Tuesday, July 28, 2009

INSPIRASI BADRUL BAMBI

KETIKA menghadiri majlis baca puisi anjuran ASWARA di Pesta Buku PWTC tahun lepas, saya ditanya oleh Puan Faziah (isteri Encik Zakaria Ariffin), "Berapa dah skrip awak Marlenny?" Saya kata yang dah dipentaskan adalah dalam sepuluh buah kot. Lepas tu dia cakap, "boleh terbitkan dah tu." Saya mengangguk-angguk saja tanda setuju. Saya fikir Puan Faziah bertanya begitu kerana beberapa minggu sebelumnya dia hadir menonton arahan saya DARI M KE M di The Store DBP. Dia dan suaminya adalah cikgu saya. Jadi mereka ini antara yang sering hadir mengikuti perkembangan atau menonton karya saya.

Kemudian selepas itu (malah sebelum-sebelum itu pun) suami saya ada juga (sering) memberi saranan supaya saya terbitkan buku untuk kompilasikan skrip-skrip saya. Saya ini bukanlah penulis hebat meletup pun, tetapi setiap kali orang minta skrip saya, maka terpaksalah saya bagi yang versi bercetak koyak-rabak atau pun paling koman saya main email saja. Suami saya cakap bukankah bagus kalau saya boleh berikannya dalam bentuk buku. Saya juga setuju dengan kata-katanya tapi masih tidak ada apa-apa tindakan.

Alkisahnya, tahun ini sahabat saya Siti Raihani Mohd Saaid akhirnya berjaya menyiapkan antologi cerpennya yang pertama berjudul BADRUL BAMBI. Saya sudah mendapat satu naskah buku itu. Yang paling membanggakan adalah dia menerbitkannya sendiri, menggunakan ongkosnya sendiri di bawah jenama penerbitannya sendiri iaitu RUMAH KARYA RANIA (sempena nama anak sulungnya yang comel itu ILHAM RANIA).

Saya sms pada dia bahawa saya "jelessss" yang amat sangat melihat kemunculan BADRUL BAMBI. Rai balas, "Kalau kak Len tau berapa Rai habis untuk buat benda ni, mesti kak Len tak jeles." Hahahaha ... dia berhabis wang dan masa untuk menghasilkan sebuah buku sendiri. Ia adalah satu keinginan seorang penulis, supaya karyanya dapat dinikmati dalam bentuk lebih "bertamadun". Kalau nak tunggu DBP saja yang buat, alamatlah sepuluh kali Rai konvo PhD hehehehe ...

Di sebalik itu antologi BADRUL BAMBI memberikan inspirasi dan menguatkan semangat saya untuk menyusul dengan kumpulan skrip saya pula. Memang kita suka berangan-angan, cakap-cakap, mengimpi-impi, buatnya tidak juga. Tapi kali ini saya benar-benar terinspirasi. Bila? Tak tahu. Tak ada janji. Tak ada jangkaan. Tapi pasti ada, insya-Allah.

Saya juga sedang membaca BADRUL BAMBI dan saya akan tulis sesuatu mengenainya. Saya harus tulis sesuatu kerana Siti Raihani bukanlah penulis "biasa-biasa". Apa yang saya boleh katakan di sini, anda janganlah fikir ia sebuah antologi cerpen yang klise. Kepada anda yang teringin mengenali BADRUL BAMBI, klik gambar di sebelah kiri ini. Anda boleh membelinya secara online.

Tahniah, Rai!

5 comments:

Pegawai Khalwat said...

Aku pun nak publish skrip jugak ni. Dok cari jalan.

lenny said...

jom kitaa ...

Rai said...

Kak Len,

Berapa kali ada pencalonan hadiah sastera malaysia i suruh u submit skrip,kannnn?Menang tak menang lain cerita.Lambat umum keputusan pun lain cerita.Tapi kalau tak try tak tahu.

Kalau menang,alhamdulillah.Ia menaikkan kredit naskhah tu.

Terima kasih untk publisiti besar-besaran itu.Huahuahua!

Ajami Hashim said...

Salaam :-)

Antologi rojak buku ini mengandungi 11 judul. Banyak dan anekaragam ceritanya. Sarat (kadangkala tak larat) dengan latar yang biasa atau luarbiasa si penulisnya. Mungkin kamu menemui sebahagian kisah diri sendiri dalam seperenggan, sebaris ayat atau sepatah kata. Bagi saya, hanya dengan membaca cerpen Badrul Bambi (1997) diikuti Badrul Bambi II (2009) secara back-to-back mampu menjinakkan kemalasan 'membaca' dalam diri saya yang sememangnya sibuk katanya!.. ahahaha!

Inilah pengalaman santai saya ketika membaca kedua-dua cerpen:

Badrul Bambi (1997)
Cerpen ini bermula dengan sebabak pertemuan yang bersebab dari satu insiden penyelamatan kepada watak protagonis bernama Badrul oleh seorang gadis bernama Bambi (kamu kena baca untuk tahu asalnya nama 'bambi' itu). Begitulah ada ketikanya kehidupan di luar jangkaan sebegitu sebagai permulaan plot genting yang akan berentetan menjadi kronologi-kronologi penting kehidupan Badrul selepas itu. Unpredictable! Malahan titik-temu itu berlaku di tanah asing yang cuma disinggahi sebentar sahaja (Bali). Ia terperap menjadi rahsia peribadi Badrul. Namun detik sekejap itu jugalah yang masih dilawati dalam ingatannya. Bagi saya, cerpen Badrul Bambi itu secara keseluruhannya ialah set-up paling penting dalam pencarian makna kehidupan dalam diri Badrul. Dalam ertikata lain, Bambi itu memang sebenar-benarnya 'penyelamat' kepada Badrul. Saya sukakan perjalanan bercerita oleh Raihani kerana membaca cerpen ini seperti bermula dengan satu titik di tengah gegelung ubat nyamuk yang membesar dan membesar lalu menyempurnakan cerita penuh yang diakhiri dengan cliffhanger (sebab itulah cerpen Badrul Bambi II mesti dibaca bersambungan). Exposition latar lokasi Bali yang mungkin bukan kebiasaan kepada pembaca berjaya digambarkan melalui selitan deskripsi di sana-sini tanpa memaksa untuk diimaginasikan semasa bercerita perihal watak-watak Badrul, Bambi dan Tiger. Cerpen ini mahir memancing pembacaan dengan plot-twist apabila Roro (adik Bambi) tiba-tiba memaki-hamun Badrul di paragraf ke hujung cerita. Watak tambahan Tiger adalah lawan atau kontradiksi kepada watak Badrul yang cynical dan comical. Watak Intan pula adalah konflik realiti sebenar yang nyata kepada watak Badrul. Maksud saya, wujudnya watak antagonis Bambi (dan cerpen itu sendiri) seakan mimpi basah yang enak dan lazat kepada Badrul seumpama sebiji epal dari pohon dalam taman larangan? Bambi itu ialah lust?.. ahahaha!

Badrul Bambi II (2009)
Cerpen ini sudah tentu jauh lebih matang bahasa dan permainan plotnya. Namun kali ini Raihani seakan kekurangan jus berahi dalam bercerita berbanding cerpen Badrul Bambi terdahulu. Naratifnya semakin dewasa seiring dengan perkembangan watak-watak Badrul, Tiger dan Bambi itu sendiri yang kini dalam dunia karier yang lebih besar dan mencabar. Cerpen kali ini lebih berat sindiran kepada dunia sekitaran Badrul sehari-harian walaupun masih santai dan bersahaja. Gaya hidup ber-facebook juga diselitkan untuk kedengaran moden. Latar watak Badrul sebagai ketua editor (penulis) juga digunapakai sehabisnya oleh Raihani untuk menyalurkan pendapatnya terhadap definisi sastera Islam serta red tape dan hipokrasi dunia penulisan di Malaysia. Malahan ia lebih masuk ke dalam keluarga dan keperluan (atau desakan) kelelakiannya yang sebenar. Kalau dulu sekadar sifat remaja jiwang disulamkan dalam cerita, kini ia lebih kepada kenyataan survival generasinya. (jelas bila Badrul meroyan pasal isu no-nonsense fahaman Intan, keluarga Intan dan keluarganya sendiri). Namun begitu, cerpen ini masih bertunjangkan hubungan Badrul-Bambi yang akhirnya.. ops! sila beli dan baca sepenuhnya cerpen ini sebab saya tak mahu bagi spoiler!.. ahahaha!

NOTA:
Tahniah untuk sang penulis Raihani Mohd. Saaid dengan kelahiran putera beliau Umar Firas yang sangat comel pada 30 Julai 2009 yang lalu! (ya! nama Umar Firas itu ada dalam cerpen Badrul Bambi II).. lu hebat sis! :-)

ref: ajamihashim

lenny said...

Rai,

ye ye ... aku insaf huhuhu .... insya Allah...

Ajami Hashim,
terima kasih menyinggah malah memberikan info yang begitu berkesan. Ya, Badrul Bambi sangat menginspirasikan. Bersedialah dengan kebangkitan Raihani seterusnya.