Friday, May 28, 2010

TEATER ITU UNIVERSAL

Gambar buku program

WALAUPUN sangat letih dengan latihan demi latihan, tapi awal pagi Sabtu saya gagahkan juga diri untuk hadir menyaksikan sebuah teater kanak-kanak yang dipentaskan dalam bahasa Cina. Saya datang atas undangan Amelia dan rakan-rakan dari TEA Theatre. Persembahan berlangsung jam 11 pagi di sebuah black box di bangunan Shaw Parade di Jalan Changkat Tamby Dollah. Ini kali pertama saya menonton persembahan di situ. Sebelum ini sudah beberapa kali saya menerima undangan daripada TEA Theatre menghadiri acara mereka tetapi sentiasa tidak kena waktunya. Jadi pagi-pagi ini saya usahakan juga sebab saya fikir kalau sudah banyak kali diundang dan masih tidak memenuhi undangan, tak baik juga begitu.

Saya sudah diingatkan awal-awal oleh Simon bahawa persembahan ini sepenuhnya dalam bahasa Cina dan tak ada sarikata disediakan. Saya kata okey saja, "theatre is universal." Apabila saya sampai saja di lobi Shaw Parade, seorang pemuda yang baik bernama Eugene siap menunggu saya dan memberi taklimat mengenai plot cerita ini. Saya sungguh terharu dengan usaha mereka ini.

Kemudian apabila saya masuk, penonton sudah memenuhi ruang black box. Kerusi saya betul-betul di barisan pertama dan paling tengah. Saya perasan semua orang memandang saya kerana memang ketara saya satu-satunya penonton non-Chinese. Ramai kanak-kanak datang bersama ibu bapa dan cikgu mereka. Saya difahamkan pagi itu ada sebuah tadika menghantar semua pelajarnya hadir menyaksikan persembahan itu. Kata Simon "tadika itu sangat kaya sebab mereka belikan tiket berharga rm20 untuk setiap pelajarnya". Saya datang bersendirian. Sebenarnya datang berdua tapi Nasri tak dapat tempat letak kereta sedangkan persembahan sudah mahu bermula jadi Nasri suruh saja saya masuk dulu supaya tak lambat. Sudahnya dia tak dapat tengok show tetapi selesai show Simon, Jing Wen, Nam dan Shi Shi bawa kami melawat set di atas pentas.

Saya sungguh kagum dengan persembahan ini, dengan pembikinan setnya yang kelihatan simple tetapi praktikal dan nampak sungguh spektakular di atas pentas. Ceritanya biasa sahaja, tentang seorang budak cacat yang rendah keyakinan diri, tetapi cerita biasa ini menjadi luar biasa dengan olahan serta kerja-kerja pementasannya. Memang persembahan ini sepenuhnya dalam bahasa Cina, tetapi ada satu bahagian cerita yang sangat menyentuh emosi menghampiri hujung cerita, dan aneh sekali - saya pun ikut mengeluarkan air mata. Orang di kiri kanan saya jangan cakaplah, bertisu-tisu dah basah mengelap air mata dia orang.

Jadi saya gembira dengan pengalaman menonton hari ini. Saya memang jarang menonton teater yang saya tak faham bahasanya sebab saya risau tak dapat mengapresiasinya. Tetapi yang ini tak ada masalah. Mungkin sebab ia muzikal dan sifatnya sebagai teater kanak-kanak yang senang difahami. Set dan kostumnya cantik sekali. Ia bukanlah sempurna kerana masih ada ruang boleh diperbaiki. Tetapi saya kagum dan gembira dengan usaha mereka mengisi minda kanak-kanak menerusi seni persembahan. Saya sentiasa terinspirasi dengan usaha-usaha seperti ini kerana saya juga merasakan bahawa kanak-kanaklah yang sepatutnya diutamakan dalam pembangunan sahsiah menerusi bidang kesenian.

Pengalaman ini mengingatkan saya kepada peristiwa menonton sebuah teater dalam bahasa Tamil berjudul Thanabalan di Wisma Tun Sambanthan lebih kurang 10 tahun lalu - juga atas undangan kawan. Teater itu panjang sekali, macam filemnya juga hehehe ... yang itu memang sukar saya mengapresiasi sebab ia cerita realisme. Cuba nak fokus pun memang tak boleh ikut sebab tak faham dialog. Tapi kami boleh ingat lagunya (ada lagu tau heheh) sebab asyik sebut "Thanabalan ... lalala ... Thanabalan ..."..

Ya ... teater itu universal sifatnya. Pembikin teater pun sepatutnya begitu! Tidak boleh terperangkap dalam tempurung yang kita suka sahaja ...

2 comments:

Anonymous said...

setuju!

Pegawai Khalwat said...

Dulu aku kerap juga menonton teater berbahasa Cina kerana di sini ada beberapa kumpulan teater Cina yang aktif dan mempunya isme nya yang tersendiri.

Paling ketara aku tabik pada tatarias, tatahias dan tatabusana.