okey saja. Maksud saya apa sangat yang nak dicari kualiti pada serbuk pencuci tandas, contohnya. Yang penting tandas bersih. Harga barang mentah juga agak berpatutan. HANYA makanan di restoran memang mahal. Harga untuk sekali makan di luar sama dengan harga barang dapur saya untuk seminggu. Jadi selalunya kami makan di luar waktu mula-mula dapat elaun saja (4 bulan sekali). Nak ke hujung hujung masuk bulan ke-4 tu pandai pandailah survive makan apa sementara menunggu elaun seterusnya.

Pelaksanaan GST di Australia sejak tahun 2000 itu juga dikritik hebat oleh para pengguna terutama yang berpendapatan rendah tetapi polisi ini sentiasa berubah dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada pihak yang tertindas. Tapi kalau dah namanya cukai tu, cukai jugalah kan. Wujudkah cukai yang tidak "menindas"? Setakat ini saya masih memilih pasaraya Econsave berbanding pasaraya lain kerana Econsave mengekalkan harga yang masih murah. Saya masih boleh beli barang-barang asasi rumah untuk stok seminggu kurang dari RM100.00. Tepung, gula, beras contohnya di Econsave masih sama harganya sebelum pelaksanaan GST. Barang-barang lain ada naik sedikit tapi tidak semahal pasaraya lain. Susu anak saya tak pulak naik harganya di Econsave.

Malangnya, penjual-penjual di pasar malam setiap hari Selasa di hadapan perumahan saya menaikkan harga makanan hingga 50% pada harga yang sedia mahal. Yang paling teruk kenaikannya adalah kuih-muih, sepotong sudah jadi 50 sen berbanding tiga seringgit sebelum ini. Saya hairan, kalau Econsave masih kekalkan harga tepung dan gula, penjual-penjual ini beli barang di mana? Tepung dan gula import dari London kah? Atau sengaja sengaja pergi beli tepung di Tesco atau Cold Storage yang memang tempat high-end product itu? Tidak retikah mereka perkataan "survey"?

Tapi yang paling dramatik sekali adalah wayang tarik tali kastam dan syarikat telco. Sekejap bagi GST pada kad prabayar, sekejap suruh tarik balik, lepas tu minta kaji semula. Deyyy... korang ni happpaa??? 

ii. BENGKEL RONALD RAND

Jabatan Drama Pusat Kebudayaan UM baru saja selesai dengan program Bengkel Lakon Kaedah Stanislavski bersama Ronald Rand, seorang pakar tajaan Fulbright dari Amerika Syarikat. Untuk program ini kami menjelajah ke 6 lokasi mengadakan bengkel dan persembahan monodrama oleh Ronald sendiri yang berjudul Let It Be Art. Selain program utama di UM termasuk kuliah 8 minggu mengenai Sistem Stanislavski di UM, kami turut mengunjungi UIA, UiTM, ASWARA, JKKN Perak, Kedah dan Terengganu. 

Ronald merupakan anak murid kepada Stella Adler yang pula merupakan anak murid Stanilavski sendiri. Jadi apabila dapat bekerja bersamanya dan ada peluang untuk sering berdiskusi, memang banyak juga ilmu yang ditimba. Sebenarnya apa saja kaedah yang diperkenalkan oleh Ronald ini sudahpun saya dan orang lain pelajari melalui guru-guru teater terdahulu. Cuma mungkin satu yang boleh saya katakan setelah menyertai hampir semua bengkel dan persembahan beliau, cikgu cikgu saya terdahulu sudah mengajar tekniknya, tetapi dengan Ronald saya dapat menyelami falsafah dan segala yang tersirat di sebalik amalan Stanislavski ini dengan lebih menyeluruh dan mendalam. Ditambah lagi dengan minat Ronald terhadap praktik Jerzy Grotowski (Poor Theatre) yang juga merupakan gurunya, jadi ada banyak perkara menarik yang boleh dibualkan bersama beliau.

Saya paling suka dengan sesi bengkel di JKKN Perak, kerana pesertanya yang komited dan berani. Walaupun Ronald tidak faham bahasa Malaysia, dan tidak semua peserta boleh berbahasa Inggeris, tetapi apabila mereka hendak bertanya mereka terus angkat tangan balun tanya dalam bahasa Melayu. Apa ada kisah? Ada juga yang cuba sesungguh hati berbahasa Inggeris dengan sedaya-upaya dan Ronald juga sedaya-upaya cuba memahaminya. Pun apa ada kisah? Orang putih ini dia tak kisah pun bahasa Inggeris kita tunggang-langgang, yang kisah tu selalunya orang kita sendiri. Jadi maksud saya, bahasa tidak harus menjadi sempadan yang menghalang penyebaran ilmu. 

iii. HAL KESIHATAN

Saya meroyan di Facebook beberapa hari lepas sebab stress dengan batuk yang tidak surut selepas hampir sebulan. Saya tak pernah mengalami batuk begini lama, dan dalam keadaan saya perlukan kesihatan yang baik untuk menguruskan hal-hal kerja dan peribadi, tiba-tiba dilanda sakit pula, logiklah saya stress. Tapi stress saya sekejap saja, apabila mendapat tahu ramai kawan-kawan saya yang rupanya sudah berbulan-bulan pasrah dilanda batuk, jadi saya redha sajalah. Mungkin batuk berbulan-bulan adalah penyakit biasa di Kuala Lumpur sekarang. Dengan cuaca dan pencemaran teruk, what more could we expect?

Di hadapan perumahan kami sekarang, dan betul-betul di hadapan blok apartmen saya, satu projek pembinaan sedang berlangsung. Ia adalah pembinaan kompleks membeli-belah dan kondo 28 tingkat di atasnya. Bangunan letak kereta setinggi lima tingkat pula dibina bersebelahan. Sebelum projek itu bermula, kami dapat menjemur kain dengan aman-damai di luar, dengan matahari yang terang dan keadaan sunyi-sepi. Tapi sekarang dengan kelentung kelentangnya 7 hari seminggu dan ada harinya mereka bekerja hingga ke malam untuk mengejar masa, saya rasa kami seolah-olah hidup dalam zaman Paleolitik. Apabila mereka bekerja dengan pasir pula, saya rasa macam hidup di gurun Sahara. Menyidai kain sudah tak selamat kerana terdedah dengan debu pasir dan simen. Pencemaran udara, bunyi, dan kesakitan hati yang terpendam mungkin juga menyumbang kepada insiden batuk hampir sebulan ini. Pintu beranda rumah sudah tidak boleh lagi dibuka sesuka hati dan pada hari cuti hujung minggu susah nak bermalas-malas bangun lambat kerana mereka buat kerja lebih awal. Hanya pada 1 Mei saja mereka cuti!!!

iv. HAL PENDIRIAN

Dalam melakukan satu-satu kerja, saya berprinsip "do what you love and love what you do". Itulah apa yang saya lakukan selama ini, hinggakan kerjaya saya pun berpusat pada hobi dan minat saya. Tapi apabila berlaku sesuatu yang menganggu prinsip saya dan saya hilang keutamaan kepada apa yang patut saya lakukan, maka perkara terbaik yang perlu saya buat adalah berundur diri. Saya sudah terlalu tua untuk melakukan sesuatu perkara dalam keadaan terpaksa dan saya pun tak suka meroyan dan merungut setiap masa. Cukuplah sekali dua berdrama di Facebook, kalau dah selalu orang menyampah juga.

v. MAKYONGGGG!!!!!

Saya akan berlakon dalam persembahan Makyong berjudul Gading Bertimang pada 29 dan 30 Mei ini. Persembahan akan berlangsung di Taman Budaya Kuala Lumpur sempena Program Panggung Seni Tradisional. Saya difahamkan ini adalah salah satu projek di bawah biayaan Geran Seni Petronas yang disalurkan kepada kumpulan PESIBAN (dan banyak lagi kumpulan kesenian lain di seluruh negara).

Saya memegang watak sebagai Bonda Permaisuri. Ini pertama kali saya pegang watak perempuan dalam Makyong sejak pertama kali melakukannya pada tahun 2000. Selalunya saya main watak Pakyong atau putera putera raja. Jadi waktu sesi fotografi, selepas saya pakai baju Bonda tu, saya tengok cermin dan cuba mencari di manakah letaknya wajah Permaisuri yang penuh kelembutan dalam muka yang tak dikonstruksi untuk watak-watak wanita lembut ni. Harap-harap sebelum show saya jumpa wajah tu. Dialog saya memang tak banyak sebab dalam cerita ini bukan watak Permaisuri yang menjadi tumpuan cerita, tapi cabarannya adalah menyanyikan lagu Sedayong Makyong yang sumpah seumur hidup saya tak pernah nyanyikan dalam mana-mana persembahan Makyong. Pengarah kami si Asrulfaizal pula meminta saya menyanyikannya mengikut  lenggok yang tak pernah saya dengar sebelum ini. 

Lagi satu cabarannya apabila watak Pakyong dimainkan oleh Mek Imah, seorang tokoh Pakyong dari Kelantan. Selama ini yang saya main Makyong tu dengan orang-orang muda dan kawan-kawan saja. Tapi kali ini dipasangkannya saya dengan seorang pemain yang kecek Kelantan sejati dan penuh dengan kepakaran ad-lib dan improvisasi, apalah agaknya yang akan berlaku pada saya nanti? Jangan nanti saya jadi patung lilin dok nganga atas pentas sudahlah. Tapi ini sungguh seronok. Saya suka cabaran seperti ini. Barulah hidup ni "hidup".

Selain Asrulfaizal sendiri sebagai Peran Tua, produksi ini juga menampilkan Isey Titan yang semakin meningkat popularitinya sekarang sebagai Peran Muda, Ismadian yang kita boleh lihat wajah dan lenggok vavavoom dia setiap minggu dalam Kilauan Emas, cik Yana sebagai puteri dan ramai lagi rakan-rakan lain yang fun-fun semuanya. Di belakang kami semua adalah Che Mat Jusoh, yang walaupun saya belum pernah bekerja dengannya sebelum ini tapi saya sangat maklum dan sangat menghormati ketokohan serta pengetahuannya dalam seni tradisional Kelantan. Saya gembira dipanggil menyertai produksi ini, dapatlah saya melarikan diri daripada segala bentuk stress yang sedang saya hadapi sekarang. 

vi. AKHIRNYA SAYA BERJAYA KEMASKINI BLOG DENGAN PANJANG LEBAR

Yeahhhh.....

2 comments:

abd naddin said...

ya,saya mengikutinya. teruskan. saya suka membacanya.

LENNY ERWAN said...

Terima kasih abang Naddin. :)