Thursday, April 3, 2008

CATATAN DMKM

FUHH ... tamat saja PDZ pada malam 22 Mac, esoknya pagi 23 Mac saya dah terpacak kat DBP untuk latihan produksi Dari M ke M (DMKM).

Kalau dalam PDZ saya kata “everything is about Iswazir”, maka dalam DMKM saya katakan bahawa “everything is about us”. Saya cakap kepada Jaa dan Isma “dalam waktu singkat begini kita bertiga ni sebenarnya bergantung sesama sendiri”. Pendekatan saya tidak sama dengan cara menangani projek pelajar. Dalam peluang dan ruang sebegini, saya juga perlu tunjuk skill pengarahan dan mereka berdua pula mesti nak tunjuk skill berlakon. Jadi saya membina sebuah konsep, mereka berdua fit-in stail lakonan, di akhirnya saya memilih apa saja yang sesuai dan mereka membina karakter serta permainan sendiri di atas pentas. Oleh kerana sedar bahawa kami berhadapan dengan masa yang tidak begitu panjang seperti mana PDZ, jadi saya kata, “ayuh kita berlatih dalam masa yang ada. Kalau kita ada 2 minggu, kita berlatih cara 2 minggu, jangan berlatih cara sebulan. Tapi latihan 2 minggu itu kita buat sungguh-sungguh dan cantik-cantik”. Mereka faham kehendak saya dan saya boleh nampak mereka berdua berusaha 200% untuk sampai kepada level itu.

Dalam DMKM - tidak seperti kecerewetan saya membentuk watak Iswazir dalam PDZ - sebaliknya saya benarkan Isma membawa dirinya sendiri, kerana dia sendiri hampir seusia dengan watak Donna. Saya tidak mengarahkannya untuk menambah apa-apa habit atau perlakuan fizikal kerana bimbang dia tidak dapat menyesuaikannya dalam tempoh persembahan yang makin hampir. Saya hanya suruh Isma menjadi dirinya cuma warnakanlah diri Isma itu dengan warna-warna Donna. Manakala tugas Jaa lebih berat, dia perlu menjadi lelaki. Pada mulanya Jaa mohon pada saya supaya tukar watak itu jadi pengkid atau tomboy. Saya menolak dengan tegas, kerana pada saya isu di dalam karya ini adalah isu lelaki dan perempuan. Kalau watak itu watak pengkid, isu dan dialognya pasti lain. Jadi Jaa pun tidak ada pilihan, dia terima sajalah (walaupun saya faham sangat apa yang dia rasa waktu saya menolak cadangannya itu ..... hihihi .... seronok buli diorang ni.)

Maka proses latihan kami pun berlangsung dengan melancarkan permainan dialog, memfokus kepada isu utama dan mengeluarkan punch lines dalam drama ini. Plot utamanya adalah Donna menunggu abang M, dan dalam penantian itu dia berbual dengan Adi, seorang tukang sapu. Jadi saya kata berbual sajalah, jangan buat benda lain. Dalam masa kerja yang sangat tegang itu saya terfikir untuk mencuba konsep percaturan hidup dengan mengemukakan rekaan lantai seperti papan dam, meletakkan dua kiub berwarna merah dan kuning untuk mereka gerakkan di atasnya. Perjalanan cerita bergerak seiring dengan pergerakan kiub-kiub ini, dan akhirnya watak yang menang akan dapat “naik haji”. Hasilnya, di akhir setiap show, saya gembira kerana ramai orang yang dapat menangkapnya dan berminat untuk berbincang dengan saya mengenai isu dan konsep yang kami bawakan ini.

Dalam DMKM juga saya tidak menjadi cerewet kepada komposisi pelakon. Saya bebaskan mereka bergerak dalam cara yang mereka mahu, tetapi saya yang tentukan hala tuju drama ini. Walau ke mana sekali mereka pergi akhirnya mereka mesti menuju kepada point yang saya tetapkan dan mereka melakukannya dengan baik sekali.

Selesai setiap persembahan, saya juga membuat reviu peribadi. Persembahan malam pertama saya lihat hanya berada di zon selamat saja, mungkin kedua-dua mereka terlalu berhati-hati. Penyakit nervous malam pertama yang dialami Iswazir dalam PDZ menjangkit juga kepada mereka berdua. Nasiblah ruang The Store ini kecil jadi kalau vokal tenggelam timbul pun masih lagi boleh dengar. Tapi energi memang agak rendah malam tu. Untuk show malam kedua, saya beritahu Jaa dan Isma supaya lontarkan lagi vokal, naturalkan lagi lakonan dan belasah lebih sikit. Jadi performance malam kedua pada saya lebih menarik, malah saya turut terhibur seolah-olah pertama kali melihatnya. Pada malam ketiga, ia juga berada di zon selamat saja, tetapi ia lancar dan berakhir seperti yang kami kehendaki. Saya gembira kerana kedua-dua mereka menyelesaikan kerja ini dengan begitu baik dan cemerlang.

Di mata saya Isma adalah seorang pelakon yang gifted. Dalam banyak pelakon yang bekerja dengan saya selama ini, Isma adalah yang paling cepat menyerap arahan dan paling cepat juga pick-up nya. Tapi kalau datang dia punya blur tu blur jugaklah ... (cakap Isma, cikgu Nazlan tu jurulatih sukan ke atau Pengetua sekolah??? Hehehehhe .....). Manakala Jaa pula seorang pelakon yang rajin. Saya tahu dia buat homework kerana kalau hari ini kita minta satu perkara, esok dia akan datang bawa lima malah sepuluh. Jadi dia bukan jenis balik rumah tidur dan esok datang balik dengan kepala kosong (tapi waktu stuck pergi juga nangis kat belakang pentas ..... huhuhu ....). Kreativiti saya berkembang dengan pantas apabila bekerja dengan orang-orang seperti ini.

Hasilnya, mereka berjaya menyampaikan isu DMKM dengan kemas dan terang. Saya menggunakan pendekatan mudah dan santai, menyuntik nilai kontemporari dengan menggunakan lagu rock kapak, tetapi isunya bukan ringan. Selepas show setiap malam ada sahaja yang menghampiri saya sama ada wartawan, pelajar universiti atau aktivis dan kesemua mereka mengemukakan isu-isu sosial, masalah gender, sistem kelas dalam masyarakat dan pelbagai persoalan lagi yang mereka nampak dalam drama ini. Perbincangan sebegini sangat-sangat membuatkan saya “hidup” dan ceria.

Jadi, apabila berakhirnya persembahan tiga malam ini, saya ada sebab untuk rasa gembira. Walaupun saya tahu ada banyak ruang dan lubang mesti ditampal, tetapi untuk yang ini saya gembira. Saya juga kreditkan usaha pementasan ini sebahagian besarnya kepada Jaa dan Ismaliza.

Bagi pihak Mekar Budaya Production, saya ucapkan terima kasih kepada tenaga produksi yang sangat cekap dan mampu bekerja dalam waktu yang singkat tanpa mengira masa. Kepada Zamri aka Malau yang sanggup datang dari Kelantan, meninggalkan “carma” kat sana demi untuk bersama-sama dengan kami, ketahuilah olehmu bahawa kak Lenny sungguh terharu. Juga kepada team yang bekerja dengan saya sejak PDZ iaitu Adi, Mira, Elia dan Wazir yang turun membantu produksi ini. Kalau diorang tak ada rasanya tunggang-langgang juga saya nak menguruskan banyak perkara. Kepada Maziah, terima kasih, semoga kemahiranmu akan terus berkembang selepas ini. Hafiz, Along Purple dan Aril yang cool. Diorang ni memang boleh bekerja merentasi masa. Lain kali kita kerjasama lagi insya Allah. Oh ya, tak lupa pada Rime yang bekerja di belakang poster tu ... hehehe ... thanx friend! Dan ... dan ... dan ... yang pertama dan terutama iaitu encik A.Wahab Hamzah bagi pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang memberikan ruang dan peluang. Besar ertinya peluang ini kepada Mekar Budaya Production. Dan kalau pada entri lepas saya katakan produksi PDZ paling saya gemari, maka produksi DMKM adalah produksi yang paling saya kagumi kerana kesungguhan semua orang bekerja mengatasi jangka masa yang singkat, dan bebas daripada gejala diva-mendiva serta drama queen (hehehe ... suka pulak saya sebut perkataan ni). Ciri profesional team ini terserlah dalam waktu-waktu sebegini.

Seperti biasa saya nak bawa anda masuk menjenguk beberapa review yang ditulis berkenaan DARI M KE M. Baca tulisan Zedeck Siew di kakiseni, dia ni memang rajin menonton dan memberi respon. Ada juga tulisannya buat saya terkedu tapi saya gembira kerana at least dia datang menonton. Satu lagi tulisan oleh saudara Abdul Aziz di ruangan Sastera Utusan Malaysia. Abdul Aziz fokus kepada isu dalam drama ini, dan memang itu pun yang kami bincangkan ketika berbual dengannya selepas show malam pertama.

Jangan lupa teruskan menonton teater, bulan ini saja banyak pementasan boleh ditonton. Ada teater moden dan juga Bangsawan. Klik di atas sekali pada page ini untuk ke link senarai teater sepanjang April.

Salamssssssssss .......

9 comments:

malau_azam said...

kadang-kadang dalam hidup kita ni, kita nak mencapai apa yang tak mampu dicapai oleh kita. kadang-kadang gak, kita tak nak mencapai apa yang telah dicapai. masing-masing bergantung kepada rezeki masing-masing. masing masing yang mampu mengawal dan membentuk jalan yang hendak mereka tempuhi. tanpa mereka sedar adakalanya mereka terjerumus dalam lubang yang digali sendiri.

PIE said...

salam...
sy prnh tdgr isu dlm pnulisn kak len ssuatu yg up to date.
ada juga yg mnyatakn tulisn kakak mbawa isu sosial sprti tulisan seni bayan.
hurm...
kak mnulis skrip bdasarkn isu apa?
sy teringin nk tau.
n mcm mn sy nk dpt himpunan skrip kakak?

Kak Lenny said...

Salam Pie, terima kasih sebab bertanya.

Kak Lenny menulis apabila kak lenny terasa mahu respon kepada sesuatu perkara di sekitar kita. Misalnya karya Nur itu ditulis pada 1998, waktu gejala sumbang mahram berleluasa. Kaum wanita sangat marah dan memohon hukuman lebih berat kepada penjenayah seks ini. Malangnya undang-undang sukar menggubal hukuman yang lebih berat drpd yg ada skrg. Jadi kak Lenny berfungsi sebagai penulis, mewakili rasa wanita utk berkata bahawa kalau pihak polis tidak boleh "bunuh" mereka, maka mari kita (Nur) bunuh mereka. Tetapi itu idea yg sangat imaginatif dan hanya satu cadangan rebellious yg dikreatifkan.

Manakala No Smoking Please pula adalah respon kak Lenny kepada kegilaan banyak pihak menggunakan selebriti untuk mempromosikan apa sahaja. Nak promosi buku pelajaran pun guna artis sedangkan artis itu tak berpelajaran tinggi pun (contohnya). Dalam cerita ini kak Lenny paparkan kisah seorang artis perokok tegar, tapi menjadi duta kerajaan menjayakan kempen Tak Nak! ... iaitu kempen Jangan Merokok. Heheheh ... very synical way of me to express my point of view ajelah.

Dalam Melati & Melur kak Lenny cakap pasal perhubungan kaum dalam negara ini tetapi menggunakan kisah dua beradik satu ibu berlainan ayah. Dan yang terbaru Dari M Ke M adalah opinion kak Lenny terhadap kesingkatan akal manusia akibat kekurangan ilmu pengetahuan.

Jadi apabila org kata up to date, mungkin kerana orang dapat berhubung terus dengan isu-isu yang cuba kak Lenny sampaikan. Ia relevan dengan situasi semasa. Malah selepas kak Lenny arahkan PERISTIWA DI ZOO, ramai kaitkannya dengan isu pilihanraya yang baru berlangsung. I feel so great about that you know. Jadi kak Lenny tak pergi jauh untuk mencari isu, apa yang mencuit hati dan menimbulkan persoalan di keliling kak Lenny, malah di atas batang hidung sendiri pun, kak Lenny akan jadikannya sebuah pemikiran dalam drama untuk membawa seluruh masyarakat berfikir dan menyelesaikannya, insya Allah.

Pertanyaan adik mengenai di mana nak dapat himpunan karya kak Lenny tu membuatkan kak Lenny terfikir, "sudah sampai masanya mungkin aku publish sebuah kumpulan drama dalam bentuk buku". Setakat ini kalau orang nak, kena pujuk mintak sendiri dengan kak Lenny hehehehe ....

Anonymous said...

kak Lenny, nama saya shila. saya student uitm dan saya dtg tengok PDZ dan DMKM. Saya nak tanya, you ni feminis ke?

kak Lenny said...

hai shila. straight forward nye soalan tu. Am I a feminist?? Jawapannya YA dan TIDAK.

Kalau shila maksudkan "adakah kak Lenny seorang yang sentiasa mengangkat persoalan dan hak wanita dalam setiap karya atau sentiasa mengungkapkan soal feminis tidak mengira sudut pandangan jantina watak?" So, my answer is definitely YES. Tapi kalau maksud shila "adakah kak Lenny seorang aktivis wanita yang tak ada kerja lain selain daripada memperjuangkan hak asasi wanita atau HIDUP WANITA! HIDUP WANITA! HIDUP WANITA!?" Then my answer is a big NO-NO-NO. hehehe ...

aiyooo adik. Janganla tanya soalan pasal ist ist & isme isme ni. Poniang palo den nak menjawabnyo...

fazleens said...

kak lenny, mau baca no smoking plese!! pleaseee...hehe..bolehlah.. :)

Kak Lenny said...

fazleen, no smoking please tu sebuah monodrama dan jangan terpedaya dgn tajuknya. Ia sepenuhnya dalam bahasa Malaysia. Insya Allah nantilah kak Lenny cari dulu ... entah mana simpan skripnya ... hehehehe ....

PIE said...

monodrama ni apa plak?

kak Lenny said...

Pie, monodrama adalah satu bentuk drama yang menampilkan hanya seorang pelakon saja. MONO = SATU. Jadi biar berapa banyak pun watak di dalamnya, tapi selagi hanya seorang saja pelakon yang main kita akan panggilnya monodrama.