Saturday, July 2, 2011

PASCA 9 JULAI

TARIKH 9 Julai 2011 itu sendiri lebih bersejarah daripada peristiwa yang berlaku di dalamnya. Sebuah perhimpunan yang asalnya mempunyai tujuan lain telah berubah menjadi lain. Facebook merupakan medan saya mengikuti fenomena ini secara binari, kerana saya sudah kurang percaya pada media lain yang masing-masing hanya memberi pandangan dari satu hala sahaja, berdasarkan agenda dan kepentingan masing-masing.

Rakyat negara kita mengalami paranoid yang sungguh menakutkan. Sebelum tarikh 9 Julai saya sudah mendengar macam-macam spekulasi, hinggakan ada yang meramal ia akan menyamai 13 Mei 1969. Sungguh ekstrem sekali ketakutan ini. Malangnya ia tidak menakutkan saya langsung. Kalau ikutkan saya mahu turun sekali menyertai perhimpunan itu untuk meninjau dan menjadi sebahagian daripada perakam sejarah secara langsung, tetapi saya juga tidak mahu mengambil risiko kerana saya bukan pengamal politik tegar. Saya faham dengan pendirian sebahagian besar kawan-kawan saya yang ikut serta, kerana mungkin jiwa mereka penuh dengan semangat juang dalam cara itu. Saya masih ada pilihan lain. Saya seorang penulis. Dan mata pena lebih tajam daripada pedang!

Cuma saya tidak begitu terlibat memberikan pendapat kerana saya dan pendapat politik tidak sesuai. Saya mual berbicara tentang pertentangan kerajaan dan rakyat. Saya tidak pandai mengulasnya. Pernah mencuba tetapi saya tahu saya tidak sesuai. Saya pernah bekerja di pejabat akhbar dan sebenarnya saya tak asing dengan bual bicara politik malah banyak rahsia tertutup kerajaan yang sempat saya kaut sepanjang pengalaman itu. Tetapi tetap... saya dan politik tidak sesuai! Maka saya mengambil sikap berdiam diri dan melihat saja komen berpanjangan mengenai peristiwa 9 Julai 2011. Anehnya, membaca komen pun membuatkan saya loya ....

Tetapi apa yang saya ingin tuliskan di sini adalah yang lebih memualkan. Dek peristiwa ini, ramai sahabat bertukar menjadi lawan. Dalam dunia Facebook, komen seorang kawan mengenai 9 Julai akan mengundang komen kawan yang seorang lagi. Baguslah kalau mereka sependapat. Malangnya apabila tidak sependapat, maka komen-komen ini akan berubah menjadi satu pertengkaran yang mula-mula ringan, menjadi serius dan akhirnya jadi bodoh! Ia berakhir dengan kejadian membuang rakan dari senarai rakan Facebook!

Lebih tragik lagi kalau ia melibatkan dua bangsa berlainan. Kalau seorang Melayu letak status, seorang Cina akan komen. Kalau komen si Cina itu menentang komen si Melayu, maka masuklah Melayu demi Melayu mengutuk si Cina itu dan akhirnya ia menyimpang kepada tabiat perkauman yang sungguh klise dan "fucking sick" apabila serangan-serangan penuh kebencian dimanifestasikan dengan si Melayu ini menyebut nama-nama binatang dan nenek moyang. Melayu pun jadi racist! Kejadian berantai pun bermula apabila si Cina ini membawa dendam ke dalam akaun Facebooknya lalu kawan-kawannya Cina demi Cina pun masuk lalu terbangkit juga kebencian perkauman lalu tersebutlah segala doktrin bangsa dan agama yang menyakitkan hati dan mencabar kesabaran. Cina juga akhirnya menjadi racist! Lalu antara Melayu dan Cina yang bergaduh dalam Facebook ini, akhirnya semuanya sama bodoh sama biadab. Tak lebih tak kurang.

Akhirnya saya mengakui bahawa 13 Mei 1969 memang berulang tapi dalam cara lebih senyap dan biadap dan lacur sekali.

Saya agak marah. Tetapi mahu marahkan siapa? Kebodohan jenis apakah ini? Sudah pun berlalu 9 Julai 2011. Lalu aku dan kamu semua menjadi apa?

2 comments:

man sasau said...

terbaek kak!

Pegawai Khalwat said...

Aku sudah menjadi saksi buang-membuang rakan di dalam muka buku ini sejak 9 Julai itu.

Aku pun dah turut loya.