Sunday, December 18, 2011

BIDANG TEATER: KRITIKAL ATAU DI TAPAK KAKI?

KALI ini saya tangguhkan dulu cerita di Melbourne walaupun adik-adikku di tanah air asyik minta saya cerita pasal pengalaman di sini .. :)

Saya nak bercerita tentang pengalaman saya sendiri yang berkaitan dengan tajuk di atas - nilai bidang ini di mata para sarjana - dalam hal menentukan kritikal atau tidaknya para pelajar teater hingga harus diberikan peluang mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Untuk memperoleh biasiswa ini, saya dipanggil temuduga sekitar Mac 2011 yang berlangsung di fakulti tempat saya berkhidmat (UM). Dua orang profesor dari dua fakulti berlainan menemuduga saya bersama Dekan serta pegawai dari Biro Sumber Manusia. Lima minit pertama, saya diminta memberitahu apa yang ingin saya lakukan dalam pengajian PhD saya kelak. Temuduga ini berlangsung sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, yang mana itu juga satu cabaran kerana walaupun lidah saya sedaya-upaya bertutur dalam BI tetapi otak saya masih berfikir dalam BM. So, gagaplah! Hehe.. tapi kerana kekuatan saya psiko diri-sendiri dan sudah bersedia secara mental, maka alhamdulillah tidak sepatah pun perkataan BM terkeluar sepanjang temuduga 20 minit itu. (Janganlah tanya tatabahasa saya betul ke tidak ... :P)...

Sebelum masuk temuduga, saya sudah tetapkan dalam hati yang saya akan meminta slot luar negara. Dan itulah yang saya lakukan. Kemudian bertubi-tubi soalan ditanyakan pada saya terutamanya oleh Prof Terence, semua menjurus kepada justifikasi mengapa saya perlu dihantar ke luar negara. Jawapan saya adalah berkisar tentang pendedahan dan pengalaman yang perlu saya peroleh. Prof Terence memberitahu saya, beliau baru saja pulang daripada academic tour di UK dan mendapati kebanyakan pelajar Malaysia di sana gagal untuk perform sebagai calon PhD kerana tidak boleh "deliver" dalam bahasa Inggeris. Saya meminta Prof Terence untuk tidak judge saya berdasarkan tour itu kerana saya mungkin lain. Sambil mengakui BI saya hanya sederhana, "but I'm a quick learner" - saya memberinya jaminan. Tetapi beliau tetap dengan tegasnya memberi bayangan bahawa sekiranya saya tidak datang daripada bidang yang kritikal, kemungkinan untuk diberi peluang ke luar negara adalah tipis. Tetapi beliau memuji tindakan saya yang berani MEMINTA, begitupun tidak ada jaminan kerana katanya keputusan ini perlu melalui mesyuarat.

Beberapa minggu kemudian saya menerima surat untuk datang ke sesi temuduga kedua, iaitu temuduga saringan. Ketika ini saya sudah tahu yang saya tidak berjaya mendapatkan slot luar negara, sebaliknya hanya slot tempatan. Saya agak kecewa, tetapi menerima saja sebab keputusan itu dalam jangkaan meskipun saya sangat berharap saya diberi tempat ke luar negara. Temuduga saringan ini hanyalah satu temuduga untuk melihat personaliti kita dan adakah kita sudah bersedia memulakan pengajian PhD. Di peringkat ini walaupun sebelah kaki kita telah mendapat biasiswa tetapi bila-bila masa boleh terundur semula kalau kita tidak menunjukkan komitmen yang sewajarnya.

Jadi saya datang ke temuduga itu dengan lemah-longlai tanpa sebarang persediaan lain kecuali untuk menunjukkan minat meneruskan pengajian sahaja.

Apabila masuk ke dalam bilik temuduga, tiga orang panel sedia menunggu yang saya ketahui sebagai para profesor daripada pelbagai fakulti bersama dua orang pegawai BSM. Saya langsung tidak cemas seperti mana temuduga pertama, kerana mungkin jangkaan saya rendah saja kali ini. Sebelum saya duduk, panel pertama sudah bertanya adakah saya tidak balik ke Sabah kerana ketika itu perayaan Pesta Menuai sedang berlangsung. Saya kata tidak, kerana cuti hanya sekejap. Tapi kesan pertanyaan itu, saya terus faham bahawa mereka sudah membaca profil saya, kalau tidak takkan dia tahu saya orang Sabah! Dan Dusun pula tu!

Kemudian panel yang sama bertanya tentang tesis MA yang saya hasilkan yang bertajuk "Bobolian sebagai sebuah teater ritua". "Macamana you boleh cakap Bobolian ini teater sedangkan ia sebuah traditional healing?" Wah! Soalan yang sungguh saya gemari kerana saya baru sangat habiskan tesis itu dan benda masih fresh dalam kepala. Jadi saya pun menjawab dengan bersemangat dan oleh kerana mereka sudah set-up friendly environment ketika saya melangkah masuk, jadi saya dapat berkomunikasi dengan suasana yang tenang dan tanpa cemas. Saya beritahu bahawa Bobolian adalah sebuah living tradition yang tidak lagi dipraktikkan. Ia sudah hampir hilang dan saya melihatnya dari sudut pandang teater, kerana itu saja satu cara yang lain untuk kita mengangkat tradisi yang hampir pupus. Nilai-nilai teaterikal dapat membantu menghidupkan semula sebuah tradisi, dalam cara tersendiri. Jadi saya sudah menyumbang kepada sekurang-kurangnya meletakkan balik sebuah tradisi di tempatnya, tetapi membuka nilainya dalam konteks yang lain. Sebaik saya habis berhujah, panel kedua cakap :"Eh, very interesting ya your department. Saya tak terfikir pula Drama Department boleh pergi sejauh itu".

Kemudian panel ketiga tanya, so Marlenny, what is your main area for your PhD? Saya pun beritahu saya nak melihat kebangkitan semula Bangsawan di Malaysia. Kemudian panel kedua kata, Bangsawan? So you nak kaji tentang kehidupan raja-raja? Kemudian panel pertama menyampuk, "No, Bangsawan is a performancelah." Kemudian saya kata, Bangsawan pernah popular di Tanah Melayu satu masa dulu, tetapi hilang dan kini muncul balik. Saya beritahu kalau menurut old practicioners yang ada sekarang, zaman kegemilangan Bangsawan itu tak ubah seperti apa yang berlaku di Kuala Lumpur sekarang, menerusi projek Semarak Bangsawan. So, its a kind of revival! Dan saya cakap benda ini tak berlaku selalu di Malaysia. Kita jarang melihat revival sebuah tradisi dalam bentuk yang sangat besar. Saya dapat lihat menerusi penjelasan itu yang mereka semakin membuka mata terhadap "JABATAN TEATER" ini.

Kemudian panel kedua melihat keputusan first degree saya dan berkata: "Marlenny, your first degree result is very good. Why don't you apply to go abroad?" Saya jawab dengan selamba, "I did, but mine was rejected." "Why?" "Because they don't think drama is as critical as science to gain exposure abroad". Saya katakan bahawa orang selalu melihat seni teater sebagai kegilaan untuk berlakon di atas pentas saja. Sedangkan itu hanya asas. Itu hanya perkara pertama yang perlu dipelajari sebelum pergi lebih jauh. Malah saya kata untuk mengeluarkan vokal saja, pelajar perlu mengharungi satu semester untuk mengenal anatomi badan. Apatah lagi untuk berhubung dengan bidang antropologi, seperti yang saya lakukan dalam penyelidikan MA saya - yang saya sudah pergi jauh ke dalam antropologi untuk mengangkat semula sebuah tradisi yang hampir lenyap - DALAM KONTEKS SENI PERSEMBAHAN!

Panel kedua memandang panel yang lain dan berkata: "Ini yang kita nak. Orang kita buat pasal kita. Bukan orang dari luar datang dan buat pasal kita." Kemudian dia memandang pegawai BSM dan bertanya, "Ada berapa slot lagi yang kita reserved untuk ke luar negara?" Pegawai BSM jawab; "Empat atau lima". Kemudian dia pandang saya dan cakap straight to my face: "I GIVE YOU ONE!"

SAYA: Hah?
PANEL: We give you one!
SAYA: Hah?
PANEL: Yes, we give you one slot provided bla bla bla bla bla ....

... ayat lain saya dah tak ingat sebab waktu tu sudah terbayang wajah ibu, ayah, suami, adik-beradik, keluarga dan lain-lain ... Walaupun saya terlatih dalam bidang lakonan, ternyata saya tidak dapat menyembunyikan kegembiraan saya pada waktu itu. Mereka sehingga ketawa melihat reaksi saya menyambut berita itu - kenapa tidak? Belajar di luar negara adalah impian saya yang tidak mungkin tercapai kalau tidak menerima biasiswa! Lainlah kalau nama saya Marlenny binti Tony Fernandez.

Saya - yang datang untuk temuduga saringan - bertukar menjadi lain - dan saya percaya ini datangnya daripada KEYAKINAN dan KEBERANIAN saya untuk berkata sesuatu tentang bidang yang saya cintai ini. Ya, pastinya berlaku dengan izin Allah dan Allah sudah firman bahawa dia tak akan mengubah nasib kita melainkan kita yang berusaha untuk mengubahnya! 

Tujuan saya menulis ini adalah untuk memberi semangat dan keyakinan kepada adik-adik saya di luar sana, yang mahu memperoleh peluang seperti ini. Apabila tiba di Melbourne, saya berpeluang berbual dengan seorang senior di UM yang melanjutkan PhD dalam bidang Perakaunan, yang mengakui terkejut melihat ada calon dari Pusat Kebudayaan berjaya menerima biasiswa Kementerian Pengajian Tinggi untuk ke luar negara. Beliau berterus-terang menyatakan bahawa ini adalah kes terpencil kerana selalunya TIDAK MUNGKIN bidang ini (di Universiti Malaya) akan mendapat peluang ini. Jadi beliau bersetuju bahawa dengan segala macam masalah yang saya tempuhi dan keluarga yang saya tinggalkan di tanah air - bahawa saya tak sepatutnya menolak tawaran ini.

TIADA YANG MUSTAHIL - walau sesukar mana pun. Tapi anda mesti terlebih dahulu YAKIN dan BERANI. Saya harap adik-adik saya yang inginkan peluang ini, sila kembangkan jawapan yang sudah saya berikan di atas kepada tahap yang lebih baik sehingga bidang ini terbukti sama kritikal dengan bidang lain - terutama untuk membangunkan jiwa manusia.

Saya tidak menyalahkan masyarakat - apatah lagi para ahli panel temuduga kalau mereka anggap bidang ini tidak kritikal. Malaysia memang kurang kesedaran mengenai pendidikan seni. Pada mereka drama itu hanya berlakon dan entah apa-apa atas pentas tu - buat apa nak hantar ke luar negara? Budak tak sekolah pun boleh buat. Dan sebenarnya di satu tahap ini juga ada kaitan dengan para pelajar teater itu sendiri yang PUN tak sedar fungsi bidang ini boleh pergi sejauh itu. Mereka juga kebanyakannya menjadikan bidang ini pilihan terakhir dan apabila belajar di universiti hanya buat ala kadar dan asal boleh. Jadi habis pengajian, berlakon pun tetap tak boleh, buat penyelidikan lagilah tak boleh. Jadi perubahan harus bermula dari peringkat dasar, dari diri pelajar itu sendiri dan ia sebenarnya adalah teori domino. Untuk kepada pelajar, ia harus daripada pensyarah dan dari atas dan dari atas dan dari atas dan seterusnya ...

Ketika saya melakukan medical check-up untuk melengkapkan tuntutan biasiswa, saya berbual perkara yang sama dengan seorang perunding kesihatan yang saya jangka datang daripada keluarga bertaraf elit. Dia sebenarnya berminat melihat profil saya yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang theatre performance jadi dia mahu berbual dengan saya tentang bidang ini. Dia agak terkejut dengan segala penjelasan saya dan dia kata, "Puan, tolong buat tour di sekolah-sekolah dan beritahulah ini kepada guru, pelajar dan ibu bapa. Saya sendiri sebelum bercakap dengan Puan, saya tidak memandang langsung bidang ini sebagai akademik. Sekarang saya faham dan kalau anak saya minat menari pun saya mungkin tidak ragu-ragu untuk hantar dia belajar dalam bidang ini".

Sama juga di dalam kursus Biro Tata Negara yang saya hadiri, daripada lebih 160 calon yang akan dihantar ke luar negara, HANYA SAYA SEORANG dari Performing Arts (dalam sesi itu) yang menerima biasiswa ini (punyalah tak kritikal bidang ini). Yang paling ramai adalah doktor, diikuti lawyer dan engineer. Ada seorang calon yang apabila tahu saya akan buat PhD dalam Teater, respon dia: "Wah, interesting. Senanglah ..." Haaaa ... saya rasa nak bunuh dia waktu tu!!! Kemudian apabila saya meluahkan perasaan saya dalam sesi LDK mengenai kesedaran masyarakat mengenai teater dan drama, dan saya menceceh sama seperti yang saya beritahu panel temuduga dan perunding kesihatan itu, mereka juga berkata:"Lenny, please come to society. Beritahu kami, beritahu semua orang mengenai ini. Kami tak tahu!" Dan salah seorangnya adalah guru sekolah dan berkata: "Lenny, I can arrange if you want to come to my school. Please give talk on this matter."

BERANI, YAKIN dan BERJUANG. Itu yang perlu kita lakukan sekarang. Jangan lagi mengaku kita ini tidak kritikal. Bidang kita kritikal, dalam pembangunan tamadun dan jiwa manusia lainnya. Tolonglah ... bangun semua! Jangan asyik berseronok di atas pentas dan terawang-awang mencari pengaruh, itulah yang membuatkan bidang ini jatuh ke tapak kaki. Tanggungjawab kita semua lebih besar daripada itu.

6 comments:

Rai said...

Siapa yang pernah cakap bahawa belajar di Pusat Kebudayaan tu senang sangat? Siapa? Siapa? Ingat tak? Oh, tentulah aku masih ingat.

Sastera pun macam itu juga. Sering dinafikan haknya untuk mendapat pelajar yang pandai. Masuk bidang sastera sebab dah gagal dalam bidang lain. Pergi berniaga air tebulah!

malau said...

Saya berbangga bila baca post ini..pandangan harus ditukar demi memartabatkanbidanga kita. Ramai orang yang pandang rendah akan apa yang kita perjuangkan. tapi bukan salah mereka, kita yang harus perjelaskan lagi. Mungkin penat. Tapi itu yang harus kita lakukan. Buka minda orang yang meletakkan bidang kita sebagai pilihan paling akhir...ni komen sy kat fb..sebaenarnya sy nak letak sini..tp ntah kenapa sy like pastu keluar dia punya tempat komen..trus terkomen situ..

ryann said...

yeahh

Pegawai Khalwat said...

Put me in.

Nani Shahabudin said...

Saya nak sangat anak saya dapat melanjutkan pengajiannya dalam bidang arts and theatre management di UM. Sekarang dia masih study diploma dlm bidang yg sama di Republic Polytechnic Singapura. Sebagai ibu saya tercari peluang degree di malaysia atau biasiswa ke luar negara. Saya sedar utk dapatkan biasiswa kerajaan dlm bidang ini amat sukar sekali. Alhamdulillah, terjumpa tulisan saudari, mungkin saya boleh bagi anak saya baca utk semangat dan dorongan buatnya ��

LENNY ERWAN said...

Terima kasih Puan Nani atas perhatian. Sekiranya puan Nani berminat untuk menghantar anak puan ke UM, sila hubungi saya secara peribadi menggunakan email memmie77@yahoo.com

Insya Allah saya akan berikan keterangan lanjut.