Friday, October 30, 2009

BERAKHIRNYA PROJEK AKHIR PELAJAR PKUM

BERMULA Selasa minggu lepas hinggalah malam semalam (Khamis), auditorium DBP dimeriahkan dengan lima pementasan sempena penilaian projek akhir pelajar-pelajar Seni Persembahan (Drama) Pusat Kebudayaan UM. Saya sendiri mengarahkan salah satunya iaitu RACHEL CORRIE, persembahan pembuka tirai projek ini. Rasanya ini adalah kali terakhir saya mengarahkan projek akhir pelajar kerana Januari ini apabila saya menyertai Pusat Kebudayaan sebagai kakitangan akademik sepenuh masa, peranan saya mungkin lebih diperlukan sebagai penasihat mereka. Jadi, saya kena hentikan kerja pengarahan supaya tidak timbul soal berat sebelah.

Apa yang saya nak sebut di sini adalah kebanggaan saya kepada produksi-produksi yang menunjukkan peningkatan dan kesungguhan. Selain bangganya saya kepada Ismaliza yang sudah menunjukkan potensinya sebagai pelakon serba-boleh, keberanian Ika dan Najwa meneroka potensi berbeza dalam diri mereka, kesungguhan Mei Ling, Li Ting dan Zoey bermain dengan absurditi, kegigihan Meera dan Saeyo yang cuba bersuara lantang menerusi kritikan sosial, saya paling gembira dengan persembahan yang ditunjukkan oleh produksi terakhir yang perform malam tadi iaitu AKU CINTA XXX. Pelajar yang dinilai dalam produksi ini adalah Shi Shi, Gan, Jingwen dan Shu Yin. Manakala pengarah mereka adalah aktivis teater yang sangat prolifik iaitu Amelia Tan dari TEA Theatre.

Persembahan AKU CINTA XXX bukanlah sebuah persembahan gaya baru, saya pernah melihat stail sebegitu sebelum ini dan walaupun ia bukan klise, ia juga bukanlah terlalu segar. Tetapi ia ada sesuatu yang lebih daripada segala elemen luaran yang ditunjukkan. Malah saya bersetuju dengan kesimpulan Arifwaran selepas show bahawa ada masanya suara politik di dalam persembahan ini menjadi begitu primer lalu nilai teaterikal menjadi sekunder. Tetapi itulah bijak dan cantiknya teater. Ketika kita kelihatan hanya beraksi di atas sebuah pentas, tetapi kita sebenarnya sedang bercakap tentang dunia.

Saya mahu berikan kredit kepada Shi Shi, Gan, Jingwen dan Shu Yin kerana segala kerja-keras, kegigihan, disiplin, kemahuan, kesabaran dan keberanian mereka telah terbukti pada malam semalam. Seingat saya produksi ini sangat gigih. Ketika semua pelajar bercuti tiga bulan, mereka sudah mula berlatih. Sehingga persembahan semalam, rasanya latihan mereka sudah menjangkau enam bulan. Mereka tak payah cakap banyak, rasanya siapa yang menonton semalam pun tahu berapa lama masa diperlukan untuk performance sedemikian rupa. Di hujung persembahan, saya berikan standing ovation kepada persembahan ini sebagai tanda penghormatan saya kepada segala kegigihan dan kesungguhan mereka bekerja sebagai sebuah pasukan teater. Jadi di tangan mereka, bidang teater bukan bidang main-main, bukan hanya menjerit-jerit, mencarut-carut atau ekspresi mengarut-ngarut. Tetapi mereka memberitahu orang bahawa sebagaimana sukar negara ini menghalakan bahteranya mengharung perjalanan masa, begitulah orang teater berjuang dan melaungkan suara demi mengisi spiritual para penonton. Jadi saya berikan standing ovation untuk itu.

Agak rugi kepada pelajar teater yang tidak datang menonton kerana kita bukan sahaja menonton satu cerita, tetapi kita juga menonton satu keazaman sekumpulan pelajar yang mahu suara mereka didengar lalu pentas teater adalah mediumnya. Tenaga mereka begitu fantastik, persembahan mereka begitu terkawal, tidak mengada-ngada, tidak diada-adakan, mereka menjelmakan momen-momen yang membingungkan menjadi satu cerita yang tidak ada hujung pangkalnya. Drama ini bukan konvensional. Ia tanpa plot, maka sukar mengesan true-line di dalamnya. Tetapi produksi ini berjaya memberikan kita sebuah cerita yang kita semua faham sebenarnya, bahawa mereka bercakap tentang Malaysia. Keletihan yang mereka tunjukkan di akhir babak, adalah keletihan kita semua terhadap masa depan negara ini. Kita mengulang persoalan yang sama, kita suka dan cinta semua perkara tentang negara ini, tetapi ke manakah hala tuju negara ini mahu kita bawa?

Persembahan ini digarap begitu cantik dan indah, di dalam satu eksperimentasi yang biarpun stereotaip sedikit tetapi sangat indah. Jiwa pengarah terhadap pandangannya kepada Malaysia sebagai bangsa Cina sangat kuat - begitu kuat sekali - hingga saya menjadi sangat cemburu. Apabila saya melihat profile pengarahnya, Amelia Tan, yang sudah 20 tahun di dalam bidang ini, saya harap kalau saya panjang umur dan bertahan hingga 10 tahun lagi, saya mahu jadi sebijak dia dalam menangani sebuah karya.

Inilah apa yang saya katakan sebagai - menumbuk audiens tanpa mereka merasa sakit. Sesekali panggung gamat dengan hilai ketawa, tambah-tambah ketika segmen dikir barat, kemudian saya bertanya - penonton ini ketawakan siapa? Mungkin diri-sendiri.

Tahniah saya ucapkan kepada semua pelajar yang dinilai semester ini, termasuklah Heng Ching serta Pak Tam yang menjadi tulang belakang kepada kelima-lima produksi ini. Mereka semua telah berusaha dengan gigih, biarpun diterjah sentak kiri kanan depan belakang, tapi mereka telan semuanya dengan cara masing-masing.

Wahai adik-adikku, dunia di luar lebih mencabar lagi! Tahniah dan teruskan perjuangan.

1 comment:

Pegawai Khalwat said...

Ruginya aku tak berada di sana. Ruang ilmu sebegitu kurang di sini.

Kurang sangat....