Monday, July 8, 2013

"MEMASAK' KARYA


PERKARA yang sering mengganggu saya apabila menonton ialah karya yang tidak masak. Sekiranya anda sudah terlibat dengan komitednya dalam banyak produksi, anda boleh mengesan sama ada sesebuah produksi itu cukup latihan atau dibuat dalam keadaan terburu-buru.

Saya, secara peribadi, tidak menyukai perkara ini. Saya tidak suka apabila saya membayar harga makanan, lalu dihidangkan makanan yang tidak masak. Alangkan produksi percuma pun saya boleh marah sekiranya saya mengesan persembahan berkenaan tidak masak, apatah lagi yang berbayar. Tapi penonton tidak ada hak untuk marah, jadi hak penonton adalah - mereka tak akan datang lagi untuk pementasan kamu yang seterusnya. Itu risiko yang dihadapi oleh semua pemain teater yang serius dan profesional - termasuklah saya juga.

Apa yang dikatakan tidak masak? Paling asas dapat dikesan adalah daripada segi pengucapan dialog dan intonasi. Kurangnya latihan menyebabkan dialog seperti keluar dari mesin, bukannya dari dalam jiwa watak! Perkara ini tidak boleh ditutup, walaupun mencuba, walaupun menipu di pentas, walau pelakon profesional sekalipun! Penonton yang kurang menonton mungkin boleh dikaburi, tetapi tidak kepada penonton yang profesional. Itu baru bercakap tentang perkara asas, belum lagi membebel tentang perkara-perkara lain seperti chemistry, tempo, pacing, dinamika dan sebagainya.

Saya bukan bercakap kosong, melainkan saya juga pernah mengalaminya. Banyak juga produksi saya terdahulu, yang saya terlibat sebagai pelakon, dipentaskan tanpa latihan yang cukup. Saya pernah berlakon dalam keadaan "blank" dan keliru, terperangkap dalam kegelisahan produksi yang mengejar masa persembahan.  Ini berlaku kerana perancangan yang tidak rapi, produksi yang tidak tegas dengan jadual latihan, di samping sebilangan anggota produksi yang hanya menganggap aktiviti teater sebagai hobi. Semua ini akan melahirkan sebuah produksi yang terburu-buru dan tidak matang. Saya benci berada dalam keadaan itu, kerana saya rasa bodoh untuk tampil di hadapan penonton dalam keadaan yang tidak bersedia.

Bagaimana "memasak" sebuah produksi? Untuk sebuah drama pentas berdurasi satu hingga satu setengah jam yang melibatkan lebih daripada 3 orang pelakon, masa latihan yang sesuai adalah dua hingga lima jam sehari selama lebih kurang dua bulan dalam kadar lima hari seminggu. Bagaimanapun ini adalah cadangan saya berdasarkan pengalaman. Keperluannya berbeza berdasarkan jumlah pelakon dan corak produksi. Tetapi saya sesekali tidak akan percaya kepada tempoh latihan yang singkat kerana MASA LATIHAN itu adalah mewakili KUALITI. Anda tidak boleh mengetik suis "warm" secara manual pada periuk nasi anda untuk memaksa nasi itu masak! Periuk nasi itu ada durasi tersendiri untuk "warm" supaya ia masak dengan baik. Sama juga, anda tidak boleh mengangkat lemang sesuka hati daripada api hanya kerana anda letih menjaganya. Lemang ada durasi tersendiri untuk diisytiharkan sebagai masak! Boleh saja anda mengetik periuk nasi itu secara manual dan mengangkat lemang daripada api lebih awal, tapi adakah anda fikir anda boleh memaksa orang yang memakan nasi dan lemang itu supaya percaya bahawa ia masak? Mungkin mereka akan mengakuinya untuk mengambil hati anda, tapi percayalah pada hari raya tahun depan mereka tak akan datang lagi ke rumah anda.

Untuk produksi sendiri, saya tidak menggalakkan latihan lebih daripada lima jam sehari kerana anggota produksi semuanya adalah manusia dan bukan mesin! Lima jam itu pun bukan bertumpu kepada berbalas-balas dialog sahaja, tetapi pelakon-pelakon perlu dibiasakan dengan aktiviti mencari subteks dialog, diskusi dalam mencari "intention" watak, membina latar belakang watak di luar babak yang dipertontonkan, juga membangunkan hubungan antara watak dan memahami hala tuju drama. Pendek kata masa latihan bukan hanya menyaksikan fizikal pelakon diaktifkan, tetapi mental, psikologi dan spiritual karakter juga diberikan nyawa.

Dalam erti kata lain, kalau karya itu hala tujunya adalah KLCC, maka semua pelakon sejak awal harus faham bahawa hala tuju mereka akhirnya adalah ke KLCC bukan Pavilion. Bukan saya tak pernah jumpa pelakon sebegini, yang seluruh produksi bersiap sedia untuk "berjumpa" di KLCC di penghujung drama, tiba-tiba dia hilang dan rupanya ada di planet Marikh. Sebabnya sepanjang latihan dia tidak memberi tumpuan, niatnya hanya untuk naik pentas dan membuktikan dia boleh berlakon tanpa ada tanggungjawab bahawa fungsi teater adalah lebih daripada itu.

Saya pernah mendengar jawapan seorang pengarah/pelakon yang ditegur kerana hal-hal seperti ini lalu mengatakan, "Brecht kata berlakon tak perlu buat betul, yang penting ceritanya sampai kepada penonton." Dan lebih sesat lagi apabila mereka memanipulasi konsep alienasi untuk menyelamatkan persembahan yang huru-hara. Saya rasa nak kejutkan Brecht bangun dari kubur dan bunuh pengarah serta pelakon ini. Itulah akibatnya kelas mula jam 8 sampai 10 tapi kau masuk jam 11!

Saya harap saranan untuk "memasak" sesebuah karya sebelum dipentaskan diambil serius oleh para pemain teater, termasuk produksi saya sendiri. Proses memasak ini perlukan ketegasan daripada pihak pengarah dan disiplin daripada pihak pelakon. Kalau dulu mungkin sukar kerana tidak ramai pelakon terlatih, tetapi sekarang kita ada lambakan graduan terlatih dalam seni persembahan. Mereka ini adalah golongan yang logik untuk didisiplinkan kerana mereka (sepatutnya) adalah golongan yang tidak bermazhab "teater adalah hobi". Kalau tidak, kita akan berhadapan risiko kehilangan penonton yang semakin lama semakin tidak percaya. Apabila penonton tidak lagi ke panggung, kita jangan asyik berkokok soal tiadanya sokongan kerajaan mahupun masyarakat. Sebahagian besarnya adalah kerana kualiti juga. Penonton tak mengeluarkan duit untuk sesuatu yang mentah. Dan kita tidak mengambil duit penonton secara tidak amanah, kerana semua kerja termasuk berteater adalah ibadah.

Adakah saya kedengaran sangat cerewet dalam entri ini? Ya, kerana teater adalah perkara yang ada dalam fikiran saya 24 jam, sama seperti saya memikirkan tentang kehidupan dan kematian.

4 comments:

Ija Rased said...

anda memang cerewet!!! tapi hasilnya sangat memuaskan hati. kak len antara guru saya dalam lakonan. antara yang paling berkesan di hati ialah NO SMOKING PLEASE! DAN DARI M KE M! adus. saya sangat menderita saat itu tapi hasilnya memberi saya satu ilmu yang mungkin tidak datang dari kelas kerana ilmu itu sentiasa ada dimana mana, kalau kita kehendakkan. saya rasa monodrama no smoking masak dan rasanya sampai sekrg sy tak lupa kerana ANDA LENNY ERWAN!

LENNY ERWAN said...

Jaa.. jom buat lagi...

Pegawai Khalwat said...

Alamak! Alamak!

obat yang bagus untuk asam urat, said...

hi salam eknal yupz