Saturday, June 25, 2011

TRAVELOG JOGJAKARTA - KUNJUNGAN YANG BELUM SEMPURNA

KETIKA diberitahu akan ke Jogjakarta bagi menghadiri 9th ASEAN Youth Cultural Forum (23-28 Mei) saya langsung bersetuju. Saya belum pernah ke Jogja dan harapan saya sekiranya kami dapat melawat Borobudur kerana saya teringin nak menyambung keterujaan menikmati Angkor Wat di Cambodia dulu. Peserta terpilih dari UM selain saya dan kak Dot adalah Izzudin, Aniza, Dina dan Sarah.







Pada malam pembukaan delegasi UM mempersembahkan tradisi Bermukun dari negeri Sarawak. Kak Dot yang pandai bergendang memimpin permainan gendang manakala saya bersama Izzudin berduet menyanyikan pantun sebagai drama sosial yang terkandung dalam tradisi Bermukun. Tiga anak dara yang ada dalam delegasi kami tampil bertandak (menari). Ketika berlatih pada sebelah siangnya, sesi latihan kami ditonton oleh peserta dari Universiti Brunei Darussalam. Rupanya orang Brunei ni pun berkongsi angin bermukun yang sama, maklumlah sama-sama orang Borneo. Mereka ikut bertandak waktu latihan. Ia menimbulkan idea kepada kami, apa kata kalau mereka terus ikut bertandak pada malam persembahan sebenar. Idea spontan itu menjadi kenyataan dan malam itu delegasi UM telah bermukun dengan begitu meriah sekali, ditambah dengan keberanian Izzudin turun dari pentas dan membawa Rektor Gadjah Mada menari sama. Jadi ia adalah pembukaan yang sangat berwarna-warni.

Untuk persembahan malam akhir, delegasi UM bergabung dengan peserta dari National University of Laos. Kami memilih konsep persembahan Makyong menggunakan cerita tradisi terkenal dari Laos yang berjudul "The Candle Prediction". Cerita ini mengisahkan tentang penantian seorang Permaisuri kepada Raja yang keluar berperang. Untuk mengetahui adakah Raja masih hidup atau sudah terkorban, Permaisuri meramal menggunakan lilin. Jika lilin terpadam, maksudnya Raja sudah terkorban. Persembahan kami berhasil melakukan kreasi baru antara dua negara. Paduan vokal daripada lagu-lagu Makyong mengiringi perjalanan cerita ramalan lilin.

Manakala untuk persembahan utama yang dinamakan ASEAN Rainbow, semua 90 lebih peserta ini bergabung menyampaikan episod Ramayana Tambak. Peserta bengkel tarian melakonkan dramatarinya, peserta nyanyian menjadi latar vokal dan peserta muzik memainkan gamelan. Kolaborasi bengkel yang berlangsung selama 3 hari ini sungguh menakjubkan. Ia bukan soal hasil persembahan bagus atau tidak, tetapi ia adalah soal bukan mustahil untuk menghasilkan satu persembahan besar dalam masa yang singkat kalau semua orang memberikan fokus dan komitmen yang maksimum. Untuk itu, kami semua wajib diberikan "standing ovation"... hehehe..

Program seumpama ini memberikan kesempatan untuk memecahkan jurang dan tembok budaya (dan malah hambatan segenap aspek kehidupan) antara mahasiswa-mahasiswa di negara-negara ASEAN ini. Bukan saja sesi bengkel, forum atau latihan itu yang penting, tetapi sesi di luar - iaitu ketika santai, acara lawatan dan sesi selepas jam 12 malam juga adalah penting. Duduk bersama peserta delegasi lain dan mendengar perkembangan kontemporari di negara mereka adalah pengetahuan yang sangat penting dapat diperolehi daripada program seperti ini.

Contohnya ketika satu malam kami berbual dengan peserta dari Brunei, mereka menceritakan banyak perkara "dalam negara" yang saya fikir ia tidak akan diceritakan begitu terbuka dalam suasana yang lain. Seingat saya sepuluh tahun lalu, peserta Laos, Vietnam dan Myanmar mempunyai masalah komunikasi yang besar kerana mereka masih belum tahu berbahasa Inggeris. Tetapi kali ini, pada tahun 2011, peserta Laos yang bersama kami itu sangat fasih Inggerisnya. Ia secara tidak langsung menjadi satu tanda ukur kepada tahap apakah gelombang globalisasi yang sudah dijangkau oleh mereka.


Saya mengunjungi toko buku di situ yang membuatkan saya hampir pengsan apabila melihat kedai bukunya seperti urutan kedai kain di Masjid India. Bezanya di Masjid India itu kain dan di sini ia adalah buku. Oleh kerana ada masa tidak sampai satu jam, setiap kali saya singgah di setiap toko saya terus minta buku mengenai drama. Kalau nak menilik satu-satu memanglah takkan ada masa. Tapi yang baiknya dengan cara bertanya begitu, penjual kedai terus akan mengeluarkan naskah drama yang ada. Jadi saya berhasil memperoleh beberapa naskah drama Indonesia yang agak asing dan tak pernah saya baca di sini, selain terjemahan drama-drama lain. Saya juga ambil kesempatan membeli beberapa buku yang agak mahal di Kuala Lumpur tetapi dapat harga jauh lebih murah di sana. Ini termasuklah koleksi Khalil Gibran, buku-buku mengenai filem dan satu buku yang sangat saya hargai adalah Ensiklopedia Sunnah dan Syiah. Buku itu sangat mahal di Malaysia mungkin mencecah ratusan ringgit dan di sana saya memperolehnya dengan hanya harga puluhan ringgit duit Malaysia.

Acara yang paling saya suka adalah ketika kami dibawa menonton persembahan Ramayana Ballet di Ramayana Theatre, Prambanan. Sayangnya oleh kerana terlalu lama melawat kedai cenderahati, kami sampai di sana ketika sudah gelap dan tiada kesempatan masuk ke kuil Prambanan. Saya sungguh kesal dengan perkara ini hinggakan saya menulis tentangnya dalam borang soal-selidik. Tetapi persembahan Ramayana yang berlatarkan kuil Prambanan itu memang dahsyat. Ruginya, kami dapat tempat duduk yang tak begitu strategik. Tapi tak boleh cakap banyak sebab penganjur yang bayar tiket dan saya rasa ia adalah kerusi yang tak berapa mahal. Jadi kedudukan kami adalah di sebelah kiri arena terbuka itu. Hanya Izzudin yang berjaya mencuri duduk di kerusi termahal ketika persembahan berlangsung. Katanya, walaupun kuil Prambanan itu tampak hanya latar belakang, tetapi kedudukan pembinaan pentas terbuka itu menjadikan keluar masuk watak dan kedatangan Jentayu seolah-olah datang dari dalam kuil.


Seminggu berada di Jogja, saya sungguh tak puas memahami kota itu. Suku pun belum. Malah separuh daripada suku pun tidak. Saya masih fikir penganjur harus mengambil inisiatif membawa kami ke tempat yang lebih terkemuka termasuklah Borobudur - bukannya tempat menjual tembikar serta tempat membikin barang perak (silver market). Sayangnya tidak. Begitupun yang saya puji adalah pengurusan acara yang sangat teratur. Kumpulan pengurusan yang terdiri daripada para pelajar UGM sangat cekap dan sempurna. Ini daripada pengurusan perhubungan hinggalah kepada pengurusan pentas, memang tip-top. Seingat saya sejak menjejak kaki di lapangan terbang hinggalah dihantar semula ke lapangan terbang, tidak ada masalah besar yang kami hadapi. Masalah kecil pun serasanya tiada, kecuali masalah kami sendiri yang kekurangan itu dan ini. Semuanya berjalan dengan lancar. Aduan kami hanyalah tentang susunan acara oleh penganjur dan pengisian bengkel. Tetapi itu sudah saya utarakan di dalam borang kaji selidik. Mereka tak minta kami mengisi nama di dalam borang itu tetapi saya letak juga nama saya sebagai tanda saya serius dan jujur menyatakannya, dan semoga ia diperbaiki dalam penganjuran akan datang, Insya Allah.



Gambar kegemaran saya, walaupun di dalam gambar itu adalah Izzudin (Rcong), yang mengambil gambar itu adalah kak Dot dari dalam teksi dan saya duduk di sebelah kak Dot. Pemandu teksi sanggup melayan karenah Izzudin yang nak juga mengambil gambar di hadapan mural itu di tengah-tengah kota Jogjakarta dalam kesibukan menghadapi kesesakan jalan raya. Gambar ini sungguh cool. Mampus kau dikoyak-koyak sepi, legasi Chairil Anwar.



Ketika melepak di hadapan pasar Maliboro menunggu kak Dot membeli-belah. Saya dah penat waktu ini tambahan duit dah susut.


Kami dibawa ke Kampung Sayegan, sebuah perkampungan kebudayaan yang memang telah dipelihara oleh kementerian pelancongan di sana. Di kampung ini segala bentuk persembahan kebudayaan dikembangkan dan dipersembahkan kepada para pelancong yang datang. Setiap pelancong yang tiba akan disambut dengan ikatan tanjak kain di kepala. Sambutan-sambutan persembahan yang diberikan kepada rombongan kami seperti yang dapat dilihat di bawah.











No comments: