Thursday, July 2, 2009

PANTUN AYAH

SEMALAM saya buka Facebook lalu terbaca pantun-pantun yang ayah saya karang di laman profil beliau. Rasa syahdu di dalam hati, selain agak lucu kerana dia berbalas pantun dengan sahabat-sahabatnya dari Indonesia.

Dalam kesibukan begini, tiba-tiba saya merindui kampung. Adussss....

Di bawah ini adalah antara koleksi pantun ayah. Dia memang pakar pantun dan kalau tak silap waktu zaman kolej, dia pernah wakil Maktab Perguruan Sultan Idris dalam acara pantun. Waktu kecil dulu ayah yang ajar saya cara mengarang pantun. Katanya maksud harus ditulis dulu barulah pembayang dicari. Katanya dalam penciptaan pantun, yang paling berseni adalah pembayang tetapi yang paling menikam adalah maksud. Jadi kedua-dua ini mestilah ditulis dalam ayat terbaik. Sampai sekarang saya ingat pesan itu apabila nak tulis pantun.

Bawang terletak di atas peti,
Dihiris-hiris disayat-sayat;
Zaman berlalu insan berganti,
Riwayat tinggal jadi hikayat.

Mudik sampan dayung ke hulu,
Bawa batik tenunan Bali;
Kala terkenang zaman dahulu,
Jiwa menangis ingin kembali.

Kain sarung kain pelikat,
Buat tudung pergi ke pekan;
Kalau memang umurku singkat,
Laku burukku tolong ampunkan.

Kalau gelang si rama-rama,
Letakkan saja di pohon berangan;
Janji kita mati bersama,
Hendak berkubur di tapak tangan.

Puteri cantik anak Penghulu,
Lalu di depan jangan diganggu;
Andainya aku mati dahulu,
Di ambang syurga aku menunggu.

Erwan Gunda
Kinorotuan, Ranau
1545-29062009

1 comment:

Mohammad Hariry said...

Kalau ke pekan membeli laksa
Kirimkan abang si ikan kayu
Pantun bukan seni bahasa
Tapi lambang tamadun melayu