Monday, May 27, 2013

Setelah membaca TERMINUS A QUO


SEJAK kebelakangan ini saya tidak mempunyai daya yang tinggi untuk menulis blog berturut-turut kerana kekangan masa yang meletihkan mental dan fizikal. Tetapi tulisan yang tidak sampai dua minggu daripada tulisan terdahulu ini adalah satu pandangan yang penting, yang ingin saya kemukakan setelah membaca  kumpulan sajak sahabat saya Raihani Mohd Saaid, berjudul Terminus A Quo. Tulisan ini tidak bertujuan mengulas karya ini, kerana saya bukan ahli. Ini adalah sebuah penghargaan kepada sebuah karya yang ditulis dengan jujur oleh seorang sasterawan muda. Saya sebut "jujur" kerana saya mengenali Raihani secara peribadi, walaupun tidak 100% mungkin, tapi saya dapat melihat dirinya dalam setiap kata dan makna. Dirinya yang tidak bersembunyi tidak juga berselindung, cukup untuk saya "mendefinisikan" Raihani sebagai seorang penulis yang berada dalam kelas tersendiri dengan cara yang tersendiri.

Perkara pertama yang saya gemari dalam buku ini adalah prakata yang ditulis oleh bonda Raihani  sendiri iaitu Dr Zurinah Hassan, seorang tokoh yang tak perlu saya kenalkan. Tulisan beliau sangat luhur dan benar-benar satu prakata yang tepat untuk memperkenalkan "siapakah Raihani", sebelum sajak demi sajak  membawa saya menelusuri pengalaman dan pendirian Raihani.

Apabila saya mula menulis pada tahun 1992, genre pilihan saya ketika itu adalah sajak, di bawah asuhan guru pertama saya Rahman Shaari. Apabila saya meneruskan pengajian di Akademi Seni Kebangsaan, rupanya saya lebih jatuh cinta kepada penulisan drama, yang saya fikir lebih serasi dengan sikap dan gagasan berkarya saya. Apabila bertahun-tahun lamanya berhenti menulis sebarang puisi, dan mencuba untuk memulakannya kembali secara suka-suka, saya kemudian "insaf" bahawa terhasilnya puisi bukan sebatas tarian pena yang menterjemah mainan jiwa. Seorang penulis sajak yang cerlang adalah intan terpilih yang bukan sahaja pandai bahasa, tapi sangat laksana dan cendekia dalam menikamkan makna ke dalam qalbu pembaca. Saya tidak akan menggelar kamu sebagai seorang penulis puisi kalau kamu hanya menyusun huruf, membolak-balikkan kata dan kemudian saya terpaksa menyerakkan puisi kamu di angin lalu sebelum pun saya mahu berfikir tentang maknanya. Seperti kata Wordsworth bahawa sajak itu adalah "pilihan kata-kata terbaik dalam susunan terbaik", Terminus A Quo sesungguhnya adalah sebuah karya yang penting dalam menanda variasi sikap dan stail dunia persajakan di Malaysia.

Itulah yang bermain di fikiran saya sebaik tamat membaca Terminus A Quo. Saya juga biasa mengkritik dalam drama-drama saya, tetapi untuk "bersikap dan berpihak" menerusi sajak, ia memerlukan keberanian dan kebijaksanaan yang berpintal di sana-sini. Untuk mengurai pintalan itu juga memerlukan sikap akal yang bernas dan waras. Saya pernah mengatakan bahawa allahyarham Samoza adalah seorang penulis yang dipinggirkan kerana sikap dan pendiriannya yang sering tidak selari dengan mazhab majoriti. Saya risau kalau-kalau Raihani juga akan diperlakukan begitu, sekiranya mazhab majoriti ini bersikap kuku besi dalam menentukan siapakah karyawan yang selayaknya diangkat. Saya harap itu hanya mimpi buruk saya sahaja, yang masih percaya bahawa pengiktirafan untuk karyawan di Malaysia tercinta ini tidak dikawat duri oleh justifikasi semberono berdasarkan peribadi, gender, dan pilihan untuk "bersikap dan berpihak" semata-mata.

Dan perkara terakhir yang utama - kumpulan sajak ini merupakan terbitan beliau sendiri. Dan itu bukan mudah. Wahai Raihani, doaku untukmu - teruslah!

No comments: