JUMAAT lepas 16 Disember saya berada di rumah Dr Will yang terletak di South Yarra. Ini adalah satu lagi kawasan suburb, hanya 4 kilometer dari Melbourne City, namun begitu dengan penampilannya yang happening dan terkenal sebagai pusat hiburan dan beli-belah bertaraf mewah dan urban, saya melihat karakter South Yarra seperti kawasan Bukit Bintang di Kuala Lumpur tetapi dengan jiwa (of course) Australia. Dua kawasan yang sangat popular sini adalah Chapel Street dan Toorak Road, yang menempatkan restoran, kelab, kompleks membeli-belah yang trendy dan eksklusif. Manakala The Jam Factory juga terletak di sini, ia adalah sebuah kilang lama yang diubahsuai menjadi kompleks membeli-belah dan pawagam.
Apartmen Dr Will terletak di tengah-tengah kawasan elit ini. Dr Will menganjurkan parti khusus untuk mengumpulkan pelajar-pelajar di bawah seliaannya yang terdiri daripada saya, Reagan (Filipina), Tharanga (Sri Lanka) dan Alambir (Bangladesh) kerana selepas ini kami bercuti agak panjang dan hanya akan bertemu selepas sebulan. Turut diundang adalah pensyarah-pensyarah yang turut menjadi penyelia bersama, tetapi tidak semua dapat hadir.
Yang saya suka dengan strategi Dr Will ini adalah, dia sebenarnya sedang berusaha menjadikan kami berempat sebagai kawan-kawan rapat yang dapat bekerjasama membentuk satu cluster yang kukuh bagi membangunkan sumber pengajian Asia di Monash University. Bukan saja menerusi penganjuran parti ini malah di kampus pun seboleh-bolehnya Dr Will mahu kami berempat selalu bertemu dan berbincang tentang perkembangan projek masing-masing. Saya agak senang dengan cara itu kerana ia menjadikan saya lebih terarah, tidak hilang tujuan dan mempunyai sekumpulan sahabat untuk mengadu nasib apabila dilanda "kesusahan akademik". Salah satu perkara yang perlu saya siapkan secepat mungkin ialah laporan mengenai Human Ethics, kerana projek saya membabitkan urusan temubual dan bekerja dengan manusia (aktor, pegawai dan lain-lain). Ia sangat complicated kerana Monash University sangat teliti dengan segala isu yang boleh dikaitkan dengan hak cipta dan harta intelek, kerana itu Human Ethics menjadi penting. Tharanga dan Alambir sudah menyiapkannya dan dengan senang hati memberikan salinan kepada saya, beserta "trick" bagaimana melakukannya dengan tidak memeningkan kepala. Hehe .. syukur sangat ada kawan macam ni...
Kelebihan menjadi satu-satunya perempuan dalam kumpulan ini adalah mereka bertiga sentiasa bersikap "protective" terhadap saya. Tharanga dan Alambir sudah berkahwin dengan isteri kedua-duanya ada di sini, maka saya lebih rapat dengan Reagan. Pada malam parti itu, kerana terlalu seronok berbual di rumah Dr Will, kami terlepas bas terakhir untuk pulang ke Clayton. Dalam tren menuju ke destinasi masing-masing, tak berhenti-henti Tharanga memarahi Reagan kerana membawa saya tetapi "tidak bertanggungjawab" tentang masa untuk pulang. Reagan hanya diam sambil meminta maaf berkali-kali, memandangkan ketika itu sudah lebih jam 12 malam. Saya - walaupun risau tetapi saya tahu pasti semuanya akan okey. Mujurlah tuan rumah Reagan orang yang baik, mengambil kami di hentian bas selepas turun dari tren dan menghantar saya betul sehingga di hadapan pintu rumah. Awesome Pinoy! Hehe...
Dalam masa belum sampai sebulan berada di sini, saya terdedah kepada beberapa budaya hidup yang tak pernah saya hiraukan sebelum ini. Kebanyakannya diajar oleh Reagan yang sudah lebih 6 bulan berada di Australia. Misalnya ketika kami dalam perjalanan ke rumah Dr Will, Reagan memberitahu saya bahawa adalah satu budaya kepada orang sini untuk membawa hadiah atau buah tangan apabila dijemput ke satu-satu parti, umpamanya sebotol wine - dan dalam kes ini saya membeli sebotol juice tetapi Reagan yang membayarnya haha .. kerana katanya saya pertama kali datang, jadi biar dia yang membayar.
Kemudian apabila sampai di rumah Dr Will, Reagan membahagi-bahagikan hadiah kepada semua orang termasuk saya. Hadiah itu katanya adalah sempena Krismas kerana memang budaya mereka bertukar-tukar hadiah dalam suasana perayaan itu. Kalau kita di Malaysia, kita tidak diajar membuka hadiah di hadapan pemberinya, tetapi di sana - tidak membuka hadiah di hadapan pemberinya adalah tanda tidak hormat. Apabila saya menerima hadiah daripada Reagan, saya terus meletakkannya di tepi, tetapi pensyarah kami yang namanya Maryrose terus membuka hadiah itu. Saya memandang Maryrose, kemudian memandang Alambir yang juga perlahan-lahan membuka hadiah itu dan memandang Reagan - kemudian Reagan ketawa dan kata,"Yes Lenny, you can open it now!" Kemudian barulah saya membukanya dengan perasaan yang tidak pasti. Kemudian setelah membukanya mestilah pula kita perlu memberikan kata-kata pujian dan terima kasih kepada pemberinya - jadi saya fikir nilai penghormatan untuk mereka itu mungkin terletak di bahagian ini ...:)...
Tidak lama kemudian, apabila Dr Will dan Maryrose melepak di balkoni untuk merokok, kami menyebut semula kejadian itu. Tharanga bertanya adakah menjadi kebiasaan di negara kami untuk membuka hadiah di hadapan pemberi? Ternyata semua jawapannya adalah tidak. Orang Asia memiliki nilai hormat dengan cara yang sangat berkias dan kami bersetuju itulah yang terbaik. Reagan beritahu dia hanya mengadaptasi dirinya dengan cara hidup Australia. Alambir cakap dia hanya buka saja pembalut hadiah itu apabila melihat orang lain buka. Tharanga kata dia akan mempertahankan nilai Asia dan tidak akan membuka hadiah itu. Saya kata, saya hanya orang baru yang bingung dan ikut saja. Kemudian kami ketawalah beramai-ramai.
Belum lagi tentang membuka kasut apabila masuk ke rumah Dr Will. Saya tengok orang putih tak buka kasut masuk rumah, orang Asia buka. Jadi saya bingung, nak buka atau tidak. Tetapi sebaik melihat Dr Will juga tidak berkasut dalam rumahnya, maka saya pun terus buka kasut. Tapi bingung jugalah sebab ada yang pakai kasut dan ada yang buka. Hmm ... entahlah, saya fikir dalam situasi begini, budaya Asia juga yang sangat mendamaikan. :)
Dr Will mempunyai inspirasi Asia yang sangat kuat dalam dirinya. Nanti selepas ini gambar-gambar dalam rumahnya akan menyusul. Mungkin ada kaitan dengan latar belakangnya yang lama tinggal di Asia Tenggara malah kajiannya terhadap teater di Filipina sangat mendalam sekali. Saya lebih suka berada di dapur beliau dan membantunya membuat kerja sambil berbual untuk mengenali personalitinya dengan lebih mendalam. Saya sudah meminta kebenaran daripadanya untuk letak gambar rumahnya dalam blog ini dan dia tak kisah pun. Dia bertanya adakah blog saya dalam bahasa Melayu atau English. Saya kata bahasa Melayu, dan dia menyuruh saya menulis dalam bahasa Inggeris supaya dia juga boleh membacanya. Tapi saya kata "maybe not. I don't want to look like I'm showing off. hahaha ..." - biarlah saya kekal menulis blog dalam bahasa ibunda yang saya cintai ini.
Ketika pulang, kami berempat berlari-lari merentas blok demi blok demi mengejar jadual tren, mengharung orang mabuk yang sangat ramai, sambil melihat kereta polis memecut laju mengejar dua orang penjahat (agaknya) dan Tharanga menjerit, "Yeah, that guys is finish." Yang kelakarnya, Tharanga dan Alambir sebenarnya sangat kelam-kabut kerana isteri-isteri mereka sudah menelefon dan marah-marah kerana jam sudah hampir 12 malam dan mereka belum balik. Pasal itu Alambir sudah tak ada mood nak buat lawak waktu balik, kepalanya sibuk memikir apa jawapan nak dibagi pada isterinya nanti. Sementara Tharanga berkata (ketika kami melintasi kawasan kelab yang berdentam-dentum muziknya), baiklah kita tukar baju dan masuk kelab malam sekarang ... hahaha ... kemudian dia tanya saya kenapa isteri-isteri marah kalau suami balik lambat. Saya jawab,"You don't need answer to that question. It's a common sense." Kemudian saya teringat, beginikah suami saya kalau saya selalu telefon dia apabila dia belum balik lewat malam ... owhhh .... hahaha...
Saya dan Reagan memang terlepas bas terakhir, dan seperti saya kata, mujurlah tuan rumahnya sudi datang mengambil kami dan saya fikir Reagan menjadikan saya sebagai umpan, kerana masih ada lagi bas malam yang dipanggil "night rider", tetapi penuh dengan orang mabuk. Jadi dia tak mau saya naik bas itu. Jadi, alasan itu cukup kuat untuk tuan rumahnya meninggalkan tidur yang nyenyak dan keluar menjemput kami hahaha ... Okey, tengok gambar dulu. Nanti sambung.

Ketika kami sampai di South Yarra dan berusaha mencari supermarket untuk membeli minuman, kami hilang arah dan Reagan terpaksa cari guna GPS di telefonnya.

Inilah sebahagian pemandangan di South Yarra, sebuah kawasan yang boleh saya samakan dengan Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

Bangunan apartmen Dr Will di jalan apa saya lupa dah....

Train Station - di sinilah saya dan Reagan termenung memikirkan sempat tak kami kejar bas terakhir tu.. hihi..




















2 comments:
Kak Wong rindu sama Melbourne.. kali terakhir jejak 2006. Before this pernah pegi tahun 90an sekali. mesti dah byk berubah. Hehe. Nanti kak wong dtg Lenny bawak jalan ye.. :D
Hai kak Wong,
insya Allah kalau saya dah terror jalan sini.. tapi takut silap-silap kak Wong yang kena bawa saya jalan haha..
Post a Comment