Friday, March 7, 2008

ZOO DI PARAS ZERO




AKAN sampai satu masa dalam proses latihan sesebuah teater, tiba-tiba semuanya kembali ke paras zero. Saya selalu mengingatkan para pelakon, bahawa saat itu akan tiba juga. Dialog yang selama ini dilafaz dengan mudah dan lancar, tiba-tiba pada satu hari menjadi berat dan sukar seperti gunung membeban di bahu. Dialog yang sebelum ini ternampak-nampak di atas skrip kini berlegar-legar di dalam fikiran, menunggu masa untuk dilontar dengan cara yang betul pada masa yang benar. Sebenarnya inilah transisi paling penting dalam proses seorang pelakon, kerana sebaik saja detik ini berjaya dilepasi, maka lakonan akan menjadi matang dan masak di atas pentas. Yang dirisaukan adalah sekiranya pelakon tidak berjaya melepasi detik ini, maka pementasan akan jadi hambar dan tidak mencapai misinya. Saya sering meminta pelakon supaya melontarkan dialog "seperti kali pertama diucapkan" yang mana ini paling sukar sekali. Bagaimana kita hendak menjadikan pengucapan dan akting yang diulang-ulang dalam proses latihan selama tiga bulan, menjadi pertama kali di atas pentas? Nah, itulah magik seorang pelakon. Bukan semua pelakon berupaya melakukannya. Kebanyakan pelakon, tak kira amatur atau profesional - sekiranya tidak cukup masak dengan naskah atau tidak cukup latihan, maka mereka hanya akan "membaca semula" skrip di atas pentas, bukan mengucapkannya.

Dalam tempoh dua minggu menuju pementasan di MTC, inilah proses yang dialami oleh dua pelakon saya dalam produksi PERISTIWA DI ZOO sekarang. Malam tadi Wazir beritahu saya, semakin hari dia menempuh proses yang semakin berat dan sukar. Dia rasa menjelang setiap sesi latihan, dia semakin tak faham dengan apa yang diucapkannya. Saya angguk-angguk saja tetapi dalam hati saya gembira kerana dia berkata demikian. Saya bersyukur sangat dia tak cakap, "kak Lenny, saya rasa makin senang dan selesalah sekarang", sebab kalau dia kata begitu sayalah yang akan hantuk kepala di dinding. Sekurang-kurangnya kepala dia lebih berisi sekarang dan tidak lagi mengambil ringan akan segala proses untuk mempersiapkan diri sebagai seorang aktor.

Saya pun semakin berdebar tapi tak boleh layan sangat sebab saya (dan Ridzuan serta seluruh produksi) perlu memberi sepenuh tumpuan dan sokongan kepada Wazir (dan Elia hehehe ...). Sebagai pelakon, Wazir perlu menghayati dan mengingati projek akhirnya sebagai momen paling bernilai dalam kecintaannya terhadap seni teater.

Jadi dengan dua minggu lagi menjelang pementasan, saya berharap semoga para pelakon saya lekas melepasi paras zero ini, melantun naik semula ke paras maksima. Insya-Allah!

Oh ya, selamat memangkah semua menjelang 8 Mac ini.

6 comments:

Rai said...

Dey Rizuan Jusoh,


Dok perform untuk projek akhir di UM tanpa akhirnya!

Pelakon stok projek akhir paling cemerlang yang kukenali.Muahaha!Jgn marah dik!Gud luck anyway utk semua warga kerja Zoo.

PIE said...

mcm mn nak atasi zero ni?

kak Lenny said...

Rai, Wan tengah bersedih hati skrg ni sebab ada orang tu kena posting tempat jauh. Hehehe ... patah jiwa budak sorang ni. Kak Len sibuk nak motivasi dia bukan apa, takut dia tak fokus untuk show, mati aku karang hihihihi ....

Pie, waktu sedang berada di paras zero, banyakkan berbincang dengan rakan lakon dan pengarah. Kalau pelakon kak Lenny zero, kak Len tak akan paksa rehearsal diteruskan. Kak Lenny suruh stop dan kami duduk bercakap. Kak Lenny akan biarkan mereka bercakap apa saja mereka nak sehingga mereka sendiri jumpa jawapannya. Contohnya apabila Wazir zero, dia mula merepek pasal kesukaran dia. Merepek punya merepek, kak Lenny layan aja, sampailah dia sendiri cakap yang sepatutnya dia buat begini, sepatutnya dia buat begitu. Jadi kalau dia tengah bersemangat tu, baru kak Lenny start balik & make sure dia buat apa yang dia cakap. Selalunya cara begini berhasil.

Dalam hal-hal zero ini, fokus pelakon kena kuat. Mereka pun kena sedar yang mereka sedang zero, kalau pengarah saja sedar tak guna juga. Jadi komunikasi sesama rakan lakon dan pelakon-pengarah sangat sangat penting pada waktu begini, insya Allah.

Anonymous said...

kak lennnyyyy, lamanya tak jumpa. Thank you for the email. Tapi tak tau laa dapat dtg ke tak. Saya cuba arrange. Selain lama tak tengok teater, saya teringin nak jumpa kak lenny dan abang nasri.

Saya ambil masa go thru semua catatan kak lenny dlm blog ni tadi. Ini first time saya baca, memang best dan mengujakan terutama bila kak tulis pasal teater. Nampak semangat berkobar-kobar. Saya ingat lagi waktu kita buat teater sama sama dulu, waktu tu abg nasri direct. Saya byk belakon dgn pengarah tapi abg nasri ni lain. Kalo pengarah lain hanya balik balik suruh ke depan ke belakang ke kiri ke kanan tapi jarang ambil tau masalah yg pelakon hadapi di pentas. Tapi abg nasri cepat mengesan masalah pelakon, itu yg best. Takooottt kalau abg nasri marah sebab mulut dia sangatlah kejamnya, tetapi hatinya baik sekali.

Okeylah harap kak Lenny sukses dgn teater ini. Saya naaaaaaaaaaaakkk sgt dtg tengok.

PIE said...

thanx 4 info kak...

Lenny said...

ini catatan khusus utk saudara nk tau yg tanya pasal perbezaan kabuki, rakugo dan noh di chatbox tu. Nak jawab kat situ memang tak muatlah. Saya cuba menjawabnya berdasarkan apa yg saya faham ya.

Kabuki - sebuah teater tradisional Jepun, juga dikenali sebagai "the art of singing and dancing". Perkataan kabuki kalau dilihat dalam karakter "kanji" (tulisan bahasa Jepun) membawa maksud sing, dance & skill. Jadi ini sudah menggambarkan sifat persembahan ini.
Kabuki juga sebuah persembahan yang sangat dikenali dgn stylized dan make-up yg sgt exaggerate di kalangan pemainnya. Kisah-kisah di dalamnya selalunya menampilkan golongan pahlawan Jepun seperti samurai dan sebagainya.

Rakugo - bermaksud "seorang pencerita". Saya tak pasti adakah boleh kita samakan dengan penglipurlara. Rakugo pada waktu persembahan akan duduk seorang diri di atas pentas, dengan hanya kipas kertas sebagai prop, dan tanpa berdiri daripada duduknya akan menyampaikan kisah komedi. Ia menjadi sebuah monodrama yang membabitkan banyak watak dan ini mengemukakan kepakaran Rakugo membezakan wataknya hanya dengan menukar intonasi suara dan sedikit pergerakan kepalanya.

Noh - pula adalah sebuah drama muzikal klasik Jepun. Di dalam Noh terselit komedi Kyogen. Noh dikatakan banyak mempengaruhi perkembangan seni lain seperti Kabuki. pelakon, penyanyi dan pemuzik Noh juga secara tradisinya tidak berlatih bersama-sama, sebaliknya akan menentukan tempo persembahan dengan berinteraksi di atas pentas.

Noh dikenali dgn penggunaan mask atau topeng oleh pemain utamanya atau shite yg berfungsi menampilkan watak wanita atau watak bukan manusia. Ada juga topengnya yg memang direka utk menunjukkan emosi seperti takut, sedih dan sebagainya.

Persembahan Noh ada byk pecahan. Ada kisah Noh yg khusus bercerita mengenai kuasa kuasa supernatural dlm dunia. Ada pula yg hanya berkisah tentang hidup masyarakat.

Saya harap saya dah jawabnya sikit, tapi sebenarnya banyak lagi informasinya kalau anda dapat cari di tempat yg betul.