Monday, June 1, 2009

KISAH THE SPIRIT (FINAL PART)

HUH... lamanya nak mengabiskan cerita hantu ni. Tapi entri ini adalah yang terakhir tentang hantu THE SPIRIT kerana saya nak start cerita pasal persediaan festival teater pulak lepas ni. Perkembangan paling baru adalah, proses editing THE SPIRIT dah selesai. Saya sangat gembira kerana berjaya menghabiskan suntingan offline dan online dengan bantuan Farah, Farhana dan Nasri. Ini benda baru untuk saya dan saya sangat-sangat teruja. Kami juga memilih dan memasukkan sendiri efek dan skor muzik ke dalamnya. Saya fikir selepas ini saya nak buat lagi kerja editing tapi saya nak mahirkan diri dengan editing software dulu.

Raja Farah, Isma dan Farhana pun dah balik ke rumah masing-masing selepas hampir 2 minggu berkampung di "Combat Editing Studio" hahahahha ..... Hanya tinggal proses rendering lagi belum siap kerana hari tu komputer bermasalah sikit. Tapi kami dah lihat tayangan penuh selepas compile semua sequences. Tayangan filem ini dijadualkan pada 13 Jun 2009 di Pawagam Mini FINAS. Tapi itu belum confirm sepenuhnya, masih tertakluk kepada perubahan. Nanti saya wara-warakan dalam blog ini.

Okey, masuk cerita hantu di hari-hari terakhir shooting. Kalau pada hari pertama dan kedua makhluk-makhluk ini kacau-kacau manja saja, pada hari ketiga saya boleh katakan bahawa hantu ini sudah mula nak menunjukkan diri dan memperdengarkan suara. Ini termasuklah peristiwa Farah ternampak sepasang mata bercahaya waktu Maghrib di luar rumah. Mulanya dia ingatkan burung tapi apabila lama-lama ia kelihatan pelik hinggalah timbul rasa tak sedap hati, barulah Farah halau semua orang masuk ke dalam rumah.

Malam yang sama jugak ketika shooting di dalam bilik, Shahir dan Isma perlu standby di luar pintu bilik manakala semua yang lain berada di dalam. Manakala ruang lain di dalam rumah itu memang tak ada sesiapa. Waktu inilah mereka berdua terdengar bunyi suis kipas ditekan-tekan. Seperti ada orang menukar-nukar kelajuan kipas angin di ruang tamu. Aduhhh sereeeeemmmmm .... habis shoot dalam bilik Shahir siap buat demo lagi tekan-tekan suis kipas meja tu untuk bagitau saya macamana bunyinya. Malam itu juga cameraman kami si Mukhlis diseru-seru namanya hehehehe ... waktu itu dia dalam bilik air. Tiba-tiba dia dengar suara, "Lish!" memanggil namanya. Mulanya dia ingatkan Farah yang panggil. Tapi setelah genap tiga kali dipanggil, barulah dia perasan itu suara dari luar bilik air, dari sebelah hutan belukar di tepi banglo itu.

Malam keempat kami menghabiskan shooting outdoor. Mula-mula semua orang berkonvoi untuk shooting sepanjang lebuhraya dan akhir sekali balik ke kawasan banglo untuk shooting scene kemalangan. Saya berlakon jadi kelibat hantu yang melintas di hadapan kereta Shahir sebelum kemalangan. Scene ini diulang empat kali. Apabila saya melintas, Shahir perlu acting menghoyong-hayangkan kereta dan berhenti sebelum langgar pokok, nanti dalam proses post-pro baru akan diwujudkan kemalangan sebenar.

Tetapi ... setelah tiga kali scene dibuat dan ada saja benda yang tidak memuaskan hati pengarah, maka masuk kali keempat - saya pun melintas macam biasa, tetapi sampai di seberang jalan, saya dapat rasa ada satu jari menyentuh bahu saya supaya berhenti dan serentak itu kedengaran bunyi "SKREEETTTTT!!! GEDEGANGGGGG!!!!" Saya menoleh dan melihat kereta Shahir sudah hentam itu pokok dan semua orang sudah berlari menghampirinya. Saya tengok Farah dah panik sebab kereta Perdana itu dipinjam daripada pakciknya, tapi apabila melihat Shahir dan Farhana di dalam kereta okey dan tak cedera, tiba-tiba Nasri kata "jangan alih, jangan alih, shoot sekarang!" Pehh!!! Maka scene kemalangan yang akan anda lihat dalam filem ini nanti adalah scene kemalangan sebenar dan bukan dibuat-buat. Terbang jugalah beratus-ratus duit Farah selepas tu membetulkan bahagian bonet enjin yang kemek hahahaha .....

Sebenarnya apabila masuk kali keempat take dibuat untuk scene itu, Isma sudah rasa tak sedap hati dan mahu Farah menghentikannya. Begitu juga suami saya yang sudah rasa lain macam. Tak sangka pula akan kemalangan betul dan lebih misteri, jari siapa yang hentikan bahu saya betul-betul satu saat sebelum kemalangan berlaku? Oh ya, sebelum kami tracking ke lebuhraya malam itu, kami buat scene Shahir jawab telefon dalam kereta. Sayalah yang tolong call handphone Shahir dari luar kereta. Apabila scene itu selesai, saya sambung kerja saya ambil gambar untuk buat The Making of. Tiba-tiba handphone Shahir berbunyi lagi dan semua orang pandang saya. Saya hairan dan tengok handphone di tangan, memang handphone itu sedang calling handphone Shahir. Persoalannya adalah, bila masa saya tekan handphone itu? Suami saya cakap, "alah, Lenny tertekan tu". Saya diam sajalah, malas nak menambah koleksi cerita hantu. Tapi saya yakin betul saya tak call Shahir kerana untuk call saya perlu Unlock telefon. Tapi tanpa saya menekan apa-apa butang di telefon, bagaimana ia boleh Unlock sendiri dan call Shahir?? Misteri ... tapi biarlah, tak perlu dijawab!

Shooting hari terakhir itu tamat jam 5.30 pagi. Kami semua tidur terbongkang selepas itu. Sekitar tengahari kami semua bangun kerana tuan rumah datang melawat. Masa yang sama juga tuan rumah rupanya hantar beberapa pekerja membersihkan kawasan keliling banglo, jadi bunyi mesin pemotong rumput dah paksa semua orang bangun. Lebih kurang jam 1 atau 2 tengahari ketika semua orang tengah mandi dan menyiapkan makan tengahari, datang seorang lelaki yang kami kenal sebagai saudara tuan rumah yang menjaga rumah berkenaan. Saya tak ingat namanya tapi saya panggil dia Pakcik Topi Merah sebab dia pakai barret merah hari tu hehehe .... Melalui perbualan Pakcik Topi Merah yang sangat ramah itu, maka terjawablah persoalan kami mengenai segala gangguan dan misteri selama beberapa hari di rumah itu. Pakcik itu bercerita satu demi satu peristiwa yang dia sendiri pernah alami. Ada yang sama dengan yang kami alami, malah ada yang lebih dahsyat lagi. Peristiwa kotak menggelungsur, bunyi mengilai dan segala macam bunyi itu rupanya sering berlaku. Malah pakcik itu cakap, pernah dia masuk rumah itu untuk tidur tetapi cabut keluar jam 4 pagi kerana tak tahan dengan gangguan.

Nasib baiklah pakcik itu datang pada hari terakhir iaitu hari kami dah nak keluar. Kalau dia datang hari pertama dan cerita itu semua, heh, saya tak taulah apa jadi. Jadi selesai shooting di banglo, kami semua balik ke rumah masing-masing dengan kenangan-kenangan yang manis. TAPI .... ciss ada lagi ni.... beberapa hari kemudian, saya bertemu semula dengan Farah, Isma dan Farhana untuk bincang pasal editing. Isma beritahu saya sesuatu, tentang kotak kayu antik dan manusia Pinocchio di bawah tangga rumah itu. Kalau anda baca entri saya Part 2, saya ada cerita tentang sabit yang hilang dari dalam kotak itu. Sejak kami check-in di banglo itu, kami tak pernah alihkan kotak dan Pinochhio itu. Tapi misterinya, apabila Isma menonton semula rakaman kami mengemaskan rumah berkenaan, dalam rakaman itu langsung tidak kelihatan kotak kayu dan manusia Pinocchio itu. Saya juga sudah menontonnya dan ya ... memang langsung tidak kelihatan! Di manakah kotak dan Pinocchio itu? Sedangkan sepanjang tempoh mengemas kami sentiasa melihatnya di bawah tangga?

Ada satu lagi yang saya tak sempat ceritakan kepada sesiapa. Ketika peristiwa Shahir dan Isma dengar bunyi suis kipas meja ditekan-tekan itu, dalam masa yang sama saya sedang buat rakaman The Making of menggunakan video camera saya. Saya tunggu di dalam bilik dan setiap kali mereka masuk buka pintu saya akan mulakan rakaman. Anehnya, pada masa itu - setiap kali rehearsal, rakaman akan on tanpa sebarang masalah. Tapi setiap kali action, kamera yang saya pegang jadi blur. Apabila cut, gambar elok semula. Bukan sekali, malah beberapa kali. Akhirnya saya langsung tak dapat rakam scene itu. Saya terfikir sendiri, ada kaitan ke peristiwa di luar bilik dengan dalam bilik tu?

Dalam filem ini nanti, akan ada dialog mengenai burung sekokoh, iaitu burung yang dipercayai pengawal jin. Menurut cerita Isma, orang tuanya berpesan bahawa setiap kali burung ini berbunyi, ertinya ada roh datang di kawasan berkenaan. Saya beritahu Isma yang saya tak pernah dengar suara dan tak tahu pun rupa burung sekokoh. Tapi pada satu malam rehearsal di banglo itu, ketika duduk di ruang tamu, tiba-tiba kedengaran bunyi burung yang pelik. Ketika itu Isma pandang saya dan beritahu saya, "itulah suara burung sekokoh". Warghhhhh .... meremang bulu roma saya. Saya tanya Shahir kemudiannya dan Shahir kata memang betul itu suara burung sekokoh. Makkk oiiiii ...... gila babas punya statement diorang ni. Jadi adakah itu tanda memang banglo itu dikelilingi jin?? Wallahu'alam bissawab.

Itulah dia antara peristiwa-peristiwa yang berlaku di lokasi penggambaran THE SPIRIT. Pada waktu kami mengalaminya memang ia tidaklah begitu menakutkan kerana mungkin kami beramai-ramai jadi tidak ada sebab untuk rasa takut. Tapi sesekali dalam proses menulis di blog ini, apabila saya teringatkannya, bulu roma saya meremang juga. Memang menyeramkan tapi kalau itulah cara makhluk-makhluk itu nak berhubung dengan kita, apa yang kita boleh buat? Takkan nak maki-hamun mereka kan? Mujurlah penggambaran berakhir dengan baik tanpa sebarang peristiwa lebih buruk berlaku. Kenangan pahit saya hanyalah ketika menerima berita kembalinya ke Rahmatullah pakcik saya pada hari ketiga shooting, dan ia juga didahului dengan peristiwa pelik, iaitu burung tido yang berlegar-legar dan berbunyi-bunyi di kawasan banglo berkenaan.

THE SPIRIT menjadi kenangan manis kepada saya dan saya percaya juga kepada seluruh produksi. Sesi shooting ditutup dengan Raja Farah membawa semua orang melantak di Old Town White House dan "menyumbangkan" suara di pusat karaoke di Metro Kajang. Kami semua kekal berhubung rapat selepas shooting dan saya harap pada hari tayangan nanti semua orang dapat datang untuk berkongsi momen-momen yang manis ini. Nanti saya akan buat promosi mengenai tayangan dan kalau anda yang lain berminat silalah datang. Tapi janganlah datang sebab nak tengok hantu kerana tak ada mana-mana hantu yang akan muncul dalam filem ini. Yang ada hanyalah ....... hah, apa dia?? Tungguuuuu.......

Lepas ini saya cerita tentang persiapan Mekar Budaya menghadapi Festival Teater Kuala Lumpur 2009.

5 comments:

aloy_paradoks said...

Kalau gua la ka,,,, gua sambung shooting buat cerita n0 2 lak,,, pasal hantu yang mengacau semasa kerja shooting dijalankan.....

gua akan melebih lebihkan sikit mcm ada pelakon masa berlakon tu die tak sedar la,,, konon roh dah masuk dalam badan dan roh tu yg berlakon,,,
Lepas ada sorang krew kemalangan sebab tak percaya cerita pelakon tadi bahawa die tak sedar masa berlakon tu.. huh,,, gempak.. gempak..

Dark Ray said...

kalau gua, gua nak buat cerita dari sudut pandangan hantu tu sendiri..
baru one of a kind..
macam mana manusia kacau tempat dia, apa tindakan dia, konflik-konflik keluarga yang berlaku dan siapa sebenarnya anak datuk kamal yang akan mewarisi harta beliau..
lebih kurang macam tu laaa...

gua rasa yang ni boleh jadi sequel ke 3...

aloy_paradoks said...

woi Dark Ray.... apa la lu ni... tak stereotaip langsung. ingat la sikit kita ni duduk kat Malaysia.

noora said...

eii seram jugak ye kak. Nasib baiklah tak berlaku aapa2 mcm histeria ke...

Anonymous said...

kau ni lenny, pandai betul buat gimik ek. Sebenarnya ko nak suruh org datang tengok kan??? kekekekekekkekekekkkk.....

kalau aku datang tapi tak best jaga kau... sebab kau tulis cerita hantu ni ala ala macam best aje movie tu nanti.

wanpunk