Sunday, October 5, 2014

TRAVELOG - MENUJU KE COUNTRYSIDE: TESSELAAR TULIP FESTIVAL 2014

SETELAH sekian lama blog ini terpinggir kerana tuan tanah kedaungnya sibuk menangani sindrom pengajian fasa akhir, tiba-tiba hari ini ada pula semangat nak kemaskini. Saya nak kongsi pengalaman mengunjungi Tesselaar Tulip Festival di Silvan pada 4 Oktober 2014. Entri kali ini juga dimeriahkan dengan gambar-gambar bunga yang diambil oleh sahabat seperjalanan saya, Miss Ferial.

Kenapa tulip? Bunga ini sering dilambangkan sebagai bunga alam fantasi dalam mitos Barat dan Timur Tengah. Sebahagian besar keajaiban tulip terletak pada kepelbagaian warnanya, malah dalam satu warna ia muncul pula dalam tona yang pelbagai. Jadi berada di tengah jutaan kuntuman tulip ini boleh membuatkan anda khayal sebentar, bagai berada di alam fantasi, dan lupa pada tajuk tesis masing-masing. Lihatlah di bawah, betapa gediknya saya jumpa tulip.



Jadi pada 4 Oktober 2014, bersamaan juga sambutan Hari Raya Haji di Australia, kami pun menuju ke Silvan, salah sebuah bandar di negeri Victoria, terletak 40km ke timur Melbourne. Silvan terletak dalam jajaran Lembah Yarra (Yarra Valley) dan untuk sampai ke situ kami  perlu menaiki tren ke stesen terakhir di sub-urban timur iaitu Lilydale.

Ada kisah lucu dalam perjalanan saya bersama Ferial ini. Kami dah buat survey tentang route ke Lilydale, dan akhirnya memilih untuk menaiki tren dari Clayton ke Richmond, dan kemudian dari Richmond terus ke Lilydale. Tapi apabila sampai di Richmond, barulah kami terbaca notis tentang perkhidmatan tergendala antara stesen Richmond dan Camberwell, yang menyebabkan kami perlu maju satu stesen ke Parliament, mengambil bas gantian menuju ke stesen Camberwell, barulah sambung menaiki tren ke Lilydale. Tapi dua budak Malaysia ni, entah kurang kefahaman ke atau apa, naik tren ke Flinders Street (stesen pertukaran) dan aja-aja menunggu kat platform mana entah selama beberapa minit, dan selepas merenung skrin maklumat perjalanan barulah sedar yang kitorang ni dah salah konsep.

Naiklah pula ke information centre dan bertanya, barulah faham yang memang kena turun di stesen Parliament. Tadi degil sangat, padahal dalam perjalanan ke Flinders Street tu, stesen Parliament dah melambai-lambai suruh turun. Jadi, kami pun patah balik ke Parliament dan naik bas ganti menuju stesen Camberwell, barulah naik tren terus ke Lilydale. Semua episod ini mengambil masa 4 jam! Kalau tak perjalanan normal hanya ambik masa dalam satu setengah hingga dua jam saja. Tapi tak apalah, kami pun mengharunginya dengan gelak ketawa. Lagipun bak kata Ferial, sepanjang 4 jam itu dah banyak bab perbincangan yang kami buka. Kalau buat tesis dah siap dah satu.


Gambar di atas adalah pemandangan yang saya ambil dalam perjalanan kami menaiki tren ke Lilydale. Semakin menuju ke countryside, semakin terserlah satu sisi geografi benua ini yang pada saya lebih mengujakan. Saya memang cepat terpesona dengan pemandangan seperti ini. Terlalu lama tinggal di hutan batu menyebabkan saya lebih menghargai "mother nature".

Sampai di Lilydale kami menaiki bas khas selama lebih kurang 15-20 minit yang membawa kami ke ladang tulip Tesselaar.  Tentang ladang tulip ini, Tesselaar adalah sempena nama keluarga yang membuka ladang ini sejak 1945. Cees dan Johanna Tesselaar berasal dari Holland, meninggalkan negara itu pada 1939 sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua di Eropah, menuju ke Australia dan menggunakan kemahiran berladang mereka untuk memulakan ladang tulip ini. Apabila warisan Tesselaar Tulip ini menjadi semakin cemerlang, akhirnya kerajaan Australia memberikan sokongan dan mengiktiraf kewujudan mereka dalam industri perladangan sekaligus menjadi tarikan pelancong. Apabila membaca sejarah Tesselaar ini, barulah saya faham mengapa tema-tema hujung minggu mereka adalah berkonsepkan Eropah. Mengenang nenek-moyang lettewww....


Maka sampailah kami ke ladang tulip ini dan benda pertama yang berlaku lepas beli tiket adalah makan! Empat jam kot, maunya tak kebulur. Tapi makanan yang paling menepati selera kami di situ hanyalah Potato Twister seperti dalam gambar di sebelah ini. Sebiji kentang ditusuk lidi lalu digelek gerudikan dengan mesin, dicelur dalam minyak panas, ditabur dengan perisa, dan diserahkan dalam tenggorok kami. Perisa ada macam-macam, saya pilih Lemon Pepper. And its delicious! Sambil makan di bawah sinar matahari kami dihiburkan oleh persembahan band, yang si Ferial suspect sebagai band Irish. Sebab minggu ini tema festival adalah Irish Week, dan band itu nyanyi lagu kumpulan The Corrs dari Irish, ini Ferial punya teori hehe...

Lepas tu kami pun berjalan-jalanlah di seluruh kawasan ladang tulip yang saya rasa seluas beberapa buah Dataran Merdeka, yang katanya mengandungi "over a half million" kuntuman tulip. Saya lihat nun di atas sana ada lagi ladang dalam pembinaan. Rasanya dalam masa 10 tahun dari sekarang, ladang ini akan sama besar dengan bandaraya Kuala Lumpur. Kami pun berfotografi menggunakan smartphone Ferial kerana telefon saya itu sudahlah cikai, low-batt pulak. Ketiadaan monopod tidak menghalang kami untuk selfie duduk dan berdiri. Berada di tengah-tengah syurga bunga fantasi itu menyebabkan kami tak malu untuk buat macam-macam aksi depan kamera sehinggakan ada aksi yang terpaksa disembunyikan dalam folder komputer masing-masing.




Cuaca pada hari itu sangat membantu, suhu 26 darjah celsius dengan matahari yang asyik senyum gembira dari pagi hingga petang. Dalam cuaca seperti ini, kita boleh lihat langit terbentang luas dan indah seperti kanvas yang dicat warna biru. Subhanallah, saya takkan nampak pemandangan langit seperti ini di Kuala Lumpur. Maha Suci Allah yang menjadikan taklukannya dalam rupa yang pelbagai.

Saya juga buat rekod peribadi tahun ini apabila langsung tidak memakai jaket sehari suntuk, yang mana ini sangat magik kalau berada di kota Melbourne. Walaupun musim spring tidak sesejuk winter, tapi Melbourne adalah kota yang tak boleh dijangka. Kalau dia kata nak sejuk, dia akan sejuk macam winter walaupun musim panas. Jadi hari itu cuaca sangat menyebelahi kami. Memang lain rasanya apabila lama tak terdedah pada matahari seperti itu. Selepas lebih kurang satu jam saya dapat berjemur, saya rasa jantung saya berdegup riang (boleh?)





Kami berada di situ dalam lebih kurang 3 jam lebih, dan setelah habis meronda dan beraksi, kami duduk minum Strawberry Ginger Cordial dalam suasana garden hi-tea sambil mendengar muzik band Irish yang tak habis-habis tu. Kemudian pergi beli kacang dan souvenir, barulah kembali menaiki bas khas untuk ke stesen Lilydale.

Sepanjang perjalanan pergi dan balik merentasi banjaran Yarra, saya terbayang imej banjaran Crocker yang sering saya lihat dalam perjalanan balik ke kampung saya di Ranau. Apabila saya membandingkan pemandangan dan keindahannya, saya rasa perjalanan Kota Kinabalu ke Ranau lebih nyaman kerana puncak Kinabalu sentiasa di hadapan mata. Tapi keseronokan menghayati alam sekitar di kedua-dua banjaran ini adalah sama, tidak lebih dan tidak kurang. Sebab itu tidak sukar untuk saya terpesona dan jatuh cinta dengan kawasan ini. Ia seperti berada di tanah kelahiran.

Kami pulang ke Clayton menggunakan route berbeza, iaitu menaiki tren dari Lilydale ke Box Hill, kemudian bas dari Box Hill terus ke Monash Uni. Kulit ada rasa terbakar sikit sebab kemaruk matahari yang melampau, tapi kalau hati gembira, apa ada hal? Sampai rumah terus teringat pembentangan akhir Phd saya dalam dua minggu lagi. Stress balik...

ps: Sebenarnya ada banyak lagi gambar, tapi oleh kerana semua gambar adalah muka saya dan Ferial saja, jadi saya tak upload semuanya demi menghormati perasaan pembaca haha... Asalkan nampak bunga udahlah ya... chiaooo...

1 comment:

Anonymous said...

siiiiiiiiiiiiiiiiiuuuuuuuuuuuuk nyaaaaaaaaaaaaaaa......one of my favs..after carnation n rose..aku bca tajuk terintrigue juga tu nma tesselaar..rupnya sirname..hihihi..len klu sesat d ngra org inda pa..semua pon jrg2 d lihat..