YANG bagusnya di sini, setiap calon postgrad layak memperoleh ruang belajar berupa sebuah bilik yang dikongsi berdua. Bilik ini sangat selesa, dilengkapi peralatan bekerja/ belajar iaitu sebuah komputer untuk setiap pelajar dan meja, kerusi, kabinet serta persekitaran yang sangat kondusif untuk menyiapkan penyelidikan. Apabila saya berjaya memperolehi ruang sendiri, saya sangat bersyukur kerana ia sangat membantu saya mendapatkan momentum memulakan kertas cadangan awal penyelidikan saya. Pasal itulah masuk bulan kedua minggu ketiga saya sudah berjaya menyiapkannya dan menghantar draf pertama kertas cadangan PhD saya kepada Dr Will. Serius! Tak pernah saya menyiapkan kertas cadangan secepat ini.
Tetapi sebenarnya yang saya nak tulis sangat adalah sebuah cerita di dalam bilik ini yang telah memberikan satu pengalaman baru dalam hidup saya sebagai seorang calon PhD.
Ketika saya masuk pada minggu pertama Januari, saya berkenalan dengan rakan sebilik saya yang bernama Anne-Marie. Berdasarkan lenggok percakapannya, dia bukan orang Australia dan saya pernah terdengar dia bercakap di telefon - dalam bahasa Eropah - sama ada Itali atau Perancis.
Anne berusia dalam lingkungan 50an, calon PhD dalam bidang Pendidikan. Kami tak banyak berbual perkara peribadi, selalunya waktu paling banyak kami bercakap adalah ketika salah seorang baru sampai atau salah seorang sudah nak balik. Perbualan kami selalunya adalah tentang cuaca di luar, dan ada sekali tu dia bercakap pasal dia ada kawan baik dengan pelajar Malaysia yang sudah habis belajar, dan sekali pasal saya tertinggal kad ID dan tak boleh keluar dari bangunan tu lepas masa pejabat! Nasib baik ada pelajar Korea di lounge yang tolong saya (dan Nadia) keluar! Hahaha ...
Tapi saya senang sekali melihat dia tersenyum dan ceria ketika melihat wajah Melati di skrin komputer saya, ketika itu saya lihat dia banyak bercakap dan ada menyebut tentang anak-anaknya - dan kesedihannya mendengar saya terpaksa meninggalkan Melati dan suami di Malaysia untuk meneruskan pengajian di sini. Tapi dia tersenyum semula apabila saya memberitahu "They will join me soon".
Satu hari, petang Rabu minggu lepas, seperti biasa kami buat kerja masing-masing. Saya ketika itu di saat-saat kritikal menyiapkan kertas cadangan kerana sepatutnya petang Rabu itu janji nak email pada Dr Will. Selalunya dalam tempoh kami bekerja kami takkan berbual sangat, menghormati masa kerja masing-masing.
Tiba-tiba saya terdengar bunyi macam orang menangis, saya fikirkan Anne mungkin selsema. Tapi makin lama bunyi itu bertukar menjadi esak tangis. Saya menoleh, dan agak terkejut kerana Anne memang sedang menangis sambil menekup mukanya. Saya panik jugalah. Sebagai satu-satunya manusia lain yang ada di bilik tu takkan saya nak buat tak tau. Saya pun bertanya "what happen to you Anne?" Tak ada jawapan untuk tempoh yang lama melainkan tangisannya yang semakin lama semakin kuat.
Apabila saya melihat emosinya makin tak terkawal, saya beranikan diri menghampirinya dan memegang bahunya, membantu dia supaya bertenang. Saya jeling-jeling pada skrin komputernya, saya nampak dia sedang mula untuk menulis email yang bertajuk "I'M LOSING THIS MRGS OFFICE" tapi tak ada isi kandungan. Saya kira waktu dia mahu menulis isi kandungan itulah dia menangis.
Apabila agak tenang, Anne bersuara "I'm losing this office". Oh, okey. Untuk pengetahuan anda, ruang pejabat ini akan diperuntukkan selama 6 bulan kepada seorang postgrad dengan tambahan 6 bulan lagi. Perlanjutan untuk 6 bulan berikutnya adalah bergantung budi bicara pengurusan pejabat. Agak menghairankan juga kerana kehilangan pejabat ini menjadi beban besar buat Anne. Maksud saya memanglah rugi kerana itu bererti dia terpaksa bekerja di rumah yang mana itu sangatlah tak seronok kerana rumah secara psikologi akan menjadikan kita malas. Atau terpaksa mencari tempat lain seperti perpustakaan yang tidak se"privacy" ruang ini, kerana di sini kami boleh meninggalkan semua barang-barang kami kerana kabinet dan drawer peribadi yang berkunci disediakan, malah boleh duduk 24 jam seminggu dengan syarat BUAT KERJA JANGAN TIDUR!
Tapi kemudian dia membuka cerita satu demi satu yang membuatkan saya pula menangis!
Dalam tangisan, Anne memberitahu saya yang dia tidak boleh kehilangan pejabat ini, kerana dia tidak ada daya-upaya bekerja di rumah. "My son just died in a tragic circumstances in my house." Ya, anak lelakinya baru saja meninggal dunia di rumahnya November lepas. Belum pun sampai tiga bulan! Si ibu ini tidak akan mampu membuat kerjanya di rumah dalam bayangan seorang anak yang sangat disayanginya, tetapi sudah meninggalkannya buat selama-lama. Beberapa persoalan saya terjawab ketika itu, tentang Anne yang membuat pejabat ini seperti rumahnya, sehinggakan dia meninggalkan lap top peribadinya di pejabat ini - begitu sekali komitmennya untuk melarikan diri daripada bekerja di rumah.
Saya teringat ketika kami berbual tentang anak. Anne memberitahu dia ada dua anak, seorang anak perempuan berusia 19 tahun yang tinggal berjauhan tetapi dia tidak menyebut tentang yang seorang lagi. Mujur saya pun tidak bertanya sangat. Rupanya anak yang tidak disebut itulah yang sudah meninggal dunia. Dalam pada saya terus memeluk Anne yang terus menangis, saya juga ikut menangis. Betapa pedih mendengar suaranya, hancur hati saya membayangkan apa yang diharungi dan dirasai oleh Anne.
Anne terus memberitahu dia masih boleh menggunakan perkhidmatan makmal harian di bangunan ini, tetapi dia hilang keistimewaan mempunyai drawer dan kabinet peribadi untuk menyimpan barang-barang. Dalam usianya begini, dia tidak mempunyai tenaga untuk membawa buku dan barang yang banyak setiap hari untuk berulang-alik. Saya bertanyakan padanya tidakkah David (penyelia ruang ini) boleh bertoleransi? Anne berkata David adalah manusia yang paling baik sekali kerana selama ini sebenarnya David tahu tentang traumanya, malah sudah banyak membantu Anne melanjutkan tempoh penggunaan pejabat itu sedangkan Anne sebenarnya sudah tidak layak. David sudah cuba menolong yang termampu tetapi tahun ini sudah tidak dapat membantu lagi kerana begitu ramai calon postgrad lain yang menunggu untuk diluluskan permohonan memperoleh pejabat ini. Kalau David teruskan juga, David boleh kehilangan kerjanya pula.
Anne akur, dia tidak berkecil hati dengan David. Cuma dia sangat sedih. Katanya sebelum saya masuk, meja saya ini kosong dan dia sangat tertekan berseorangan di situ. Apabila saya masuk, dia sangat lega - walaupun kami tidak berbual begitu banyak, tetapi setiap hari melihat ada orang lain bersamanya di ruang itu adalah terapi untuk traumanya yang kehilangan anak tersayang.
Selepas mendengar kisah Anne, saya tak tahu nak kata apa. Sabar bukanlah perkataan yang sesuai, dia sudah banyak bersabar. Malah apabila dia sanggup menyambung semula pengajiannya dalam tempoh tidak sampai 3 bulan kematian anak, saya fikir dia menggadaikan seluruh yang ada dalam hidupnya untuk bersabar. Anne pulang lebih awal petang itu kerana dia juga sudah tidak mampu meneruskan kerjanya, dan lagi dia harus mengosongkan pejabat itu sebelum hujung minggu ini.
Selepas Anne pulang, mood saya meneruskan penulisan proposal sudah hancur. Nampak macam alasan yang bodoh dan kelakar, tapi itulah sebabnya proposal saya tidak siap pada waktu yang saya janjikan dengan Dr Will. Mood saya membuat kerja hari itu sudah spoil. Saya rusuh hati, emosi saya terganggu. Nasiblah saya dapat menyiapkannya pada Jumaat. Kalau tak entah apa saya nak jawab pada Dr Will. Takkan saya nak cakap proposal saya tak siap "because my friend lost her office". Tang tang tu kena halau balik Malaysia.
Hari berikutnya saya datang, Anne tidak datang. Dan esoknya hari Jumaat, meja Anne sudah kosong. Saya kembali berseorangan di dalam pejabat ini, menunggu siapa pula akan ditempatkan bersama saya selepas ini. Siapakah dia, dan apa pula lagi ceritanya...
Baru dua bulan memulakan pengajian, saya sebenarnya sudah mengambil iktibar daripada puluhan kisah kawan-kawan yang bergelut dalam perjuangan mencari ilmu ini. Kisah Anne-Marie adalah satu daripada sekian banyak. Ibarat kata seorang senior di sini, semua calon PhD mengimpikan perjalanan yang lancar dan pengakhiran yang gembira. Tetapi ternyata tidak semuanya akan bernasib baik.
Dalam dunia akademik, perjuangan mendapatkan ijazah PhD adalah yang terakhir untuk digelar seorang pakar di dalam bidangnya. Ada orang mahukannya kerana reputasi, ada yang kerana memang cintakan ilmu dan mahu kepuasan diri, ada yang diwajibkan memperolehinya kerana ia tertakluk di dalam syarat perkhidmatannya sebagai kakitangan akademik di universiti. Tetapi walau apapun sebabnya, adakah anda fikir ia semudah itu? Ini adalah tentang kehidupan. Saya mengorbankan banyak perkara yang tak akan saya rungutkan di sini.
Sahabat-sahabat, doakanlah saya. Sesungguhnya setiap hari di sini saya tempuhi dengan debaran. Saat-saat mahu tidur malam dan bangun pagi adalah yang paling menyeksakan untuk saya, kerana saya selalu terfikir, Ya Allah, bersendirian mengejar ilmu jauh di rantau orang sebegini, apakah lagi yang menantiku dalam pada setiap detik ini berjalan?



4 comments:
Setiap apa yang Tuhan berikan tu pasti ada hikmahnya dan Allah tidak akan menguji hambanNya lebih dari yang hambaNya mampu..so, kak lenny..be strong..InsyaAllah kak lenny oleh tempuhi..u got ur family and friends (walaupun jauh) and we always support u..bukan susah nak jadi susah and bukan senang nak jadi senang..Chaiyuk2!!
No. 1 - Syukur.
No. 2 - Syukur.
No. 3 - Syukur.
No. 4 - Usaha.
No. 5 - Tawakal.
Hai Lenny,
selamat berjaya. setelah mengalami perjalanan ini selama 4 tahun(dan masih belum sampai ke penghujung) saya memang setuju sangat dgn apa yg Lenny katakan- bahawa pengajian phd adalah satu perjuangan. Pada saya ia satu penitian yg harus diteruskan sehingga tercapai kepuasan dalam jiwa...banyak2 bersabar sementara menunggu suami dan anak tiba :) (veronica)
Anonymous - insya Allah. Terima kasih.
Pegawai Khalwat - amin ya Rabb.
Verone - yap, good luck dan teruskan perjuangan. Kejayaan akan datang dalam pelbagai bentuk.
Post a Comment