Wednesday, June 29, 2011

BAPAK WISRAN DALAM KENANGAN

"PAK, saya dah kahwin", kata saya kepada beliau di satu hari. Kemudian dia menjawab, "Nggak payah cakap, tengok kamu pun bapak tahu kamu sudah kahwin", jawabnya sambil tersenyum-senyum. Saya menjerit - malu - disambut ketawa isterinya yang tenang dan setia menemaninya masuk ke dalam kereta kami.

Ketika itu kami membawanya bertemu dengan Erma Fatima, yang mahukan peranannya sebagai penasihat bagi penggambaran skrip drama televisyen saya yang pertama, Haryati II. Penasihatan itu berikutan ada penggambaran akan dilakukan sepenuhnya di Padang Panjang, mengenai suku Minang dan dia sendiri melakonkan salah satu watak utama di sana.

Untuk projek itu, beberapa lama saya mengunjunginya berturut-turut di pejabatnya di ASK Empire Tower, mendengar, memahami dan mencatat adat-istiadat Minang, menyalin ucapan-ucapan dan pantun Minang yang indah berirama. Tanpa pergi ke Padang pun, saya seperti melihat keindahan Padang menerusi tutur kata dan gambarannya, seorang anak jati Padang.

Bapak Wisran Hadi - sasterawan dan budayawan Indonesia yang pernah menabur jasa dan bakti ketika zaman saya menghabiskan pengajian di ASK. Pada tahun terakhir saya menuntut, saya berpeluang berlakon di bawah arahannya menerusi produksi Syakuntala. Ternyata dia seorang tokoh yang budiman, penuh bistari dalam kebijaksanaannya menyampaikan ilmu kepada kami.

Saya selalu masuk ke dalam pejabatnya tanpa sebab, hanya untuk duduk bercerita, atau kalau dia sibuk bekerja saya akan duduk diam membaca buku-bukunya. Dia memberikan saya koleksi bukunya dan yang paling saya hargai adalah kumpulan drama berjudul Empat Sandiwara Orang Melayu, kerana dia menghuraikan panjang lebar akan pemikirannya yang terkandung menerusi penulisan drama itu. Begitu tajam dan bernas sekali. Ada juga beberapa perbualan saya dengannya yang sangat memberikan makna kepada kehidupan yang saya lalui selepas itu.

Dalam dua minggu lepas saya baru membaca sebuah naskah randai yang ditulisnya berjudul Randai Sutan Pamenan. Ketika itu saya teringat-ingat akan dirinya yang begitu lama tidak ditemui. Baru beberapa bulan lalu kami dikejutkan dengan pemergian anak lelakinya ke rahmatullah dan semalam - 28 Jun 2011 - bapak Wisran Hadi menyusul anak lelakinya itu. Sungguhpun tak dapat bertemu kerana jarak yang jauh memisahkan kami, tetapi saya mengenang beliau sebagai seorang guru, bapa dan sahabat yang begitu menyenangkan. Anak-anak didiknya di ASK, kalau berduka pasti akan masuk ke pejabatnya, seperti ada penawar magis di dalam ruang pejabat itu yang boleh menyembuhkan kesedihan hati.

Selamat jalan pak. Hidupmu penuh jasa dan bakti, di akhirat semoga Allah memberimu limpahan rahmat dan kurnia syurga. Al-fatihah.

5 comments:

Fairuz Selamat said...

saya tak kenal pak wisran.. hanya berdasarkan cakap2 org dn cerita dari fina.. tp saya menangis baca entri ni. alfatihah untuk roh nya

LENNY ERWAN said...

:(...
org yang baik mcm bapak wisran meninggalkan kenangan yg baik2 utk kita semua. Amin.

ismajojo said...

Saya sudah menganggapnya seperti bapa...yang ketika anak2 hilang punca,dia hadir memberi kata pengubat penunjuk jalan..pencetus edia..dan rakan ketawa...tak pernah hilang jasanya dimata saya..dan tak terbalas..selamat jalan pak..kami sentiasa mendoakan kesejahteraan beliau...:(

Pegawai Khalwat said...

Amin!

abd naddin said...

alfatihah.saya belum pernah bertemu pak wisran. saya hanya pernah bertemu karya karyanya.alfatihah.semoga amal kebaikannya diterima