Wednesday, January 14, 2009

SAYA DI SEBALIK PINTU

MINGGU ini bermulalah sudah latihan dengan produksi pelajar tahun akhir Universiti Malaya. Seperti yang saya katakan dulu, saya akan mengarahkan sebuah karya penulis Singapura bernama Lin Min Zhou, berjudul Inside and Outside The Door. Naskah asal dalam bahasa Inggeris ini saya terjemahkannya kepada bahasa Melayu dan memilih judul Di Sebalik Pintu. Kemudian saya adaptasikannya, malah sebenarnya saya melakukan penambahan besar-besaran ke atas karya berkenaan. Tetapi saya tidaklah merosakkan karya asalnya kerana idea dan gagasan yang kami bangunkan tetap bertitik-tolak daripada minda pengarangnya.

Kali ini saya bekerja dengan sebuah produksi yang dianggotai seluruhnya oleh pelajar berbangsa Cina. Diketuai oleh Alex Goh sebagai Pengurus Produksi, Shi Shi sebagai Pengurus Pentas, Simon sebagai Sinografer serta para pelakon yang dinilai Thiam Thong, Sylvia dan Boon Siew, juga para pelajar junior yang menjadi krew. Dalam studio latihan memang saya hanya dengar bahasa Cina sajalah, selalunya saya akan diam dan mendengar saja mereka bercakap. Kemudian mereka akan terjemah semula kepada saya, walaupun mereka bercakap tentang benda lain kerana mereka risau saya fikir mereka mengumpat saya hahahaha .... Saya harap dalam tempoh latihan tiga bulan ini, selepas show saya dah fasih cakap Cina.

Drama Di Sebalik Pintu ini adalah sebuah komedi yang menyentuh sikap materialistik dalam diri manusia. Secara harafiahnya ia mudah difahami. Penonton tak akan pening dengan ceritanya, kerana ia very straight to the point. Oleh sebab itu saya memberatkan pelakon supaya mengeluarkan lapisan lain di dalam drama ini, memperlihatkan apa yang penonton tidak nampak di atas pentas.

Kerja saya yang pertama adalah melihat apa level pelakon-pelakon saya ini. Saya tidak pernah bekerja dengan mereka, tidak pernah melihat mereka berlakon jadi saya tidak tahu apa kelebihan dan kelemahan masing-masing. Ini pastinya peringkat paling rumit kerana saya perlu mengenali mereka dengan pantas. Cuma daripada segi penilaian awal, selepas beberapa kali sesi baca skrip dan perbincangan, saya lihat Thiam Thong seorang yang tinggi tahap keyakinannya, Sylvia seorang explorer yang baik dan Siew Boon pelakon yang sederhana. Antara mereka bertiga, Thiam Thong paling berani mempersoalkan saya semula, Sylvia juga tidak teragak-agak mengeluarkan pendapat manakala Siew Boon easy-going, dia ikut saja mana yang baik. Tetapi kelebihannya adalah mereka bertiga bersahabat baik dan sudah pernah berlakon bersama dalam Pesta Kebudayaan Cina di UM. Jadi di peringkat membina chemistry "tak ada ais yang perlu dipecahkan".

Yang paling membuatkan saya impress adalah apabila sinografer Simon (dia perempuan yang bernama lelaki), datang dengan model set, dummy poster serta cadangan kostum bergambar. Kalau anda duduk di kerusi pengarah dan mendapat seorang sinografer begini, maka semangat anda akan meluap-luap dan tak sabar menunggu hari pementasan. Jadi saya boleh katakan produksi ini bermula dengan baik.

Masalah awal yang dapat saya kesan adalah kesukaran mereka melafazkan dialog dalam bahasa Melayu. Ada beberapa huruf yang biasa kita gunakan dalam bahasa Melayu, tidak muncul atau tidak dibunyikan dalam bahasa Cina. Jadi kadang-kala sekiranya konsonan ini tidak ditekankan oleh lidah mereka, ia akan menghasilkan fonetik yang lain. Lagi pula, oleh kerana mereka bukan penutur natif bahasa Melayu, jadi adakalanya mereka sebut perkataan tanpa mereka faham maksudnya. Ini juga satu kerja yang berat untuk diuruskan. Jadi untuk eksperimen peringkat awal ni, saya minta mereka bercakap dalam bahasa Melayu tetapi berfikir dalam bahasa Cina. Saya nak tengok apa kesannya nanti.

Sebenarnya dulu mereka ada meminta supaya persembahan ini dibuat dalam bahasa Inggeris tetapi saya yang menolak. Mereka kata mereka lebih yakin berbahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Manakala saya pula kata daripada bahasa Inggeris saya lebih suka mereka buat dalam bahasa Cina. Jadi mereka pilih bahasa Melayu sebab mereka risau kalau bahasa Cina nanti terlampau mudah bagi mereka dan audien juga nanti sangat terbatas.

Saya tidak meminta mereka bercakap bahasa Melayu seperti orang Melayu. Saya mahu mereka bercakap bahasa Melayu dalam lenggok Cina, malah dalam perancangan saya sebenarnya, drama ini nanti akan berlangsung 50% dalam bahasa Melayu dan 50% bahasa Cina dengan sedikit-sedikit penggunaan perkataan Inggeris yang menjadi trend sekarang. Untuk ini mereka sepakat memilih dialek Kantonis. Masalah lain ialah, ketika saya mengadaptasi komedi ini, ada jenaka yang saya kemukakan agak Melayu sifatnya, jadi budak-budak ini tak faham. Agak mengambil masa untuk saya jelaskan kepada mereka, dan disesuaikan pula dengan budaya jenaka masyarakat Cina.

Apatah lagi saya menjadikan tokong Cina sebagai subjek utama cerita ini. Nampaknya saya yang harus lebih banyak buat research mengenai budaya bangsa Cina, bimbang pementasan ini nanti menyentuh sensitiviti kaum.

Dalam pada kami duduk berbincang, Sylvia tanya saya boleh tak dia sebut perkataan "alah" atau "alamak". Saya kata boleh, kenapa pula tak boleh? Dia kata dia risau tersalah sebutan dengan "Allah", nanti mengguris hati orang Islam. Saya jelaskan kepadanya "Allah" mempunyai cara sebutan yang lain, tak akan sama dengan "alah" atau "alamak", barulah dia faham. Tiba-tiba si Thiam Thong spontan menyebut "Allahu Akbar". Saya pandang Thiam Thong, "aik, pandai pula kau sebut perkataan tu?" Thiam Thong kata, "Saya dengar Wazir sebut dalam Berani Mati". Saya terdiam sekejap, kemudian saya senyum.

Jadi saya telah menjebakkan diri saya ke satu kerja pengarahan yang sangat rumit sebenarnya. Banyak perkara perlu saya fahami apabila melangkah masuk ke dalam produksi ini. Psikologi, budaya, cara berfikir, stail jenaka dan sebagainya. Walaupun mereka yang dinilai untuk peperiksaan, tetapi sayalah yang sebenarnya perlu memahami mereka, kerana saya sedang mengerjakan sebuah naskah yang berkisah tentang mereka. Saya balik ke rumah, duduk dan berfikir, saya seperti bercerita tentang sebuah kereta kepada sekumpulan mekanik. Jadi saya ini apa?

Argghhh .... teater. Selalu membuat saya excited ... dan gila.

6 comments:

ALOY PARADOKS said...

1-saya tak sabar nak tengok. jgn lupa jemput.

2-saya pulak lelaki bernama perempuan

3-saya pun tak akan buat teater inggeris(sebab saya tak tahu bahasa inggeris)

4-gud luck.

Mohammad Hariry said...

teringat kawan cina aku yang bila mengeluh je dia sebut - astargfirullahal'azim - dia berjaya menyebut perkataan arab, bukan islam.

setuju alasan ko - patrotik bukan rasial - hahahahaha

si simon tu mungkin namanya mcm perancis - simone - nina simone atau simone de bueaver.

alone said...

hebat.

nanti boleh post kat utube :D

Anonymous said...

setuju kak lenny..hehehe...teater mmg membuatkan kita excited sgt2..nipun tgh x sabar nie. huhuhu...doakan kejayaan watie. :)

LENNY ERWAN said...

insya Allah Aloy, meh kak Lenny jemput awal-awal hehehe ...

hariry, dulu jerrica lai pun selalu sebut astaghfirullah ...

alone - hah?? you tube???

watie - terima kasih menyinggah. Good luck ya.

Erwan G said...

Bila mau arah drama yang pelakonnya semua Dusun?