Sunday, November 3, 2013

MENUNGGU LAMPU HIJAU - percakapan tentang "rules and regulation"

KISAHNYA secara literal mungkin hanya kelihatan berputar-putar dalam persoalan poligami. Antara keinginan dan tanggungjawab kaum lelaki terhadap amalan poligami, tentang apa yang ada dalam fikiran lelaki ketika melihat wanita, tentang lelaki-lelaki yang mudah memperoleh lampu hijau, sedang menunggu lampu hijau, atau tak perlukan apa-apa lampu hijau untuk melaksanakan poligami.

Namun saya pergi jauh ke dasar. Selesai menonton pementasan ini saya dan Nasri berbincang begitu banyak. Interpretasi saya lebih berlegar-legar dalam lingkungan "rules and regulation". Saya melihat intipati yang lebih serius dan isu poligami hanya sebagai camouflage.

Saya mula mengaitkan dengan apa yang sedang saya alami pada waktu ini. Saya sekarang sedang dalam tempoh berurusan dengan birokrasi, dan perlu menempuhi satu prosedur yang leceh dan rumit, dan kemudian menunggu keputusan dalam satu tempoh tertentu. Tetapi ada pula orang yang menghadapi kes yang sama seperti saya, tidak perlu menempuhi apa-apa birokrasi dan prosedur. Mereka menggunakan cara lain untuk memperoleh keputusan dalam masa yang singkat dan mudah. Status kes kami sama saja, bezanya dia tergamak melangkau birokrasi dengan cara yang mempunyai risiko tinggi, sedangkan saya takut melakukannya kerana bimbangkan risiko dan dalam masa yang sama saya hanya ingin menjadi seorang manusia yang baik dan patuh pada peraturan! Saya mahu "menunggu lampu hijau" untuk membolehkan saya memperoleh keputusan dengan cara yang betul, dan aman, dan dirahmati Allah!

Malangnya tiada jaminan. Saya boleh memilih menjadi manusia yang baik dan terus menunggu. Belum tentu saya memperoleh keputusan yang saya inginkan kerana lampu hijau itu dikawal oleh satu kuasa lain yang tidak tercapai upaya saya untuk mempengaruhinya. Jadi sama ada saya menunggu dan dapat, atau menunggu dan tidak dapat. Kalau saya terus bertahan menjadi manusia yang baik, maka saya akan redha. Kalau saya tak dapat barakahnya di dunia, saya percaya ada saham lain menanti di akhirat hasil sikap sabar dan redha. Namun kalau kesabaran saya melepasi batas, saya akan langgar saja tiang lampu dan mengikut sikap orang lain yang menggunakan laluan lain, tanpa perlu menunggu lampu merah bertukar menjadi lampu hijau.

Lampu hijau itu dilanggar, maka berantakanlah perjalanan trafik (dibaca: sistem!)

Begitulah yang berlaku dalam kisah manusia-manusia di sebalik lampu hijau ini. Ahmad Bakti dengan mudahnya memperoleh rezeki poligami kerana niatnya yang murni dan keadilan yang menyenangkan isteri-isterinya. Manakala Prof. Syed Mahfuz sedang menunggu lampu hijau daripada isterinya Sharifah Idora, walaupun sudah sangat teringin dan tak mampu bertahan lagi. Sebaliknya Ahmad Yatim ayah kepada Bukhari tanpa perlu susah-susah berlampu-lampu rupanya sudah "menyungkit" dua kelapa muda dalam diam, menggunakan "aktif dalam pergerakan agama Islam" sebagai alasannya. Dan apabila Mahfuz memperoleh lampu hijau, semuanya tak lagi ada gunanya. Bukankah baik jika dia ikut saja jejak Ahmad Yatim yang mati dalam keadaan aman kerana niatnya tercapai? Walaupun setelah mati isteri pertamanya pula yang mengalami tekanan perasaan?

Hatta menggarap kisah yang sangat sensitif bagi kaum wanita ini dengan realistik sekali. Malah pada saya terlalu idealistik pula adakalanya, terutama bab Ahmad Bakti itu. Kandungan ceritanya begitu fokus sekali dan dikupas dengan teliti, dalam cara yang sangat konvensional. Tempo dan rentak persembahan monodrama ini dikawal dengan baik sekali oleh pengarahnya. Selain skrip yang sedia ditulis dengan baik, Shahrul Mizad adalah instrumen yang sangat cemerlang dalam persembahan ini. Permainan satu setengah jam yang ditunjukkannya sangat mengkagumkan. Pertukaran watak yang sangat banyak memerlukan tenaga yang sangat tinggi, dan Shahrul Mizad mengendalikannya dengan matang dan penuh wibawa. Saya tidak katakan dia sempurna tetapi saya fikir sebahagian besar jentera yang berhasil menjadikan skrip ini lebih daripada sekadar sebuah isu konvensional, adalah kerana ia dimainkan oleh pelakon sebaik Shahrul Mizad juga.

Saya dah lama tidak gembira selesai menonton pementasan. Selalunya kalau saya suka skrip, saya akan merungut tentang lakonan dan begitulah sebaliknya. Tetapi menonton Menunggu Lampu Hijau membuatkan semua deria saya hidup semula. Terima kasih kepada seluruh produksi.

3 comments:

Anonymous said...

ahmad yatim ke, ahmad bakti? konpius I...

jatt eijat said...

Ahamad Bukahri Yatim...Nama bapa dia Yatim aja....hehhe

jatt eijat said...

1922 tiesSh