Thursday, March 3, 2011

SHORT EYES - rebellious dan berjaya

SANGAT-SANGAT lama saya tidak menulis dalam blog ini. Hari tu saya nak tulis tentang persembahan MEROCOK-ROCOK oleh Aloy Paradoks. Tapi setelah dapat bercakap (chat) sendiri dengan Aloy dan mengemukakan pandangan saya walaupun tak menyeluruh, ditambah dengan perbincangan bersama pelajar-pelajar di kelas saya, akhirnya saya fikir saya tak akan menulis mengenainya. Lagipun saya telah membaca beberapa blog yang memberi kritikan pada persembahan ini, jadi saya fikir ada beberapa perkara saya berkongsi pendapat yang sama dengan mereka, jadi tak perlulah saya mengulang perkara yang sama terhadap Aloy. Hanya pesanan saya pada Aloy, "kalau kau terus bersedia membuka hati mendengar kritikan, satu hari nanti kau akan terbang lebih tinggi" :).

Saya baru menonton pementasan SHORT EYES malam tadi dan saya sangat gembira selepas menontonnya. Selalunya saya ada masalah dengan karya-karya bersifat rebellious kerana pengarah yang rebel selalu tenggelam dengan agenda peribadi mereka dan akhirnya ia akan jadi syok sendiri. Keinginan untuk memberontak dalam karya selalu memakan kreativiti mereka dan akhirnya yang nampak adalah peribadi yang haru-biru dan pemikiran yang caca-marba. Karya-karya rebellious selalu membuat saya letih dan adakalanya menyampah. Tetapi SHORT EYES ditangani dengan betul dan terarah oleh Ayam Fared selaku pengarahnya. Ada banyak "F words" di dalam persembahan ini yang diulang-ulang tetapi saya tidak benci mendengarnya. Malah apabila mereka menyebutnya di tempat dan ketika yang betul, saya menerimanya dengan betul malah adakalanya saya bersetuju.

Naskah ini sekiranya tidak ditangani dengan bertanggungjawab, maka ia akan tampil sebagai sebuah karya lucah (dari segi bahasa dan perlakuan), menjijikkan dan erotik misalnya pada monolog Davis tentang hubungan seksnya dengan budak perempuan. Tetapi kerana lapisan dan segala sub-teksnya diangkat dengan baik dan diletakkan di landasan yang wajar, maka akhirnya yang terzahir di sebalik segala teks itu adalah lebih daripada bahasa dan perlakuannya. Walaupun saya mendengar segala carutan dan maki-hamun yang menyulam adegan ke adegan, tetapi fikiran saya menerawang jauh ke dalam world-view dan survival masyarakat kulit putih, kulit hitam dan Puerto Rico di dalam sebuah tahanan.

Tulisan ini hanyalah sebuah penghargaan daripada saya kepada produksi yang bijak dan berani. Saya harap Ayam Fared terus memilih untuk berkarya begini. Jangan kurangkan dan jangan lebihkan ia. Berhentilah memanggil dirimu "loser" kerana tanpa kau sedar, ada spiritual manusia yang berjaya kau pulihkan hanya dengan kejujuran kau berkarya.

Sebuah persembahan yang baik adalah kombinasi skrip yang bijak, pengarah yang kreatif, para pelakon yang berkarisma, ahli produksi yang komited dan kesemua mereka membentuk sebuah produksi yang mantap dan berhasil memberi makna kepada penonton. Makna itu bukan sahaja dihadam di dalam panggung ketika menonton, tetapi ia dibawa pulang dan diingati mungkin sampai mati.

Di dalam segala kecantikan, keburukan, kesederhanaan, kekurangan dan kelebihannya - pada saya secara peribadi, SHORT EYES adalah sebuah persembahan yang sangat berjaya. Tahniah.

4 comments:

aloy_paradoks said...

terima kasih...

Penjejak Badai said...

Ayam memang best buat pertama kali saya bekerja dgnya..

Pegawai Khalwat said...

Sayang aku tak dapat menonton. Dah ada di KL untuk bangsawan, nak tunggu malam berikutnya tak dapat sebab ada urusan keluarga.

Tak ada rejeki.

Penjejak Badai said...

ala...alasan aa tu..