Wednesday, January 1, 2014

SEBUAH HIKAYAT - KENANGAN TERBAIK 2013

TAHUN 2013 kini tinggal memori. Perjalanan akademik saya memasuki fasa yang lebih mencabar. Sebelum Februari berakhir saya akan menjalani sesi Mid Candidature Review bagi menunjukkan kemajuan penyelidikan. Manakala sebelum November 2014 berakhir, saya sudah perlu menghantar tesis saya untuk dinilai, didahului dengan Pre-Submission Seminar nanti.

Saya baru selesai dengan pementasan projek akhir persembahan untuk penilaian 60% PhD saya iaitu Bangsawan Hikayat 1001 Malam. Sayangnya saya tak boleh berkongsi banyak tentang hasil penemuan dalam projek persembahan ini kerana saya bimbang saya terlepas menulis tentang hal-hal yang sepatutnya saya kupas lebih mendalam menerusi tesis. Perkara penting yang hendak saya panjangkan di sini adalah penghargaan peribadi dan ucapan terima kasih saya kepada semua pihak yang membantu.


Ucapan penghargaan paling tulus dari hati saya adalah kepada Encik Fauzi Ahmad, Pengurus Jabatan Kebudayaan, Kesenian, dan Sukan DBKL serta seluruh anak-anak buahnya, iaitu Kumpulan Kesenian DBKL yang terdiri daripada para Artis Budaya dan Kombo Budaya DBKL. Sewaktu saya terkontang-kanting mencari penajaan, yang semuanya ditolak, Encik Fauzi adalah orang yang muncul menawarkan saya peluang melaksanakan projek ini bersama Opera Sri Bandaraya. Ironinya, saya tidak pernah menghantar proposal secara peribadi kepada beliau. Hanya apabila beliau mendapat tahu yang saya sedang panik mencari penaja, dan dibantu dengan sejarah hubungan baik saya dan Nasri bersama Kumpulan Kesenian DBKL sejak beberapa tahun sebelumnya, Allah menggerakkan hati beliau untuk menghulurkan bantuan.


Setelah persetujuan dicapai, Kumpulan Kesenian DBKL memberi komitmen dan dedikasi tinggi kepada projek ini. Walaupun mereka mempunyai tugas hakiki yang lebih utama, tetapi mereka memberikan tumpuan tidak berbelah bahagi kepada projek akademik saya. Keseluruhan proses memakan masa 6 bulan, bermula dari Bengkel Bangsawan selama dua minggu pada bulan Ramadhan (Julai), hinggalah 5 hari persembahan pada 13-17 Disember. Pada peringkat awal, latihan bermula dari jam 8-11 malam, dan menjelang sebulan sebelum persembahan, latihan bermula seawal jam 2 petang hingga 10 malam termasuk hujung minggu. Latihan intensif diselang-seli dengan urusan kerja mereka ketika masa pejabat, saya tahu mereka letih tetapi tidak pernah menjadi alasan untuk tidak menjalani latihan. Sepanjang proses ini, mereka sering menyebut bahawa mereka mahu lakukan yang terbaik untuk projek saya "supaya penyelia saya dari Monash nanti berpuas hati dan kak Lenny mendapat markah yang baik". Setiap keputusan yang mahu diambil oleh setiap unit, akan mereka pastikan dipersetujui oleh saya dulu supaya semuanya menuju kepada matlamat yang sama. Sungguh hebat sekali apabila merasakan yang kita menerima sokongan penuh daripada segenap penjuru.


Saya juga menggandingkan orang-orang terbaik dalam memandu perjalanan produksi ini. Dengan kreativiti Nasri sebagai pengarah, dia adalah orang yang paling memahami apa yang ingin saya lakukan menerusi skrip Hikayat 1001 Malam ini. Digabungkan pula dengan pengalaman Koreografer produksi abang Jasni Hamid dan Pengarah Muzik Tengku Zainuddin, gandingan kami berempat ternyata sangat berkesan. Begitu juga dengan penyelaras di bahagian kreatif dan teknikal termasuk kostum (Along Zainun), tatarias (Jahlelawati & Farid), set & prop (Pak Din & Yuslizam dari Cemara Art Enterprise), audio (Along & the gang), projektor (Nina, Wan & the geng), pameran (Papa Yusof), dan rekaan poster (Zamri & Genjy dari Aura Creative) yang bekerja dengan teliti, demi melaksanakan rekaan projek ini. Saya juga sangat menghargai kerjasama daripada bahagian pengurusan dan pentadbiran Jabatan Kebudayaan DBKL yang dipimpin oleh Encik Tarmizi. Saya tak lupakan juga Pegawai Projek dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Shahrizal dan anak-anak buahnya yang mengikuti perkembangan persembahan ini dan berada di panggung setiap malam persembahan.



Paling cemerlang juga adalah barisan krew pentas, tirai, dan tatacahaya yang diketuai oleh Shahmizan dan penolongnya Simon Lee. Mereka ini adalah para graduan teater dari ASWARA dan UM, dibantu oleh krew dari kalangan kakitangan DBKL sendiri. Selama lima malam persembahan, hampir tidak ada cue yang terlepas dan kesilapan yang berlaku juga sangat minimum. Juga yang sangat saya hargai adalah kesudian adik-adik saya dari Mekar Budaya untuk meninggalkan sekejap kerja mereka, dan datang membantu produksi ini. Terima kasih Raja Farah, Ismaliza, Nina & Saeyo.

Dalam proses menghasilkan persembahan ini juga saya menerima bantuan yang sungguh besar daripada guru-guru saya. Encik Zakaria Ariffin telah meminjamkan saya keseluruhan koleksi Hikayat 1001 Malam beliau, yang mana selesai membacanya membuatkan skrip saya bertukar arah. Manakala Puan Roselina Khir adalah orang yang bertanggungjawab menterjemah keseluruhan skrip ini ke dalam bahasa Inggeris, dengan baik sekali! Ini adalah komponen yang sangat penting kerana projek saya ini diselia dan dinilai oleh orang putih!  Dan kami berjaya menyediakan sarikata bahasa Inggeris sepanjang pementasan berlangsung menggunakan hanya skrin projektor di tepi pentas. Kalau di pentas sebesar Istana Budaya, penyediaan sarikata adalah biasa, tetapi di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur dan untuk sebuah persembahan Bangsawan, ini satu pencapaian jugalah.


Yang paling menggembirakan saya adalah apabila pada malam kedua, kesemua penyelia yang bertanggungjawab memantau perjalanan akademik saya sejak zaman Diploma (1998) hingga kini berjaya saya kumpulkan. Mereka ialah Prof Datuk Dr Ghulam Sarwar Yousof (ASK-UM), Puan Roselina Khir Johari (UM), Dr William Peterson (Monash), dan Dr Karen Thomas (Monash). Tidak dapat saya gambarkan perasaan saya apabila mereka berempat duduk bersama di kerusi VIP menonton persembahan ini pada malam kedua. Disertai pula oleh Seniman Negara Tuan Haji Abdul Rahman Bakar, yang merupakan tokoh Bangsawan Malaysia, juga sampel kajian saya dalam penyelidikan ini.


Di akhir ucapan tiga mukasurat yang saya baca di hadapan seluruh ahli Opera Sri Bandaraya pada malam 17 Disember 2013 yang lalu, saya katakan:
"Produksi ini adalah kenangan paling manis dalam hidup saya setakat ini, kerana saya berasa sangat disokong, dihargai, dan diberikan perhatian. Saya berdoa kepada Allah semoga memberi balasan dan ganjaran yang setimpal kepada setiap satu kamu semua. Kalau Allah mengizinkan penyelidikan ini disiapkan nanti, kamu semua harus berbangga kerana kamu adalah sebahagian daripada ini."



Dan yang teratas daripada semua ucapan ini, adalah ucapan penghargaan yang tiada taranya kepada ibu saya yang sanggup berada di Kuala Lumpur selama lebih dua bulan, untuk membantu saya menguruskan anak saya Melati. Kehidupan saya sepanjang produksi ini berlangsung sangatlah tidak terurus. Saya beritahu pada ibu, kalau ini bukan projek PhD, saya tidak akan melakukannya. Patutlah ramai aktivis teater wanita berhenti bergiat sementara waktu apabila mempunyai anak kecil. Kalau saya tidak menerima sokongan daripada ibu dan ayah saya (yang sanggup ditinggalkan), pasti perjalanan projek ini lumpuh juga.


Saya tidak akan berhenti-henti mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam projek Bangsawan Hikayat 1001 Malam 2013 ini, kerana mereka berkongsi rasa dan pemikiran dengan saya. Setiap satu apa yang saya mahukan, saya perjelaskan dengan rinci sekali kepada mereka, supaya idea-idea penyelidikan ini tidak hanya bermain dalam otak saya, tapi harus juga terpancar di atas pentas. Saya tahu kami telah mengerah lebih daripada kemampuan mereka sendiri, terutamanya empat pelakon utama kami iaitu Nazila, Zahadi, Zainureen dan Norazlia. Dan saya sedar, ketika persembahan berlangsung mereka juga mengerahkan seluruh daya dan upaya mereka demi tidak mengecewakan saya dan seluruh produksi. Saya telah melihat mereka berusaha keras dan memberikan yang terbaik pada tahap dan kapasiti yang mereka termampu.

Sebagai penulis skrip, saya sungguh berbahagia sekali kerana para pelakon ini berjaya menyampaikan apa yang saya mahu sampaikan. Sebagai pengarah, Nasri juga sangat lega kerana para pelakon kami tidak melakukan adlib yang bukan-bukan, dan tidak melanggar arahan di atas pentas. Kerja sepasukan dan disiplin yang tinggi juga dapat dilihat dalam setiap malam persembahan. Sebagai pereka produksi, saya gembira kerana keseluruhan persembahan ini mencapai matriksnya. Meskipun saya tahu dan sedar ada banyak kelemahan lagi daripada pelbagai sudut, terutama permainan lakonan yang amatur, serta kerja artistik yang boleh dipertingkatkan lagi, tetapi untuk sebuah projek yang dibentuk bagi mencapai objektif sebuah penyelidikan akademik, persembahan ini mencapai sasaran tersendiri. Dan itu semua dicapai daripada kerjasama erat serta pertolongan tulus ikhlas oleh manusia-manusia yang saya sebutkan di atas.


Daripada mereka, saya semakin belajar erti menghargai dan makna berbudi. 

2 comments:

MALAU said...

syabas atas usaha yang sangat sangat terpuji ini. Nikmat berkarya adalah dari usaha dan kecekalan yang tinggi.

Pegawai Khalwat said...

Tahniah! Harap-harap saya larat nak buat ulasan yang terpulas.