Wednesday, June 25, 2014

CERITA DARI PAK RUDY - SEORANG PEMBERSIH RUMAH

SEWAKTU saya berpindah dari studio lama di Cobain Street tahun lepas, saya mendapatkan khidmat pembersihan daripada Pak Rudy, seorang warga Indonesia yang memiliki perniagaan pembersihannya sendiri. Saya menemankan Pak Rudy ketika dia membersihkan studio saya, kerana dia seorang yang peramah dan mahu menunjukkan bagaimana kerja-kerja carpet cleaning dilakukan.

Kami berkenalan dan berbual macam-macam perkara, sehinggalah sampai kepada soal penghijrahan. Pak Rudy bertanya apa yang akan saya lakukan nanti selesai pengajian, dan saya beritahu pastilah saya akan kembali ke UM untuk berkhidmat kerana mereka yang membiayai pengajian saya. Kemudian dia bertanya adakah saya mempunyai perancangan untuk mendapatkan taraf Permanent Resident (PR) di Australia. Saya kata buat masa ini saya tidak berminat untuk bekerja dan tinggal di negara lain selain negara saya sendiri. Ketika itulah Pak Rudy mula menceritakan kisah hidupnya, bagaimana dia boleh merantau dan kembara jauh ke negara kangaroo ini. 

Di Indonesia, Pak Rudy pernah menjawat jawatan yang tinggi di sebuah bank negara. Namun ekoran kegawatan ekonomi pada 1998, malah dicatatkan sebagai krisis ekonomi terparah melanda seluruh Asia Tenggara, membuatkan Pak Rudy memikirkan semula hala tuju hidupnya di negara yang padat penduduk itu. Waktu itulah beliau mengambil keputusan drastik untuk melakukan migrasi ke Australia, demi memperoleh hidup yang lebih baik untuk keluarganya.

Waktu itu beliau disuguhkan dengan janji-janji manis dan bayang-bayang keindahan sekiranya mendapat tempat di negara Barat yang terletak di wilayah Asia ini. Dengan keyakinan akan mendapat semula jawatan yang setaraf dengan apa yang dimilikinya di Indonesia, sebaliknya permohonan demi permohonan Pak Rudy untuk menyertai institusi kewangan tidak berjaya, kerana untuk melayakkan diri Pak Rudy harus memiliki sijil dan kelulusan yang menepati standard piawaian perbankan Australia. Pak Rudy ada percubaan menyambung pengajian post graduate untuk meningkatkan taraf hidupnya tetapi saya tak pasti apa yang berlaku pada pengajian itu.

Dalam masa yang sama anak-anaknya semakin membesar, dan beliau harus terus menjana kewangan untuk keluarganya. Seperti orang-orang Asia lain yang datang ke sini, pekerjaan-pekerjaan kasual seperti pembersih adalah pekerjaan asas yang menjadi pilihan demi faktor kewangan. Selain itu Pak Rudy juga mempunyai kemahiran sebagai tukang kunci. Tahun demi tahun, angan-angan Pak Rudy seperti yang beliau simpan sejak tahun pertama ternyata tidak menjadi kenyataan, sebaliknya selepas 15 tahun di Melbourne, inilah apa yang beliau ada. Sebuah van yang digunakan untuk ke sana-sini membersihkan rumah pelanggan, yang di dalamnya tersimpan perkakasan bekerja. Van ini juga yang beliau gunakan untuk menghantar anaknya ke sekolah. 

"Anak saya meminta saya menurunkannya jauh dari pagar sekolah kerana dia malu dihantar dengan van ini. Malah dia akan menutup mukanya ketika turun dari van, sekiranya ada kawan-kawannya yang nampak".

Saya beritahu Pak Rudy yang dia boleh mengajar anak-anaknya supaya jangan bersikap begitu. Berkeraslah, supaya mereka menghargai ayah mereka. Tapi Pak Rudy memberitahu saya bukan satu perkara yang mudah untuk berkeras dengan anak-anak generasi Y. Tambahan lagi di sebuah negara yang mana idea-idea intercultural dan etika hidup hanyalah "camouflage".  Racisme adalah sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan di sini, dan anak-anaknya terpaksa berhempas-pulas untuk menempatkan diri mereka sebagai warga Australia, untuk mengelakkan diri daripada perangkap racisme.

Sesekali pulang ke Indonesia, Pak Rudy mengeluh tentang betapa rendah dirinya beliau apabila berkumpul dengan kawan-kawan lain yang berkerjaya profesional. Duduk di antara doktor, peguam, jurutera, bukanlah satu situasi yang menggembirakan untuk seorang bekas pengurus bank yang kini menjadi pembersih rumah sepertinya. Saya cuba untuk bersikap positif apabila memberitahu Pak Rudy yang dia harus berbangga dengan apa yang dia lakukan sekarang, sekurang-kurangnya mengendalikan perniagaan sendiri.

"Lenny, you cannot lie to yourself. A cleaner is a cleaner. That's it."

Pak Rudy kata saya bertuah kerana satu hari nanti ketika tua saya ada kisah yang indah untuk diceritakan pada anak cucu. Pengalaman belajar di negara orang, kerjaya yang baik, dan cabaran hidup yang boleh dijadikan inspirasi anak cucu. Tetapi beliau membayangkan betapa suramnya beliau pada hari tua nanti kerana dia tiada apa-apa untuk memotivasikan hidup anak cucunya, kerana dia hanyalah seorang cleaner.

Saya sebenarnya tidak bersetuju dengan sebahagian kata-kata Pak Rudy ini, kerana saya tidak menilai orang berdasarkan masa lalu, masa kini, atau masa depan. Tapi saya memahami bahawa cerita ini adalah realiti hidup yang beliau alami. Saya tak dapat berkata banyak kerana hidup saya sendiri masih sangat mentah, dan tak tahu apa hujung pangkalnya nanti. Beliau sudah berusia, dan mungkin beliau merasa kecewa kerana sasaran hidup yang beliau inginkan 15 tahun yang lalu tidak sikit pun kesampaian.

Tapi yang paling penting sekali adalah nasihatnya kepada saya, supaya mencintai negara sendiri. Pak Rudy tidak menyokong tindakan rakyat yang ditaja oleh sesebuah negara, yang enggan kembali ke tanah air masing-masing. "Kerana kamu adalah masa depan negara kamu." Negara-negara Barat berjaya kerana orang-orangnya zaman dahulu keluar mengembara ke seluruh dunia dan kembali ke negara mereka, memajukan tanah mereka menggunakan ilmu yang dikaut ketika mengembara. Itulah dia sifat negara yang kita panggil penjajah. Itulah apa yang harus kita lakukan sekarang, kembali ke negara masing-masing bersama ilmu yang diperolehi dan membebaskan negara daripada belenggu kejahilan. Hal ini tidak akan berjaya sekiranya hanya dilakukan seorang diri, tetapi ia harus tertanam dalam sikap seluruh anak warganegara. Tanah di seberang memang selalu hijau katanya, tetapi percayalah, ia hanya ilusi optik.  

Hampir dua jam berbual, kerja pembersihan pun selesai, lalu beliau menunjukkan pada saya warna air dalam baldinya yang begitu gelap sekali, daripada noda-noda karpet apartmen saya yang setahun tidak diwapkan. Geli sungguh saya memandangnya, tapi bukankah itu lantai yang saya pijak selama setahun ini?

Saya sempat beritahu Pak Rudy yang saya mahu menulis cerita ini dalam blog saya. Dia lalu meminta url blog ini, tapi rupanya saya menangguhkan penulisan selama setahun. Saya harap beliau akan membaca ini satu hari nanti, dan tahu bahawa perbualan itu memberikan inspirasi tersendiri kepada saya.

Saya membayar pekerjaan Pak Rudy, dan beliau membalas dengan ayat, "thank you for the job." Saya membalasnya, "thank you for coming Pak Rudy". Tapi saya sebenarnya berterima kasih untuk lebih daripada itu.

1 comment:

jatt eijat said...

cerita ini sangat memberi motivasi..thx lenny kerana perkongsian ini.