Friday, August 1, 2008

ISTILAH DALAM PENDIDIKAN TEATER

SAHABAT saya Loy Chee Luen meluahkan rasa risaunya terhadap penggunaan istilah yang mengelirukan di institusi pengajian tinggi terhadap kursus-kursus tertentu yang berkait dengan pendidikan dalam teater. Contohnya seperti kursus yang diberi nama Teater Dalam Pendidikan, tetapi kandungannya adalah kandungan kursus Drama Dalam Pendidikan dan begitulah sebaliknya. Kebetulan waktu kami bersembang itu, Puan Roselina Khir, pensyarah di Pusat Kebudayaan Universiti Malaya juga ada bersama, jadi saya pun tumpang rujuklah kepada Puan Rose akan maksud dan kandungan yang sepatutnya ada dalam pakej setiap kursus ini.

Maka hasil perbincangan itu, yang dapat saya rumuskan adalah seperti berikut:

Teater Dalam Pendidikan merupakan kursus yang melatih pelajar untuk menghasilkan satu produksi/ persembahan teater, yang mana di akhir persembahan itu harus berlaku satu diskusi, forum atau sekurang-kurangnya perbincangan dengan khalayak yang menonton. Sasaran kursus ini selalunya adalah khalayak muda, iaitu kanak-kanak hingga remaja sekolah. Objektif kursus ini selalunya adalah mendedahkan pelajar dengan fungsi drama sosial bagi mendidik khalayak berhubung nilai-nilai positif dalam kehidupan.

Kursus ini pernah saya ambil di UM dulu dengan pensyarahnya Puan Roselina sendiri, dan kami ada membuat persembahan di sebuah sekolah menengah di Shah Alam, saya lupa namanya tapi bekas sekolah Puan Siti Raihani kalau tak silap. Kumpulan kami melakonkan sebuah drama sosial yang mengandungi beberapa adegan. Kisah seorang remaja bermasalah yang mengalami tekanan keluarga, terjebak pula dalam masalah dadah dan bertindak mencuri duit sahabatnya sendiri bagi mengatasi ketagihan. Setiap kali selesai satu adegan, kami akan berbincang dengan pelajar yang menonton dan bertanyakan apakah pendapat mereka terhadap adegan sebelumnya. Apakah juga jangkaan mereka untuk adegan seterusnya? Adegan penamat kami buat dalam dua versi, satu versi negatif iaitu si remaja mencuri dan satu lagi yang positif iaitu si remaja mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan dan gurunya. Jadi kami memberi dua pilihan kepada para pelajar ini untuk memandang nilai dalam hidup. Mesejnya adalah, dalam kehidupan ini – diri kita sendirilah yang memilih untuk jadi apa. Kursus ini memang fun, kerana mahu tak mahu, ia akan membuatkan para pelajar ini bercakap dan memberi pendapat mereka. Akhirnya tanpa mereka sedar, mereka sudah menjadi sebahagian daripada proses pembikinan teater itu sendiri.

Manakala Drama Dalam Pendidikan adalah merujuk kepada pengajaran pelbagai bentuk drama untuk tujuan pendidikan khalayak muda juga. Ia termasuklah teater boneka, teater membaca, teater bercerita dan sebagainya untuk kita gunakan dalam mendidik khalayak penonton. Yang ini saya belajar di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) di bawah bimbingan Puan Faziah Sulaiman. Di hujung semester, Puan Faziah membawa sekumpulan pelajar dari sekolah rendah datang ke ASK dan kami membuat persembahan untuk mereka. Dalam sesi teater bercerita, kami membawakan kisah berjudul Jam Emas yang mengisahkan Ahmad yang kuat menipu dan Aminah yang jujur. Jadi ketika budak-budak ini mahu balik, sebelum menaiki bas mereka sempat menasihati Donovan yang membawa watak Ahmad supaya bersikap lebih baik selepas ini dan jangan lagi menipu Aminah. Hah, terkedu si Donovan dinasihati oleh kanak-kanak! Yang lebih seronok adalah ketika kami minta adik-adik membuat bunga dan kemudian menghias sepohon bunga yang kering-kontang. Berebutlah adik-adik menampal bunga di badan Amelia yang ditugaskan sebagai pokok bunga waktu tu. Kedua-dua kursus ini sama fun, bezanya Drama Dalam Pendidikan berlangsung tanpa sesi forum atau diskusi. Ia menumpukan kepada kesan penggunaan drama terhadap khalayak. Oleh kerana kursus ini memerlukan kita berinteraksi rapat dengan khalayak, maka ia melatih psikologi kita supaya lebih bersedia untuk menjadikan kanak-kanak ini seronok dan yakin diri. Jadi fungsi drama untuk mengembangkan nilai dan sahsiah dalam diri kanak-kanak sangat efektif dengan cara sebegini.

Manakala satu lagi istilah yang ada digunakan dalam sebuah institusi ialah kursus Teater Pendidikan. Istilah yang ini membingungkan Loy kerana dia tidak pasti sesuaikah istilah ini digunapakai. Lalu saya bertanya apa maksud Teater Pendidikan? Jawapan yang dapat Puan Roselina beri (dia pun keliru dengan kursus ini) adalah, teater yang mempunyai unsur-unsur pendidikan. Hmm ... ada ke teater yang tak ada unsur pendidikan? Ada kot ....

Apa-apa pun harapnya kita tidak terkeliru dengan istilah. Saya rasa eloklah sekiranya para pemimpin akademik terutama IPTA yang ada jabatan drama dan teater dari seluruh Malaysia berhimpun bagi membincangkan kekeliruan-kekeliruan seperti ini. Apa yang saya tulis di atas hanyalah rumusan perbincangan kami dan pengalaman saya. Mungkin ada pihak di institusi lain yang tidak bersetuju dengan definisi dan takrif ini kerana mereka barangkali mempunyai pengertian sendiri. Agak malang sekiranya berlaku pertelagahan di peringkat memaknakan istilah kerana ia akan mengkucar-kacirkan program akademik itu sendiri.

Teringat saya sewaktu dipanggil oleh sebuah agensi kerajaan sebagai panel dalam satu kerja berkaitan menghaluskan sukatan seni awal tahun ini, kami bersoal-jawab mengenai penggunaan perkataan blocking dalam teater yang digunapakai dalam sukatan itu, tetapi ditukar ejaannya kepada bloking. Saya dan kak Nani (Rosnani Seman) ada mempersoalkan tidakkah boleh kita gunakan istilah dalam bahasa Malaysia seperti komposisi atau susun-atur? Malangnya menurut mereka istilah komposisi dan susun-atur pun tidak cukup untuk menggambarkan aktiviti blocking dalam kerja berteater. Saya keliru dengan keadaan ini, kerana begitukah miskinnya bahasa kita hingga kehabisan kata-kata untuk menerangkan situasi dan menterjemah makna daripada bahasa lain?

3 comments:

pie said...

kak, sy ttarik dgn entri ni...
sy tfkir mo buat PSMP(projek sarjana muda pdidikn) psl teater dan pdidikan. tapi sy still xdpt cari problem...sbb lctrr ckp nk buat tesis msti da problm yg d kaji...sy xdpt cr problm yg dpt kaitkn teater dan pdidikan...stakat ni dlm otak sy ni sy mo buat sal mcm mn teater mbntu dlm meningkatkn minat pljr thadap sstra inggeris @ Using Theatre to Enhance Students Interest In English Literature...xtau la...bngung...

lenny tuan rumah said...

salam semua,

wan_radzi, do i know you? Kita pernah jumpa tak?

harrisan - aku dah baca email. My God! Hot story of the yearrrr ...

Pie - sungguh banyak problem yang timbul kalau kita bercakap pasal teater dan pendidikan. Antaranya asas pendedahan yang lemah di dalam environment masyarakat kita menyebabkan kurangnya apresiasi terhadap seni. Kalau pendedahan di peringkat awal sudah lemah, apatah lagi di peringkat atas. Jadi yang di bawah tu kena diperbaiki dulu.

sitisatiera said...

salam sume..wow..saye tertarik dgn perkongsian anda..saye minat sgt dgn tajuk nie..drama dalam pendidikan, teater dalam pendidikan dan y saye tahu satu lagi adalah drama kreatif..kaedah2 y digunakan dlm drama dalam pendidikan dan juga teater dalam pendidikan dipanggil sbg drama kreatif. skrg saye last sem kat uitm fakulti filem ,teater dan animasi..saye pom bt tajuk drama dalam pendidikan sbg kajian akhir iaitu drama dalam pendidikan dpt meningkatkatkan komunikasi interpersonal kanak-kanak..ia bukan skadar berfungsi untuk tujuan pendidikan namun, personaliti kanak-kanak juga akan terkesan...hehe..just sharing..:)