Wednesday, July 2, 2008

MENGAPA YB JEE?

SELEPAS NUR (1999), belum ada lagi naskah drama pentas saya yang membawa suara dan pemikiran yang begitu ekstrim dalam mempersoalkan hak-hak wanita. Ada beberapa antaranya seperti Melati & Melur serta Dari M ke M, yang mengulas dan mengupas tentang nasib serta peristiwa wanita yang salah membuat pilihan. Di akhir kedua-dua naskah ini, sama ada saya memberikan pilihan yang lebih baik kepada watak, atau menghukum kejahilan wanita di dalamnya. Mungkin saya agak terpengaruh sedikit dengan gerakan feminis gelombang ketiga yang menyeru wanita melihat kesilapan dari dalam diri sendiri sebelum menyalahkan lelaki. Tetapi itu hanyalah satu isme untuk mengkaji pola pergerakan dasar kewanitaan ini. Pada saya isme tidak penting kerana ia tidak real. Saya mahu terus kepada realitinya.

Proses menulis YB JEE sebuah monodrama, memberikan satu pengalaman yang lain. Mungkin ia adalah pengalaman yang terhimpun sejak saya menulis skrip televisyen untuk Dilema Wanita selama 2 musim terawal (26 episod). Mungkin tidak ramai daripada anda yang menonton siri Dilema Wanita kerana orang Malaysia memang tidak gemar menonton saluran RTM 1 yang poyo dan tidak kontemporari itu. Tetapi pengalaman merakam dan menulis kisah-kisah wanita malang, menyaksikan sengsara mereka akibat pelbagai punca, mencipta karakter yang trauma akibat ditindas lelaki serta memberikan penyelesaian kepada setiap kisah malang itu, sebenarnya tanpa sedar menjadikan diri saya begitu sensitif dan responsif kepada soal pengabaian hak wanita. Pada musim ketiga Dilema Wanita, pihak penerbit mempelawa wanita-wanita Malaysia menghantar menerusi email kisah-kisah dan pengalaman mereka yang mungkin boleh dijadikan idea berdasarkan kisah sebenar. Tahukah anda bahawa setiap daripada satu kisah itu membuatkan saya terduduk, termenung dan terkedu di hadapan komputer begitu lama.

Sayangnya kisah-kisah yang paling dahsyat dan dramatik tidak pula boleh disiarkan di RTM kerana batas-batas tertentu. Ada beberapa isu yang meremukkan naluri kewanitaan saya ditolak oleh RTM atas dasar sensitiviti agama dan bangsa. Jadi kebanyakan kisah yang saya pilih untuk dijadikan skrip adalah kisah kecurangan yang biasa dan boleh diterima akal, hanya punca dan penyelesaiannya sahaja yang berbeza.

YB JEE mungkin adalah antara beberapa kisah yang tertinggal di celahan perca-perca malang wanita ini. Kalau dalam NUR, yang menjadi mangsa sumbang mahram dan diperkosa oleh ayahnya sendiri (isu sumbang mahram begitu relevan pada 1999), saya mengakhiri watak-watak lelaki dengan kematian yang dahsyat. Itu satu ekspresi diri saya kepada kegagalan pihak berwajib menangani hukuman kepada jenayah rogol. Perogol dipenjara, lepas, keluar, merogol lagi dan penjara lagi. Pada saya ia tidak adil kepada mangsanya. Saya tahu ada pihak - sama ada lelaki dan (malangnya) wanita - tidak ambil pusing pun mengenai hal rogol-rogolan ini kerana ia bukan masalah mereka dan keluarga mereka. Tetapi saya beritahu anda, dahsyatnya trauma mangsa rogol ini sehingga ada di antara mereka yang rosak jiwa dan psikologi serta merasakan diri mereka kotor sepanjang hayat. Seks tanpa rela adalah satu perkara jijik KEPADA WANITA, kerana pada waktu tidak rela, wanita akan terbayang satu tikaman pisau ke dada lelaki untuk menghentikannya, walaupun ia adalah suami sendiri - apatah lagi orang lain@perogol. Tapi mangsa rogol selalunya berada dalam keadaan tidak terdaya, lemah, takut, keliru dan sakit. Jadi kalau tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh pihak berwajib supaya serius menghukum perogol ini, jadi saya sarankan dalam NUR - kenapa bukan mangsa sahaja yang membunuh perogol itu? Tapi itu saranan secara dramatiklah. Bukannya perjuangan mengangkat senjata pun.

Namun YB JEE bergerak mengikut kematangan pemikiran dan pengalaman hidup saya juga. Kali ini saya mempersoalkan mengapakah ada lelaki yang suka dipanggil sebagai ketua keluarga ini, tidak berfungsi sepenuhnya sebagai ketua keluarga? Kenapakah institusi perkahwinan tidak lagi menjadi tempat untuk manusia berkongsi dan mendidik jiwa terhadap amanah dan nikmat yang Allah kurniakan? Akhirnya saya bertanya, mengapa lelaki ini otaknya sembilan dan nafsunya satu? Adakah sembilan otak itu mampu merubah dunia atau satu nafsu itulah yang membunuh jiwa semua wanita? Percayalah, saya mungkin tidak menjawab semuanya tetapi saya ada memberi satu lagi saranan dramatik kepada kaum wanita yang gagal menangani kenakalan lelaki-lelaki bergelar suami ini. Kalau nak tahu, kita jumpa di Store Theatre nanti.

7 comments:

ainina said...

berapi-api kak lenny ni. nak datanglah tengok. good luck akak. Tapi shownya berapa haribulan sebab ada 6 show kan. semua main tiap tiap mlm ke kak?

deennasour said...

macam terlalu awal la plak kak lenny bagi tau apa di sebalik kisah YB JEE nih...
baru jerk nak kupas sendiri nanti,

arap2 ada lagi yg tersirat yg masih tak di rungkai dlm teater ini....wah panas!!!!! sbb dah dgr betapa hebatnya kak lenny beraksi atas pentas...pasti mantap!!!

nak tau, saya penah memuji tukang bwat skrip citer dilemma wanita kat rtm tuh sbb idea lain2 dan keberanian membuka cerita2 pasal kewanitaan, mak saya peminat setia slot tuh....tak tau lak ini orang empunya nya....seronok!!!

kak Lenny said...

ainina itu bukan api. baru baranya aje heheheh ... yupp ada 6 show dan bukannya semua main serentak. Rasanya satu malam 3 show, jadi berganti-ganti. Nanti kalau jadual dah keluar kak lenny umumkan secara rasmi ek. Kalau datang jumpalah kak lenny.

Hai adik deenasour. Terlalu awal ke??? Takkkkk, itu baru 1% tau. I'd love when a thinker like you come and watch the performance.

Hah, kak lenny berada dalam produksi terawal Dilema Wanita iaitu ketika pertama kali konsepnya dibawa masuk dari Mexico kemudian barulah mengambil idea daripada dilema Malaysia. Kak Lenny sempat tulis untuk 3 musim yang pertama, kemudian musim seterusnya yang kebelakangan ini bukan kak Lenny dah.

Kalau datang jangan tak jumpa kak lenny ya. Tak kiralah you nak kutuk ke, nak kritik ke I dont mind laa... kerja I berkarya, kerja you menikmati dan mengapresiasinya. Dua-dua berfungsi. See you.

vitamin said...

tak sabar menonton..

kak lenny said...

vitamin you cakap mcm tu kak lenny dah gelabah ...

zubin said...

baru la saya tahu, so i am looking forward to that. katanya rehearsal pun dah best!

deennasour said...

ok kak lenny!!
insyaallah..deen dah ada teman utk sama2 tgk...2-2 orang muda..
tapi tak tau fikiran dia camna,
teman deen ni pelakon teater kat kedah, belajar kat sunway,
so maybe can join mekar budaya kot nnti..hehe

erm deen dah bgtau kak azrina..
maybe dia akan datang tgk gak..
ok kak lenny!!
good luck!!