
MENONTON filem SHAOLIN petang semalam memang menyeronokkan. Saya tak boleh berhenti bercakap pasal filem ini, pertamanya kerana lakonan Andy Lau yang begitu matang dan menyeluruh, seolah-olah dia memberikan segala-galanya kepada filem ini. Emosi yang ditumpahkan sangat impresif, layaklah dengan statusnya sebagai aktor legenda Hong Kong. Kedua, kerana Jackie Chan muncul tidak sampai pun sepuluh adegan agaknya, tetapi di akhir cerita saya setuju bahawa Jackie Chan adalah aktor paling layak memegang karakter "sedikit" itu kerana tanpa dia, watak itu takkan jadi sepenting itu!
Macam biasa no spoiler kerana anda patut menontonnya sendiri. Tetapi secara peribadi, saya fikir koreografi dan sinematografi filem ini hebat sekali. Ditambah dengan jalan cerita yang tersusun baik serta menyerlahkan falsafah begitu mendalam bukan saja tentang seni mempertahankan diri Shaolin, malah juga tentang patriotisme.
Ada banyak babak yang dirancang dengan menarik dan cantik. Stail tersendiri pengarahnya mengendalikan subjek dan objek menjadikan filem ini mengasyikkan pada momen-momen tertentu. Saya dapat merasakan betapa damainya berada di kuil Shaolin. Malah pada satu babak ketika Jeneral Hou mengamuk di kuil sedangkan puluhan sami diam membatukan diri - imejnya dahsyat sekali. Kedamaiannya begitu kuat dan sangat spiritual.
Spiritual - itulah mood paling tepat untuk menggambarkan presentasi filem ini. Kadang-kadang saya rasa sebak dan mahu menangis biar pun bukan pada tempat yang mengusik hati. Filem ini dijalin dalam cara yang sangat indah. Kita tidak boleh membaca filem Hong Kong seperti membaca Hollywood atau Bollywood. Sinema Hong Kong apatah lagi kalau berkisah tentang seni mempertahankan diri mereka, mempunyai spirit yang sangat kuat - walaupun bukanlah semua. Secara peribadi saya rasa Shaolin ini antara yang terbaik selepas saya menyaksikan Fearless (Jet Li) beberapa tahun lalu. Tapi nota kakinya adalah: saya tak menonton banyak filem, jadi mungkin ada lagi yang saya tertinggal.
Yang tak berapa memberikan impak adalah penampilan Nicholas Tse. Untunglah dia sebab berganding dengan Andy Lau dan Jackie Chan. Sayangnya dia tidak menggunakan peluang ini untuk tampil sebaik mungkin. Bak kata Raja Farah yang suka sangat dengan lakonan Andy Lau "tapi sayangnya dia sparing dengan budak-budak". Nicholas Tse nampak cuba nak "berlawan" dengan Andy Lau hingga lakonannya kelihatan dibentuk-bentuk. Adik sepupu saya cakap, "kak, kenapa dia berlakon macam tu?" Entahlah macam tu apa maksudnya tu. Tapi kalau orang yang tak kritikal menonton filem pun rasa ada something wrong dengan dia, apatah lagilah saya yang suka komen-komen berangan kritikal ni hehehe ... Jawapannya adalah: Ada bezanya pelakon yang faham makna "subtle" dengan pelakon yang hanya faham makna "berlakon". Manakala menyaksikan Andy Lau dan Jackie Chan duduk dalam satu frame, kedua-dua "diva" itu berada dalam kelas tersendiri. Cool! Patutlah saya sayang sangat dengan dua legends ni. :)
Jackie Chan hanya muncul di tengah cerita. Tetapi apabila dia muncul, suasana di panggung berubah. Ada penonton terkejut sebab tak sangka dia muncul begitu dan sebaik dialog pertamanya diucapkan, semua orang mula riuh bergelak ketawa. Itu namanya aura beb! Walaupun Andy Lau sangat hebat memainkan peranannya tetapi kemunculan Jackie Chan seperti memberikan janji baru bahawa plot seterusnya adalah lebih hebat lagi. Saya rasa kalau ini persembahan teater mesti orang dah tepuk tangan waktu dia muncul.
Hanya ada sedikit macam kecelaruan pada suntingan filem. Sesekali terasa macam ada babak dipotong, mungkin ganas sangat terutama babak pertarungan dengan askar bawa kapak tu. Kadang-kadang rasa macam pergerakan babak ke babak tak tersusun kemas. Tapi yang sangat menyeronokkan adalah impak seni Shaolin yang dikoreograf dengan indah dan penuh seni. Dulu saya menyampah filem Hong Kong sebab suka menipu dalam babak fighting. Tapi yang ini, walaupun ada juga terbang-terbang tu tapi ia digunakan dengan cara lebih logikal serta seminimum mungkin, bagi memberi peluang kepada kita menikmati keindahan gerak Shaolin. Teknik CGI memang ada tetapi tidaklah menyakitkan hati. Kesan bunyinya hebat sekali. Tak taulah filem itu ke atau sound system panggung yang hebat sangat tapi memang mengkagumkan. Gerak kerja kameranya menangkap emosi dan aksi dengan dahsyat sekali hingga saya begitu puas menontonnya. Biarpun sesekali ada terasa "cut and paste" yang tak menjadi - tetapi akhirnya saya berbalik kepada ceritanya juga. Meminjam kata Hassan Muthalib - filem adalah cerita dan watak.
Saya bukan tak suka penamat cerita ini. Penamatnya hebat sekali, tetapi saya tak suka "idea penulis" membuat penamat seperti ini. Saya mahu sebaliknya. Ending filem ini menjadikan jiwa saya terluka tetapi besar katarsisnya di situ. Saya nak saja sebut apa sebabnya tapi tak mahu spoil jiwa anda yang belum menontonnya hehehe ...
Saya beri 4.99 drpd 5 bintang untuk filem ini. Yang 0.01 peratus tu sebab tak suka Nicholas Tse hahahahah ..... Pergilah menonton Shaolin. Tak rugi. Di akhir cerita nanti, anda lihatlah siapa yang musnah dan siapa yang memusnahkan. Kemudian keluar dari panggung dan fikirlah sekiranya ia terjadi dalam ruang lingkup diri kita. Macam kata Isma "filem ini untuk muhasabah diri". Pengarahnya tidak mengajar apa-apa, tapi selepas menontonnya saya terdidik oleh sesuatu ...



2 comments:
nice review sayang... thanks.
Bila kita amati filem ni..ajaran sholin yg bersifat alam semesta dan kedamaian seakan isma bertanya..dalam agama kita juga sering menekankan sistem yg sama..apa2 agama pun mengajar kita untuk kasih mengasihi..namun manusia sahaja yg jadi pemusnah kepada prinsip agama yg mereka anuti..i like story filem ni..
Post a Comment