Friday, August 5, 2011

OPERA PRIMADONA - "JADI" ATAU "TIDAK MENJADI"

OPERA PRIMADONA karya Nano Riantiarno, sebuah protes yang tepat menjurus kepada iklim pemerintahan republik Indonesia sama ada Sukarno mahupun Suharto yang begitu degil menyerahkan kuasa politik selama menjadi presiden. Manakala Nano juga terkenal dengan ideologi kepengarangannya sejak 1970, sebagai rangkuman ideologis meliputi hal kemiskinan; kegagalan sosial, politik, budaya; kekuasaan, malah pandangan kritisnya tentang gender dan feminisme.

Pandangan di atas penting untuk memulakan reviu peribadi saya terhadap pementasan Bangsawan Opera Primadona arahan Syahmi Naim di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur pada 15-17 Julai 2011. Pementasan ini menimbulkan pelbagai polemik kerana ramai yang meraguinya sebagai sebuah persembahan Bangsawan.

Jika soalan itu ditanya kepada saya, secara langsung saya akan menjawab "Ya, ini pastilah tidak tepat sebagai sebuah Bangsawan". Tetapi untuk mengadili sebuah kerja kreatif, ia bukanlah wajar pada jawapan "betul" atau "salah", tetapi saya lebih suka menganalisisnya sebagai "jadi" atau "tidak menjadi". Saya menghormati inisiatif Syahmi yang mempunyai energi melahirkan satu pandangan baru terhadap apa yang diketahuinya sebagai Bangsawan, tetapi dalam masa yang sama saya juga mahu Syahmi mengetahui, memahami dan menyebatikan diri dengan apa yang dikatakan sebagai KONVENSI.

Sesebuah genre atau aliran (isme) dalam karya kreatif hanya akan diwartakan apabila ia mencapai konvensi yang tersendiri. Kuih karipap telah diwartakan sebagai karipap dengan konvensinya sebagai adunan puff berintikan kari, kentang atau sardin. Bentuknya juga sudah diwartakan sebagai mana yang kita kenal. Ada percubaan menghasilkan karipap yang lain tetapi sukar diterima kerana bahagian tepinya tidak dipintal seperti mana karipap yang telah diwartakan sejak zaman berzaman. Maka ia tidak menjadi karipap, ia menjadi samosa. Begitu juga kuih seri muka diwartakan sebagai seri muka dengan sikapnya yang mempunyai dua lapisan, di atasnya tepung hijau dan di bawahnya pulut. Tak mungkin seri muka muncul dalam bentuk lain kerana itulah seri muka sejak zaman-berzaman.

Ada usaha memodifikasi karipap, seperti mana sebuah gerai di hadapan perumahan saya, mereka menjual karipap besar dengan harga seringgit. Di dalamnya ada telur rebus separuh, dicampur dengan kentang, ayam dan sesekali sardin. Bentuknya tidak diubah, hanya saiz dan intinya diteroka berdasarkan INTI YANG SEDIA ADA. Jadi kami masih menerimanya sebagai karipap, ada yang menggemarinya lebih daripada karipap yang sedia ada, ada juga yang tidak suka kerana ia terlalu besar. Saya sebagai penggemar kuih karipap sangat menyukai modifikasi ini kerana ia lebih banyak inti dan saya sangat kenyang memakannya kerana saiznya besar (berbanding selalunya saya melantak tiga empat biji baru rasa kenyang).

Analogi karipap ini saya kemukakan untuk menyatakan bahawa Bangsawan diwartakan sebagai Bangsawan - dengan sikapnya yang dimulakan dengan overture, dibuka dengan syair atau gurindam, disulam babak ke babak berselangkan extra-turn dan diakhiri dengan karma. Intinya adalah tirai yang dilukis, kisah raja dan rakyat, percintaan seri panggung dan orang muda, pertentangan kuasa baik dan kuasa jahat malah elemen tasmat yang spektakular. Itulah Bangsawan yang dipersetujui zaman-berzaman. Ada modifikasi berlaku, tentang tirai yang dicetak, lakonan yang bukan lagi improvisasi, tasmat yang menggunakan elemen multi-media, tetapi bersandarkan fakta bahawa ia diteroka berdasarkan KONVENSI YANG SEDIA ADA, maka selagi itu ia tidak akan dipersoalkan.

Syahmi sudah terlibat lama dalam pementasan Bangsawan. Dia sebagai seorang graduan ASWARA sebenarnya tahu konvensi Bangsawan yang disebutkan di atas. Tetapi di dalam nalurinya, wujud keinginan untuk memodifikasi - dan ini adalah perkara biasa bagi anak muda yang energetik - demi mengekspresi apakah pendiriannya tentang Bangsawan. Apakah Syahmi sudah bosan dengan Bangsawan yang sedia ada? Adakah Syahmi fikir Bangsawan harus diperluas lagi supaya tidak statik di dalam bingkainya? Apakah Syahmi fikir karipap yang ada ini sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan maka Syahmi mahu mencipta satu karipap yang baru?

Akibatnya, berlaku satu eksperimentasi di dalam minda yang dibawa ke atas pentas, sayangnya ia tidak mencipta karipap. Ia jauh daripada karipap - WALAUPUN Syahmi bermati-matian mempertahankan bahawa itu adalah ekspresinya terhadap kecintaannya kepada karipap, tetapi Syahmi terbabas di dalam pembikinan karipap itu. Dia menghasilkan sesuatu yang lain - yang bukan Bangsawan. Bangsawan berada dalam fikiran Syahmi tetapi sebenarnya Syahmi tidak berada di atas landasan Bangsawan ketika menghasilkannya. Dia mencuba untuk menerima walaupun dalam masa yang sama dia menolak. Ataupun akhirnya saya melihat Syahmi lebih terpesona untuk menampilkan naskah itu melebihi keinginannya untuk mementaskan Bangsawan.

Akhirnya, Syahmi wajar kembali kepada konvensi. Bangsawan telah diwartakan - dan kita perlu berada di atas trek yang sudah diwartakan itu. Eksperimentasi boleh berlaku tetapi konvensi lebih penting untuk dijaga. Kalau tidak, soalan yang timbul adalah, untuk apa kita membikin Bangsawan, kalau ternyata ia bukan Bangsawan? Saya selalu mempersoalkan perkara ini bukan sahaja dalam isu Opera Primadona. Malah ramai anak muda cuba menginterpretasi semula teater-teater tradisional sehingga mengabaikan konvensi. Ia turut berlaku pada Makyong dan Randai. Saya berusaha mengelak perkara-perkara sebegini kerana saya fikir setiap konvensi harus dihormati, kalau tidak dunia teater yang saya cintai ini akan kucar-kacir malah akhirnya kiamat!

Saya menyedari Syahmi cuba melakukan sesuatu kepada konsep extra-turn apabila tirai tidak ditutup dan hanya lampu membezakan ruang. Saya fikir itu adalah konsep yang menarik sekiranya ia konsisten, ternyata ia tidak konsisten. Mengadakan babak di hadapan pentas sementara para krew menukar latar di belakang adalah satu alternatif yang menarik tetapi ia tidak diteroka dengan penuh berani. Lagipun tidak ada sistem setting ataupun tirai yang perlu ditukar di dalam persembahan ini. Ada percubaan mengemukakan persembahan tarian di atas pentas bergerak tetapi ia adalah babak dalam cerita dan bukannya sebuah segmen extra-turn - besar perbezaannya di situ.

Ketiadaan tirai adalah satu faktor besar yang menyebabkan Opera Primadona tidak dapat dijustifikasi sebagai sebuah Bangsawan. Konvensi Bangsawan adalah tirai - kerana nama lain bagi Bangsawan adalah drama tirai. Tirai melengkapkan fizikal sebuah Bangsawan, sepertimana pulut dan tepung melengkapkan adunan seri muka. Tanpa pulut - apakah seri muka itu seri muka?

Saya faham bahawa penggiat teater muda mempunyai tenaga yang besar untuk berkarya, tidak salah untuk bereksperimentasi tetapi sekali lagi saya ingatkan jangan lupa pada konvensi. Pewartaan konvensi adalah satu tanda aras kepada perkembangan teater. Apabila kita melanggarnya, maka sekali lagi saya tekankan dunia teater akan kucar-kacir dan kiamat.

Tetapi sebagai sebuah persembahan teater, OPERA PRIMADONA adalah antara persembahan terbaik yang saya saksikan tahun ini. Pelakon utamanya (Miss Kecubung) adalah nadi utama persembahan ini. Saya berulang-kali menyebut bahawa dia adalah seorang pelakon pentas yang tajam dan bijak, ia menjadikan saya tidak peduli tentang polemik Bangsawan atau tidaknya persembahan ini - kerana sebuah persembahan itu kalau memang baik, maka ia memang baik.

Berbalik kepada perenggan pertama tulisan ini, kalaulah Syahmi masuk jauh ke dalam pemikiran Nano Riantiarno, membawa lapisan paling dalam ke luar di atas pentas, naskah ini akan jadi lebih bermakna. Opera Primadona bukan saja tentang Miss Kecubung yang enggan melepaskan zaman kegemilangannya, tetapi lebih daripada itu - ia adalah tentang duka sebuah republik yang dicengkam dalam pemerintahan yang menjadikan kaya lebih kaya dan miskin jadi lebih hina.

Kalaulah Syahmi pergi sejauh itu dalam interpretasinya - SAYA PEDULI APA INI BANGSAWAN ATAU TIDAK?

3 comments:

araspeaks said...

komen kak lenny sgt memberi input pd sy w'pun sy x menonton show 2...tqvm!
*peduli apa saya!janji dpt ilmu!hehe

LENNY ERWAN said...

ko memang kan ara... tunggu masuk kelas kak lenny sem depan ... hahhhaha... *tiba-tiba*...

Pegawai Khalwat said...

Ya, itulah perkataan yang dicari-cari.Konvensi! Aku orang yang naif dan daif seni ni tak tahu nak gambarkan macam mana sehinggalah terzahirnya perkataan tu.

Dan memang jelas mengambil analogi karipap dan seri muka (aku pun suka buat analogi makanan, mudah orang faham).

Moga apa yang terjadi menjadi polemik yang sihat.