Thursday, January 1, 2009

MENJANJIKAN ATAU TIDAK MENJANJIKAN?

ADA penggiat filem yang marah kerana filem mereka tidak laku di pawagam, lalu mereka menyalahkan penonton kerana tidak bijak memilih bahan untuk ditonton. Saya terbaca satu artikel di suratkhabar, ada seorang pengarah filem mengkritik para penonton yang lebih mengutamakan filem luar daripada filem tempatan. Juga mempersoalkan selera penonton yang gemarkan komedi ringan berbanding segala macam bapak mesej dalam filem.

Secara peribadi, oleh kerana saya pun bukanlah peminat filem yang tegar, maka saya sendiri perlukan sebab untuk menonton wayang. Apatah lagi sejak kebelakangan ini selera menonton saya semakin teruk. Kalaulah selera menonton ini ada kaitan dengan turun naik berat badan, nescaya saya dah tinggal tulang dah. Kali terakhir saya menonton filem di panggung adalah saya dah lupa.

Untuk filem Malaysia sejak kebelakangan ini, saya akan wajib menonton filem kalau Shuhaimi Baba dan Mamat Khalid yang buat sebab saya percaya pada kelainan yang dijanjikan mereka. Meskipun ada juga filem Shuhaimi dan Mamat yang saya tak suka, tetapi saya tetap akan datang menonton kerana kedua-dua mereka sentiasa menjanjikan sesuatu yang saya tidak peroleh daripada pembikin lain.

Saya juga akan wajib datang menonton kalau Steven Spielberg dan Stephen Chow buat filem. Biar buruk macamanapun ceritanya, umpamanya CJ-7 dan Transformers yang tidaklah sehebat karya mereka terdahulu, tetapi saya tetap akan datang tengok kerana faktor "menjanjikan" itu. Saya juga akan datang menonton kalau pelakonnya tersenarai dalam favourite saya, seperti Rusdi Ramli, Tom Hanks, Meryl Streep dan sebagainya. Biarpun mungkin filem itu "hampeh" tetapi inspirasi yang terhasil daripada para pelakon itu yang saya cari.

Saya boleh tidak datang menonton satu-satu filem itu sekiranya ada pelakon yang saya tak suka walaupun filem itu meletup-letup mencecah angkasaraya. Saya tak gemar kepada lakonan Apek, Fasha Sandha dan Maya Karin (contohnya) kerana mereka stereotaip. Saya juga akan datang menonton filem kalau review di sekeliling saya bercakap mengenai sesuatu yang benar-benar "menjanjikan" seperti mana dorongan saya datang menyaksikan Budak Kelantan. Maka selepas ini saya mungkin tidak akan terlepas lagi menonton hasil karya Wan Azli kerana saya lihat dia juga "menjanjikan" sesuatu. Manakala Afdlin Shauki menjadikan saya on dan off menonton filemnya kerana daripada satu filem ke satu filem, tak ada apa-apa perbezaan yang dijanjikan. Dia dengan Hans Isaac dah macam kombinasi Adam Sandler, Rob Schneider and the gang. Menarik tapi klise.

Saya juga tidak akan menonton lagi filem-filem Yusof Haslam, Razak Mohaideen dan Eddie Murphy di panggung kerana filem-filem mereka tidak menjanjikan apa-apa kepada saya, tetapi mungkin menjanjikan sesuatu kepada orang lain. Lagipun saya masih boleh menontonnya di televisyen insya-Allah. Sewaktu zaman Aziz M.Osman buat XX Ray dulu saya rasa dia juga seseorang yang menjanjikan. Tetapi apabila dia mula buat cerita macam Idola dan Trauma, saya rasa dia sudah membosankan. Dulu saya fikir Hishamuddin Rais akan menjanjikan sesuatu kerana karyanya Dari Jemapoh ke Manchestee itu saya suka betul. Tapi beliau pun sudah tak buat filem lagi. Saya juga tak pernah tengok filem Ahmad Idham kerana tema filemnya semua saya tak minat nak tengok.

Maka para penggiat filem yang suka marah-marah ini seelok-eloknya berfikir dahulu apa yang mereka janjikan kepada penonton. Di peringkat pembikinan, memang filem adalah kerja kreatif. Saya faham orang-orang seni mudah terasa kalau kreativitinya tidak dihargai. Tetapi daripada satu sisi yang lain ia juga adalah strategi perniagaan. Kenapa Puteri Gunung Ledang meletup di pawagam? Ini kerana strategi dan janji-janjinya sangat bagus. Ramai orang mengutuk Tiara pada waktu itu kerana perasan nak jadi Puteri walaupun dah tua. Tapi orang yang mengutuk ini tetap pergi menonton kerana di peringkat promosi saja PGL sudah menjanjikan sesuatu.

Nah, itu baru selera saya seorang. Bagaimana pulak selera berjuta-juta lagi penonton lain? Ingat senang ke nak jadi penonton?

4 comments:

ALOY said...

ingat senang ke jadi penonton?
tak bleh blah nye ayat..

kalau mamat khalid nye film, sy akan dtg pada hari pertama tayangan jam 11.00 pagi sorang2. waktu tu tak ramai org, boleh layan puas.

sy pegi tgok KMBM hari pertama, ada 4 org je dlm panggung. hahaha, layan.

kalau suhaimi pulak, sy teringin nak sgt nak keje dengan dia. jadi Pak Pacak takde dialog pun sy sangup...

dari jemapoh ke manchestee tu saya rasa kalau sambung lg no 2 mesti layan punye, sbb ceritanya tamat semasa hampir tibe ke pelabuhan, sy tak puas. Ghairah terhenti disitu sewaktu memuncak.

Vitamin said...

pendapat saya sama macam kak lenny. sama..

derang ni kadang2 cakap macam takde akal untuk fikir. derang dengan secara tiba2 nak salahkan penonton. nak rendah2kan mentaliti dan bodoh2kan kami. igt kami ni ape? budak2 felda n kampung pun dah pandai pilh cerita sekarang ni.

tapi saya rasa rugi tak tengok brainscan dan topi ajaib. sebab itu cerita komedi sekeluarga. alangkah indahnya menonton bersama keluarga cerita sebegitu. chit. porah!!!

Nam Ron said...

sangat senang untuk menyalahkan penonton dari menyalahkan diri sendiri yang gagal menghasilkan karya yang baik yang mampu menarik penonton ke pawagan.

Mohammad Hariry said...

apa buleh buat...
taik kambing bulat...
buleh buat ubaaatttt...
cap orang kuat!