Wednesday, November 11, 2009

BERTEMU J.D KHALID

SELEPAS singgah minum sekejap di medan selera berhampiran perumahan Isma, kami berpisah arah. Dia terus berjalan kaki balik ke rumahnya dan saya berpatah ke arah kereta yang saya parkir di tepi jalan raya untuk pulang. Saya seorang diri. Nasri masih di Panggung Bandaraya. Jam sudah 1.30 pagi. Malam tadi. Ketika mahu menaiki tangga medan selera menuju ke tebing jalan, saya terserempak seorang lelaki yang sudah berusia sedang terkial-kial, memegang tongkat kaki tiga mahu menaiki motorsikalnya di hadapan tandas medan selera. Oleh kerana dia betul-betul berada di laluan saya, jadi saya terus berhenti dan bertanya apa boleh saya tolong? Dia kata, "boleh juga, tolong pegang tongkat ini" sementara dia berusaha perlahan-lahan naik ke atas motorsikal.

Sambil itu dia terus kata, "Awak orang Sabah?" Saya terkejut dan jawab, "Eh, macamana tau?" "Tengok muka pun saya tau," jawabnya ringkas. Hmm ... kagum juga saya dengan pakcik ini. "Ramai orang Sabah muka macam awak", tambahnya lagi membuatkan saya ketawa kecil. Tanpa dia bertanya saya kata, "Ha ah .. orang Sabah tapi dah lama duduk sini. Kahwin dengan orang sini jugak." Kemudian dia tanya "Duduk mana?" sambil dia masih berusaha menaiki motor. Saya tak boleh bantu pegang dia kerana dia sudah beritahu saya yang dia dalam keadaan berwudhu. Jadi saya tengok sajalah. "Saya duduk Damansara, tapi tadi hantar kawan sini, minum sekejap dan sekarang nak balik." Kemudian katanya, "Jauh tu." Saya jawab, "Biasa dah, lagipun saya mengajar kat UM. Ulang-alik aje."

Mendengar saja pengakuan saya berkhidmat di UM dia terus cakap orang putih (dan English-nya fasih sekali sementara English saya tergagap-gagap.) . "What do you teach?" Saya jawab "Drama ... theatre .... performing arts". Saya mencari perkataan yang sesuai, sebab saya tak tahu menjangkakan adakah dia faham bidang apakah ini. Dia hentikan kakinya yang dari tadi tak lepas-lepas memulas minyak kemudian merenung muka saya lalu berkata, "You should know me then." Saya terdiam. Nak jawab apa? Saya memang tak cam dia. Jadi saya hanya cakap. "Sorry." Dia sebut namanya "I'm J.D Khalid." Sekali lagi saya kata, "Sorry?" Dia bertegas lagi "J for Japanese, D for Denmark and Khalid. J.D Khalid." Aduii, saya memang tak familiar dia, tapi saya mula rasa dia somebody jugak.

"You know Mustaffa Noor?" dia tanya. Saya jawab, "Of course." Lalu dia menceritakan bahawa dia teman seperjuangan allahyarham itu. Jadi saya cepat meneka dia ini orang teater juga dan pasti berlakon filem juga kerana orang teater zaman arwah Mustaffa Noor akhirnya akan terjun ke filem. Kemudian dia ada bercakap beberapa perkara lagi dalam bahasa Melayu dan Inggeris bercampur-baur. Yang paling akhir saya dengar adalah "But I'm noot so good with wartawan. You know, this kind of people, bikin susah saja." Saya mengangguk-angguk. Entah mengangguk apa, sambil senyum-senyum.

Kemudian apabila motornya sudah boleh hidup, itu isyarat saya sudah boleh serahkan tongkat padanya dan kami pasti berpisah. "Whats your name?" Dia bertanya. "Marlenny." Kemudian dia tanya lagi."You kerja mana tadi?" Saya jawab "Pusat Kebudayaan Universiti Malaya." Katanya, "Okey, (dia sebut) Malini, Pusat Kebudayaan. Pusat Kebudayaan, Malini. Nice to see you Malini. You are good girl (saya suka ayat ini :-)...." Saya mengangguk, senyum dan mengucapkan salam. Kami berpisah begitu saja tapi saya pulang dengan kenang-kenangan seorang sahabat baru. Sampai rumah walaupun mengantuk, saya taipkan juga nama J.D Khalid di Yahoo! Search. Saya jumpa filmografinya menerusi filem Black Widow Wajah Ayu. Jadi memang dia seorang aktor dahulu. Harap-harapnya saya tak salah eja dan harapnya inilah JD Khalid yang saya temui tadi sebab foto tak ada di laman web itu.

Kini dia bertongkat tiga, mengambil wudhu di tandas medan selera, tinggal di kawasan sesak apartmen Bukit Angkasa, menaiki motorsikal terkial-kial. Kalau saya tak lalu tadi, entah siapa menolongnya. Mungkin ada atau mungkin tidak ada orang lalu dan pastilah dia akan terus terkial-kial menaiki motorsikal sambil tangan menongkat tanah supaya dia tidak terjatuh. Mana tongkat lagi, mana motorsikal lagi. Saya berhenti tadi pun kerana saya terbayang kalaulah ayah saya dalam keadaan begitu maka saya mahu orang lain berhenti menolong ayah saya juga. Saya mahu bertemunya lagi dan mahu berbual dengannya. Daripada caranya bercakap, walaupun dia ada masalah pertuturan, tetapi saya pasti dia sangat peramah orangnya. Dalam sedikit masa itu saya perolehi banyak cerita. Apatah lagi kalau berlama-lama. Saya pasti akan bertemu dia lagi sebab saya selalu singgah di tempat itu. Kalau saya nampak dia lain kali saya akan tegur dan duduk bersamanya kalau dia ada masa terluang. Saya suka berbual dengan orang berpengalaman kerana merekalah lautan ilmu dan gedung bicara.

Saya masih terkedu dengan kata-katanya tadi, "You should know me then". Ketika itu saya terfikir, betapa mentahnya saya ini masih.

6 comments:

aloy_paradoks said...

try tengok Kaki Bakar,,, dengar citer dia ada jadi pelakon pembantu...

Pegawai Khalwat said...

Kadang-kadang orang macam ni tak mengharapkan pertolongan sangat. Sebab mereka dah biasa berdikari.

Tapi kalau kita tolong, tentunya mereka akan lebih berbesar hati.

JD Khalid, aku macam pernah dengar tapi di mana ya?

Kalau SA Bakar tu familiar jugaklah.

lenny said...

Aloy - yaa betul. Dia ada berlakon dalam Kaki Bakar.

Tuan Pegawai - ha ah memang pun. Ada kawan saya cakap memang biasa nampak dia berjalan ke sana-sini dengan tongkat dan motornya. Apabila dia naik motor besarnya tu memang gempak. Nampak star sangat. Tapi kalau kita lalu depan dia memanglah tak sampai hati nak tengok dia terkial-kial sorang-sorang.

Saya check nama dia, memang dia pelakon filem. Memang tak popular tapi selalunya pengarah-pengarah besar yang ambil dia berlakon.

Annakonda said...

He is my beloved father.
Dia seorg yang suka berdikari walau ditentang keluarga. Sbg seorg org muda, kami membiarkan beliau agar gembira dengan apa yang dibuatnya sementelah dia masih ada.. Kami amat menyayanginya :) .. hepi with ur credits :)

LENNY said...

Hai Annakonda,

ayah kamu sama seperti ayah saya. Mereka tak menggunakan alasan ketuaan untuk berhenti meniti hidup. Doakan mereka terus sejahtera dan menikmati hidup ini seadanya. Alhamdulillah. Insya Allah.

Nice to know you.

Sasuke Nazir said...

JD Khalid juga byk brlakon drama. Ske watak komedi dia. Asal Kg Bkt Laka, Bahau klu xsilap sy sbb xjauh dari kg sy. klau ade mnonton filem Driving School lakonan Azmil Mustafa, dia yg pegang pisau tuntut duit yuran sbb xlulus. Dialog lbh krg cmni, "Sekolah ni penipu! ckp sekolah gerenti pas tp knp sy xpas?" :D medi dia. Asal Kg Bkt Laka, Bahau klu xs