Thursday, May 1, 2008

ALKISAH IKATAN PENULIS SABAH

SEBELUM saya teruskan, jangan lupa check-out teater-teater yang akan main sepanjang bulan MEI ini. Esok saja (Jumaat, 2 Mei) sudah ada pementasan akan berlangsung di Taman Budaya Kuala Lumpur. Jadi klik link di atas ya, saya baru saja update.

Alkisahnya pagi tadi saya baca artikel mengenai Mesyuarat Agung Ikatan Penulis Sabah tulisan sahabat lama saya Mohd Azrone Sarabatin di ruangan sastera Berita Harian. Kalau rajin anda boleh baca artikel itu di sini. Hari tu saya ada tinggalkan mesej di blog abang Hasyuda (Ketua Satu IPS) bahawa mungkin saya akan balik ke Sabah dan berkesempatan hadir ke Mesyuarat Agung itu. Tapi nampaknya tak juga berkesempatan kerana ada urusan belum selesai. Menerusi artikel berita ini juga saya dapat tahu yang saya masih dikekalkan sebagai Duta Ikatan Penulis Sabah (IPS) di wilayah Semenanjung Malaysia untuk tempoh yang sudah lama sebenarnya. Saya gembira betul. Tetapi saya tiba-tiba terfikir, sebanyak mana sudah saya jalankan fungsi sebagai Duta IPS selama 10 tahun hijrah ke Kuala Lumpur ini? Jadi mungkin ini masa yang sesuai untuk saya memulakannya semula. Mudah-mudahan saya lebih pro-aktif dan komited dengan tugas ini.

Tahun 1992, baru tamat SPM, saya terbaca iklan mengenai Minggu Penulis Remaja Sabah (MPR) yang ke-4 waktu itu. Berbekalkan pengalaman pernah menulis di majalah sekolah, saya memohon, diterima dan saya boleh katakan dengan menyertai MPR 4 Sabah tahun 1992, itulah titik-tolak saya menyertai IPS. Selama seminggu berkampung di Likas, di situlah saya bertemu dengan kak Sahara Jais, penyair Islam yang prolifik di Sabah (Bendahari IPS ketika itu) yang jadi kakak dan sahabat paling rapat sampai sekarang. Kemudian saya kenal dengan Naddin Shaiddin, Hasyuda Abadi, Jasni Matlani, Jasni Yakub, kak Nor Ikhwan, Muharsafa Kirana, Robby A dan ramai lagi - kesemua mereka adalah aktivis sastera yang sangat komited dan tegar dengan pendirian kesusasteraan masing-masing. Dalam persatuan ini saya bukan belajar teknik menulis. Itu saya didedahkan dalam MPR dan kemudian dengan lebih serius lagi di ASK kemudiannya. Menerusi IPS saya mengenali psikologi dan spiritual seorang penulis. Saya mendalami fungsi, sumbangan dan kesan keberadaan seorang penulis di dalam masyarakatnya. Saya jadi lebih matang kerana berada di dalam ikatan sebegini. Apabila kami berkumpul, kami berbual macam-macam perkara tetapi akhirnya semua akan menjurus kepada fungsi kami/ penulis/ persatuan kepada masyarakat. Paling tidak saya lupakan, menerusi persatuan inilah saya berpeluang bertemu dengan para sasterawan dan budayawan veteran di Sabah. Bukan setakat bertemu, tetapi menjalin hubungan yang erat, antaranya dengan Pak Shuhaibun Yusuf, Ibu Dayang Salmah Salam dan allahyarham K.Bali. Kegiatan IPS jugalah yang mempertemukan saya dengan arwah guru saya Dr Othman Puteh (saya bukan baru mengenali beliau di ASK) yang sangat rapat dan begitu mengambil berat akan perkembangan para penulis muda di negeri Sabah.

Syukurlah ayah dan emak tidak membangkang apabila saya sering menyertai kegiatan kesusasteraan, adakalanya memerlukan pulang lewat malam dan juga berkampung di daerah lain hingga berhari-hari lamanya. Mereka tidak menghalang kerana saya mengambil tindakan yang betul - iaitu mengajak ahli-ahli IPS ke rumah apabila ada sebarang peluang seperti kenduri keluarga atau majlis hari raya. Jadi dengan cara ini ibu bapa tahu dengan siapa saya berkawan dan mereka boleh nampak sendiri peribadi orang-orang ini. Jadi, keluarga IPS sudah jadi keluarga saya. Kalau saya nak keluar atas nama program IPS maka ayah saya akan beri kebenaran, dan saya pun tidak pernah menipu dan mengambil kesempatan.

Jadi dunia remaja saya, terutamanya selepas zaman SPM banyak diselamatkan oleh IPS. Saya tidak punya banyak masa melepak atau merasa tertekan duduk di rumah, kerana waktu-waktu yang diluang bersama IPS sangat berkualiti. Sehingga saya menyambung ke tingkatan 6, tamat, bekerja sebagai guru dan kemudian jadi sub-editor, saya masih bersama IPS. Apabila saya sambung belajar di Kuala Lumpur bermula 1998, saya tahu keluarga IPS sedih kerana kami semua sudah membina ikatan yang rapat, jadi apabila mereka melantik saya sebagai Duta IPS waktu itu, saya terharu dan rasa sangat dihargai. Tetapi saya menjadi kurang fungsi mungkin kerana waktu itu banyak dihabiskan dengan belajar dan terus belajar. Saya mula belajar di peringkat pengajian tinggi sejak 1998 dan sehingga kini masih belajar lagi, walaupun sudah mula mengembangkan kerjaya dalam bidang pendidikan di universiti.

Jadi saya menguatkan tekad saya supaya melebihkan fungsi untuk memperkenalkan IPS kepada rakan-rakan terutama penggiat seni dan sastera di sebelah sini. Anda boleh memulakannya dengan klik DI SINI - laman rasmi IPS. Sekiranya anda ada persoalan saya boleh beri penjelasan tetapi jika penjelasan saya tidak mencukupi saya akan hubungkan anda dengan Ketua Satu IPS sekarang, Hasyuda Abadi.

Hasyuda atau mesra dengan panggilan abg HA di kalangan kami, bermula pertengahan tahun lepas telah melancarkan mogok kepada Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sabah, atas beberapa sebab-musabab yang berkait kekecewaan beliau terhadap sikap boros dan berat sebelah institusi berkenaan terhadap keperluan pengisian sastera di negeri Sabah. Tetapi beliau bukan mogok bagi pihak IPS - ia mogok peribadi. Tetapi saya tetap merasakan bahawa ada pendirian yang ingin disampaikan oleh abang HA yang wajar diambil serius oleh badan seperti DBP Sabah. DBP tidak boleh let go pendirian sasterawan yang mapan seperti Hasyuda Abadi, kerana sekiranya demikian, ia boleh membawa kepada kepincangan pentadbiran sastera di negeri itu. Kalau manusia boleh mati kerana kebuluran makanan, jiwa orang seni dan sastera pun sama - boleh mati jika tidak diberikan santapan yang betul dan secukupnya. Jiwa mati itu tragedi paling dahsyat dalam hidup manusia.

Saya harap saya dapat terus menulis mengenai IPS dalam entri-entri berikutnya supaya anda semua dapat melihat bagaimana IPS memberi pengaruh yang sangat besar dalam perkembangan kesusasteraan di negeri di bawah bayu. Selain itu saya juga akan terus mengulas mengenai perkembangan seni dan sastera di tempat saya tinggal sekarang ini, iaitu negeri di bawah jajahan PKR hehehehe.....

Oh ya, selamat hari pekerja dan sekali lagi saya ingatkan, jangan lupa pergi tengok teater. Klik link atas tu.

1 comment:

ain said...

hai kak lenny, dulu saya pernah ikut aktiviti IPS tapi lepas pindah ke hujung dunia ni tak dapat lost contact laa ...