Saturday, September 15, 2012

APA YANG SAYA SELALU TERLEPAS PANDANG SEBAGAI PENULIS?

SELALUNYA apakah yang menyebabkan penampilan watak dalam satu-satu karya itu mendatar dan tidak menarik?

Melalui pengalaman saya sendiri, selalunya saya akan menulis sebuah drama apabila hati saya terusik oleh sesuatu isu. Saya tak boleh menulis apabila diminta atau disuruh-suruh, kerana saya hanya akan menulis sesuatu yang saya mahu tulis. Dalam keadaan seperti ini, fikiran saya akan bergerak agresif dan adakalanya radikal dalam mengembangkan premis isu berkenaan.

Yang sering saya terlepas pandang, dalam kerakusan memuntahkan kesemua pandangan dan kritikan saya terhadap satu-satu isu menerusi semua watak - saya terlupa bahawa setiap manusia, walaupun mempunyai pandangan yang sama tetapi dimensi atau perspektif kepada satu-satu isu adalah berlainan. Contohnya saya cinta Malaysia, tapi saya fikir Malaysia perlu pembaharuan. Manakala Abu juga cinta Malaysia, tapi pada dia tak perlu berubah, apa yang ada sekarang sudah cukup. Sementara itu Nathan juga cinta Malaysia, tapi padanya ada yang perlu diperbaharui dan ada yang perlu dikekalkan. Dalam mengemukakan ketiga-tiga watak ini, diskusi mereka haruslah memperlihatkan persepsi mereka sebagai tiga individu berlainan.

Point saya adalah: penulis selalu lupa memperlihatkan dimensi dan perspektif watak yang pelbagai ini, kerana TENGGELAM dengan dimensi dan perspektif peribadi. Akibatnya watak yang wujud di pentas itu tidak dinamik, tiada warna, sama sahaja semua, paling teruk ia membosankan dan paling dahsyat nampak muka penulis yang stereotaip dalam setiap watak.

Kegagalan membentuk dimensi dan perspektif yang pelbagai ini, memungkinkan penulis stereotaip dalam mencipta dialog. Semua watak akan bercakap menggunakan laras bahasa yang sama, perkataan yang sama, isi yang sama, tahap pemikiran yang sama dan akhirnya - ia sama. Stereotaip. Klise. Bosan.

Bosan tak semestinya tak bagus. Tapi ia bosan. Karya yang bagus pun kalau membosankan maka orang tak akan suka. Diburukkan lagi kalau pengarahnya sama juga dengan penulis itu. Tidak mewarnakan watak, membiarkan para pelakon "copying each other". Kalau ada empat watak perempuan maka semua akan ketawa dengan cara yang sama, batuk cara sama, menjeling cara sama, mengeluh cara sama, attitude sama dan - ia bosan. Ini berlaku apabila pelakon tidak diprovok sepenuhnya, apatah lagi kalau pelakon itu adalah pelakon yang sudahlah tidak berbakat, tidak pula berilmu (atau berusaha menambahkan ilmu). Maka mereka akan berlakon seperti mana yang mereka lihat di televisyen sejak mereka lahir, tanpa kefahaman bahawa lakonan adalah IMITASI KEHIDUPAN.

Saya mendapati inilah antara kelemahan yang melanda stail pengkaryaan di Malaysia, dari drama pentas hinggalah ke layar perak. Ia bermula daripada penulis yang terlupa tentang dinamik dan pewarnaan watak, kerana terlalu mementingkan gagasan diri sendiri, dan jatuh ke tangan pengarah yang obses nak menang anugerah. Hinggakan mereka fikir drama atau filem yang terbaik itu hanya bergantung pada sinografi atau sinematografi tanpa sedar bahawa penonton perlukan sesuatu untuk mengisi spiritual mereka. Dan sesuatu itu harus pelbagai dan dinamik dan penuh warna-warni. Spiritual adalah satu komitmen yang hanya dapat dijayakan melalui hubungan jiwa kepada jiwa. Bukan mesin/ teknologi kepada jiwa. Itu tak seimbang.

Jawapannya: ia ada di tangan penulis.

Saya fikir karya-karya yang kita lahirkan juga mencapai standard cerita yang boleh dinikmati oleh masyarakat luar Malaysia. Tetapi penulis - terutamanya - harus pergi lebih jauh daripada gagasan dan obsesi diri-sendiri dalam karya. Penulis harus berhubung dengan masyarakat ketika menghasilkan karya, dan menghasilkan watak yang bercakap sebagai watak itu, bukan sebagai diri penulis. Kalau tidak - IA BOSAN!

Saya masih perlu sangat banyak belajar untuk mencapai tahap itu.

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum...
Terimakasih bu Lenny Erwan, saya Nuarr dari Aceh Indonesia, saya mengindap penyakit psoriasis sudah hampir 4 tahun, dan sudah berobat dengan bermacam obat obatan namun tak kunjung sembuh, hampir saja saya putus asa, namun saya tetap berusaha semaksimal mungkin siapa tahu masih ada jalan, saya mulai cari informasi di internet singkatnya saya menemui blog Anda dan saya coba amalkan pengalaman Anda dengan mengkonsumsi minyak zaitun Allhamdulillah sudah sebulan berlalu saya minum minyak zaitun saya merasakan ada perubahannya,mudah2an ini benar-benar dapat menyembuhkan secara permanen. sekali lagi Terimakasih Banyak buat bu Lenny Erwan atas info Anda ini
Wassalamulaikum

LENNY ERWAN said...

Assalam Nuarr, Alhamdulillah sekiranya ia bermanfaat pada Nuar. Teruskan istiqamah, doa dan tawakal kepada Allah, hanya Dia yang memberi izin kepada segala sesuatu untuk menjadi penawar. Amin ya Rabb.