Sunday, June 12, 2011

TRAVELOG: CATATAN DI MUKAH (PART 2)

SAYA teruskan catatan saya mengenai pengalaman kami sepanjang berada di Mukah untuk penyelidikan Pesta Kaul. Seawal pertemuan pertama dengan Mejar (B) American Wayne, beliau sendiri sudah mempersoalkan penggunaan perkataan "pesta" yang digandingkan dengan istilah "kaul" kerana menurutnya kaul itu sendiri bermaksud pesta. Beliau berkata perkara ini sudah ditimbulkan dalam beberapa pertemuan. Persoalannya tidakkah ada pihak yang mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu mengenai istilah ini? Tiada jawapan yang kami perolehi melainkan ada kesedaran yang timbul dari kalangan penganjur sendiri. Mungkin perkataan pesta perlu ditarik keluar dan hanya disebut "Kaul Mukah" sahaja, memandangkan ia adalah acara tahunan yang telah dimasukkan di dalam kalendar sambutan perayaan negeri Sarawak.

Kaul asalnya adalah sebuah upacara ritual yang kalau diceritakan dengan terperinci, gambarannya menyerupai puja pantai. Elemen penting di dalam upacara ini adalah perarakan serahang diikuti keman beradat. Konvensi upacara ini adalah persekitaran pantai dan laut, kerana itu ia disambut oleh masyarakat Sarawak yang tinggal di muara sungai yang membawa ke tepi pantai.

Pesta ini diadakan di Tapak Kaul Kala Dana Mukah yang merupakan venue tetap acara setiap tahun. Terletak di tepi pantai Kala Dana Mukah, sayangnya ketika sambutan perasmian, ia tidak mengekalkan konvensi pantai dan laut sedangkan ia sudah pun berada di tepi laut. Saya tidaklah mengharapkan mereka benar-benar melakukan ritual asli kerana ia sudah tidak mungkin dipraktikkan lagi, tetapi pendapat saya kalau ini adalah satu penganjuran yang serius dan bertujuan mengekalkan identiti dan budaya masyarakat Melanau dalam konteks ritual, maka sesuatu harus dilakukan waima dalam inisiatif memberikan gambaran ritual yang sebenar.

Ia tidak berlaku. Yang dilakukan hanyalah sambutan sebuah pesta yang diangkat menjadi ikon negeri, dengan kehadiran Ketua Menteri Sarawak yang kebetulan adalah anak jati Melanau. Jadi saya tertanya-tanya adakah penganjuran pesta ini hanyalah meraikan keberadaan KM Sarawak sebagai anak jati Melanau TANPA tanggungjawab khusus bagi memulihara identiti sedia ada. Tiada jawapan.

Saya ada sikit masalah dengan pihak yang suka menggunakan ritual sebagai ikon negeri, kerana saya mempunyai pengalaman merasa sakit hati dengan kesan dan impaknya. Ketika saya melakukan penyelidikan ke atas ritual Bobolian di Sabah, saya melakukannya di kampung halaman saya yang terpencil dan tidak terkenal. Di sebaliknya, ritual Bobohizan dalam kalangan kaum Kadazan di Penampang sudah pun diangkat menjadi ikon negeri. Dalam sambutan Pesta Menuai (Tadau Kaamatan) peringkat negeri Sabah, Bobohizan menjadi ikon penting, sama pentingnya dengan persembahan tarian Sumazau serta paluan tagungan. SAMA PENTINGNYA juga dengan kostum yang cantik, solekan yang tebal serta peserta Unduk Ngadau yang serba jelita.

Untuk orang yang menyaksikan upacara Bobohizan sebagai ikon negeri, akan merasa bahawa Bobolian seperti bukan ikon kerana banyak yang wujud ketika melihat "ikon" Bobohizan tidak wujud ketika melihat Bobolian. Jadi perasaan sakit hati saya timbul apabila ada pihak menuduh saya tidak melakukan kajian yang betul, hanya kerana mereka terpesona dengan kosmetik ikon negeri dan tidak memahami bahawa satu masa dahulu ia adalah sebuah ritual yang mungkin berlangsung dalam keadaan serba autentik.

Samalah halnya dengan Makyong. Generasi muda yang menonton Makyong oleh kumpulan-kumpulan di Kuala Lumpur contohnya ASWARA, Istana Budaya dan Petronas, pasti terpesona kerana transformasi Makyong di tiga institusi ini sangat dahsyat daripada segi seni persembahan malah juga seni visualnya. Tetapi jika mereka berpatah ke persembahan di kampung-kampung terpencil di Kelantan atau Terengganu, pasti mereka terkejut melihat jauhnya jurang "kosmetik" persembahan ini. Kebodohan akan berlaku jika mereka menggunakan klasifikasi salah atau betul dalam melabelkan apa yang mereka lihat.

Justeru, Kaul akan menerima nasib yang serupa sekiranya penganjur terus-terusan tidak peduli tentang cara terbaik mengekalkan gambar ritual ini di peringkat paling asas pun. Tiada ruginya berusaha menampilkan identiti yang sebenar kerana yang paling rugi adalah mengeluarkan belanja besar tetapi masyarakat dan pengunjung tidak memperoleh apa-apa pun daripadanya - sama ada daripada segi external apatah lagi internal.

Empat hari menyaksikan sambutan kemuncak Kaul ini, saya hanya melihat segmen-segmen adat yang hanya dimuatkan di dalam bingkai-bingkai sambutan. Tiada jiwa tiada wajah. Aktiviti Bermukun yang patut memberitahu masyarakat tentang pergaulan sosial lelaki-perempuan Melanau, tidak dipotretkan dalam cara itu. Bermukun hanya jadi joget lambak sahaja yang boleh dihenti-hentikan demi mengejar waktu siaran langsung, malah diselang-selikan dengan nyanyian bintang Klasik Nasional yang tak terpilih pun ke peringkat kebangsaan serta tarian poco-poco. WTH?

Belum lagi saya menyibuk nak bercakap hal urusetia penganjur yang menyakitkan hati. Saya dan kak Dot sudah tercongok di tapak pesta seawal jam 7.30 pagi. Kerusi banyak kosong dan kami duduk di satu barisan yang kami pasti bukan barisan VIP sebab ada bezanya kerusi VIP dengan kerusi marhaen. Hampir dua jam kami duduk di kerusi itu sampai tertidur-tidur, sekali-sekala bangun untuk ambil gambar, tapi berganti-ganti menjaga dengan kak Dot supaya kami dapat tempat duduk yang bagus untuk ambil gambar waktu upacara berlangsung nanti.

Apabila sudah mencecah jam 9, dewan terbuka itu sudah pun dipenuhi ratusan orang dan di kiri kanan kami sudah ramai pengunjung, kebanyakannya orang-orang tua - tiba-tiba datang dua tiga urusetia yang menyuruh kami berpindah tempat duduk. Alasannya sebab kerusi itu adalah untuk rombongan yang mengiringi Ketua Menteri nanti. Berpindah ke mana? Semua kerusi dah penuh. Mereka tak tanda pun kerusi itu. Kalau ditanda mesti kami tak akan duduk di situ. Orang-orang tua, pakcik dan makcik kampung ini bangunlah tanpa banyak soal dan pergi entah ke mana. Saya dan Dot berpandangan. Kak Dot bagi isyarat adakah kami perlu bergerak atau tidak. Saya kata TUNGGU! Saya boleh bergerak, tak hadap sangat dengan kerusi tu tapi saya tak akan bergerak dengan percuma!

Apabila urusetia yang cantik jelita itu sampai di hadapan kami, meminta kami berpindah saya pun cakap "You should tag this first!" (Ya, saya kalau marah cakap inglis!) Kemudian dia cakap mereka dah tag. Kak Dot cakap korang tag dari sebelah mana dan kami masuk dari sebelah mana? Dan saya cakap lagi, kami dah duduk sini hampir dua jam dan tiba-tiba kamu datang suruh kami pindah? Dan lepas puas hati tengok dia tak dapat jawab, kami terus angkat beg dan blah dan duduk bersama masyarakat lain yang tak dapat tempat duduk.

Saya bukanlah suka sangat nak bergaduh hal-hal remeh begini. Tetapi saya tak tahan kalau melihat urusetia ini bergambar bersukaria atas pentas selama hampir dua jam dan kemudian apabila tengok semua kerusi dah penuh barulah kelam-kabut tersedar tak ada kerusi untuk rombongan manusia-manusia atas angin tu. ETIKA, please! Dan anda adalah kakitangan kerajaan! Jangan pentingkan Ketua Menteri Sarawak, bininya yang jelita dan kuncu-kuncunya saja - kami masyarakat bawahan ini pun ada nilainya juga.

Jadi upacara pun bermula dengan perarakan kumpulan kebudayaan disusuli persembahan kebudayaan di hadapan Ketua Menteri Sarawak. Tak ada bezanya dengan budaya Citrawarna atau sambutan kemerdekaan. Hilang keistimewaan menyebabkan saya dan kak Dot tidak mengikutinya sampai selesai. Kami berjalan-jalan terus di gerai dan melihat budak-budak bermain Tibou dan terus berjalan kaki ke bandar Mukah.

Mujurlah petang itu Pangiran Saifudzin sudi membawa kami melawat ke Lamin Dana, rumah klasik Melanau yang dibangunkan oleh Puan Diana Rose. Berada di situ lebih berbaloi kerana kami dapat berbual sendiri dengannya, mendengar keterujaannya memelihara identiti bangsa menggunakan titik-peluh sendiri. Mengharungi satu period yang panjang, menyaksikan usahanya pernah diketawakan tetapi kini Diana Rose seperti "gerbang identiti Melanau" di Sarawak. Kaul sepatutnya meminjam semangat Diana Rose.

Tetapi saya sama sekali tidak mengatakan bahawa kunjungan ke Mukah ini sia-sia. Tidak sama sekali! Malah ia meningkatkan banyak tahap jangkaan dan penerimaan dalam diri saya terhadap topik "Malaysia dan layanannya kepada identiti bangsa". Ia adalah tajuk yang berlegar-legar dalam kepala saya sekarang dan membuatkan saya ingin mengunjungi lebih banyak lagi sambutan seperti ini di seluruh negara malah seluruh dunia. Saya ingin mengetahui adakah kita saja yang mempermudahkan tamadun masa silam atau memang dasar penduduk dunia ini tidak mahu menghormati sesuatu yang pernah wujud dan membentuk sebahagian besar genetik kita. Genetik ini penting untuk mencipta patriotisme. Kalau kita tidak ada respon patriotik pada sesuatu yang kita miliki, maka jawapannya - patutlah senang sangat negara kita dijajah budaya dan pemikirannya.

Kunjungan ke Mukah bukan sahaja menemukan kami pada apa yang kami jangka, tetapi juga sesuatu di luar jangkaan juga. Mukah memang menyeronokkan tapi adakah Malaysia memang begitu? Tepuklah dada ke atau apa saja nak ditepuk ... jawapannya entah di mana.


3 comments:

Pegawai Khalwat said...

bab sakit hati itulah yang paling menjadi, menjadikan research hang amat menjadi dan mengena.

LENNY ERWAN said...

ahahahaha ... kalau tak sakit hati mesti tak mencapai standard research tu hihi..

Anonymous said...

http://forumguruhonorer.weebly.com/