Thursday, October 1, 2009

Tentang Tragedi

DUA negara yang berjiran dengan Malaysia nampaknya ditimpa tragedi. Filipina dengan Taufan Ketsana dan Indonesia dengan serangan gempa yang memusnahkan Padang di Sumatera Barat. Walaupun ia tidak sepenuhnya merosakkan petempatan di tempat kita tetapi tempiasnya terkena juga. Sewaktu berada di Sabah sepanjang dua minggu lalu, hampir setiap hari Ranau disinggahi angin kencang dan puting beliung dalam skala kecil. Manakala di Kota Kinabalu sudah ada atap rumah yang terbang dan tiang letrik yang tumbang, kerana kedudukan Sabah yang hampir dengan Filipina.

Di sebelah Semenanjung, ada gegaran di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan KL akibat gempa bumi di Sumatera semalam. Saya tidak sedar gegaran itu kerana kami berada dalam kereta pada masa gegaran dilaporkan dan hanya mendengar berita menerusi radio. Yang sedihnya menerusi Facebook, ada rakan yang saya kenal memberitahu bahawa Kota Pariaman di Padang hancur 80% akibat gempa berukuran 7.9 skala richter itu. Ukuran itu sangat tinggi, ketika Acheh dilanda tsunami pada 2004 pun ukurannya adalah 9 skala richter. Ada bangunan runtuh, orang tertimbus, ratusan rumah musnah, hotel dan jambatan juga musnah serta lebih teruk ia menyebabkan kebakaran.

Saya tak pernah sampai di Padang, tetapi saya pernah menulis mengenai latar kota itu di dalam drama tv Haryati (2005) dengan bantuan Pak Wisran Hadi, pensyarah tamu di ASWARA ketika itu. Saya segera terkenang Pak Wisran Hadi yang sekarang sudah pulang ke Indonesia. Adakah dia berada di Padang, kampung halamannya itu? Saya mendoakan dia dan keluarganya selamat. Malah saya mendoakan juga agar semua penduduk di sana selamat dan baik-baik saja.

Manakala taufan di Filipina juga memberi tempias kepada Pantai Timur Semenanjung apabila dilaporkan lebih kurang 100 buah rumah di Kelantan dan Terengganu rosak, manakala hujan batu turun di Jerantut, Pahang. Di antara kesemua tragedi ini, rupanya ada tsunami juga meledak di Kepulauan Samoa dan Tonga.

Subhanallah, saya sangat cemas mendengar berita-berita seperti ini. Hari ini hari mereka, entah hari esok hari kita, siapa tahu? Berdoalah semua untuk kesejahteraan saudara-saudara yang ditimpa malang itu. Janganlah kita ralit sangat bersukaria andai kita tahu ada manusia lain yang menderita.

Penerbangan balik dari KK ke KL pada malam Selasa lepas pun tidak begitu menyenangkan. Kapal terbang yang kami naiki bergegar kuat sepanjang perjalanan dan beberapa kali isyarat pakai talipinggang dinyalakan. Di tengah perjalanan, diumumkan pula bahawa cuaca tidak baik dan penerbangan sedang menempuhi ribut udara - saya sungguh cemas ketika itu. Saya tahu ia berkaitan dengan taufan di Filipina itu. Syukur alhamdulillah dalam kekalutan dan cemas, kapal terbang mendarat selamat di LCCT malah 15 minit lebih awal daripada jadual.

Hidup ini bergerak sama dengan dentingan jam. Kita sentiasa tidak tahu apa yang berlaku saat demi saat. Allah saja yang tahu.

1 comment:

aloy_paradoks said...

boleh la main lagu Ebeit G Ade lagi.