Monday, March 3, 2008

DARI M KE M

DALAM kerancakan mempromosi PERISTIWA DI ZOO (PDZ), saya juga mahu mencuri masa untuk mempromosi sebuah lagi persembahan. Kali ini Mekar Budaya Production mendapat slot pementasan di The Store, Dewan Bahasa dan Pustaka KL. Untuk yang ini saya bertindak sebagai Penerbit, dengan penampilan seorang pengarah muda bernama Jaa Rased, mengerjakan naskah saya berjudul DARI M KE M (DMKM). Agak mencabar juga sebenarnya membahagikan masa dan hati saya kepada dua-dua persembahan ini kerana PDZ akan main pada 21 & 22 Mac manakala DMKM pada 28, 29 & 30 Mac, betul-betul seminggu selepas itu. Tapi nasib baiklah Jaa dan Pengurus Pentas, Maziah, memberikan komitmen tinggi dan sangat baik. Jadi dalam masa saya sekarang berada di fasa terakhir menyiapkan PDZ, mereka juga tunggang-langgang melaksanakan kerja-kerja kreatif di studio DMKM.

Kalau PDZ sebuah projek penilaian pelajar, DMKM pula adalah sebuah projek terbitan Mekar Budaya Production di bawah tajaan DBP. Pendekatan saya terhadap kedua-dua projek ini sangatlah berbeza. PDZ memerlukan saya sebagai pengarah, mengaplikasikan segala ilmu pengetahuan dan teknik, menuntut para pelakon mengupas makna naskah dan teknik lakon dengan penuh teoritikal kerana ia sebuah persembahan dinilai. Seluruh persembahan mereka perlu disoal dan dijawab secara akademik dan ilmiah, jadi persediaan mental dan fizikal bukan calang-calang di dalam pementasan sebegini.

Manakala DMKM pula, bukan tidak perlu bersedia seperti sebuah projek penilaian, malah ia lebih daripada itu, memandangkan ia adalah pementasan bertiket dan tenaga produksinya berbayar, maka saya sebagai penerbit menuntut komitmen yang sangat tinggi dan profesional daripada semua yang terlibat. Sebagai pengarah saya perlu cerewet dalam bab kreatif, manakala sebagai penerbit saya perlu teliti dan menjadi sangat tegas terhadap perjalanan keseluruhan produksi. Jadi dengan sebuah produksi saya perlu tumpu sebagai pengarah, dan yang satu lagi saya perlu main peranan sebagai penerbit dalam masa persembahan selang seminggu, i'm actually having fun (???) right now!

Okey, saya nak buat intro mengenai DMKM. Skrip ini saya tulis pada hujung 2006, khusus untuk pementasan projek akhir pelajar Universiti Malaya juga. Jaa Rased dinilai sebagai pengarah waktu itu, dengan pelakonnya Zuriah Mohamad (dinilai) dan Ahmad Iswazir. Jadi nampaknya ini adalah pementasan semula, dengan para pelakonnya berubah dan konsep pementasannya juga berlainan. Pementasan pertama berlaku di ruang prosenium (MTC) dan kali ini ia di sebuah kotak eksperimen (The Store DBP) yang lebih kecil daripada dahulu. Jaa nampaknya kena bermula daripada zero.

Pelakonnya kali ini adalah Ismaliza Ishak dan Mohd Eyzendy Abd Aziz. Kedua-duanya sangat berbakat dan saya kira anda perlu datang menonton persembahan ini kerana mereka berdua adalah wajah-wajah segar dan baru dalam kerancakan teater di Kuala Lumpur/ Malaysia sekarang.

DARI M KE M adalah sebuah kisah kecelaruan dalam diri wanita, yang mahukan lebih daripada apa yang dia miliki sekarang. Dia datang ke Terminal M untuk mengubah nasib dan hidupnya. Dia dijanjikan keajaiban cinta dan kasih sayang oleh abang M, tetapi segala imaginasi yang indah-indah bertukar menjadi tragis sebaik saja dia menjejak Terminal M.

Saya menulis naskah ini sebagai generasi muda yang memberi respon terhadap apa yang saya lihat dan saya rasa di sekeliling saya pada waktu ini. Sebagai orang muda yang berkomunikasi terhadap pengalaman hidup, ada banyak pertanyaan dan persoalan yang bermain dalam fikiran saya. Oleh kerana saya seorang penulis, maka saya mahu kongsi semua itu dengan anda menerusi sebuah karya kreatif. Saya percaya di tangan pengarah muda yang semangatnya berkobar-kobar seperti Jaa, dia pasti memberi interpretasi yang menarik kepada persembahan ini.

Jadi, selesai PERISTIWA DI ZOO, tontonlah pula DARI M KE M. Saya akan menulis sesuatu mengenai perjalanan emosi saya terhadap kedua-dua naskah ini, sebaik Mac berakhir.

10 comments:

fazleens said...

wow..cool..progresiff..ada 2 show bulan mac ni..bila agaknya saya dapat acting bawah kak lenny..teringin sangatt.. :)sure republic saya angkut and seret ke store...saya ni feminis orgnya (berani melabelkan diri sendiri feminis, hehe )jadi naskah ini kena tengok..insyaallah kak..saya sampaii..gud luck sis darling..

PIE said...

kalau lah sy d sana mmg sy akn tonton...
malangny sy d sabah ni kurang la teater...
sy pn 'lapar' nk tgk teater...
bila la agaknya sy dpt tgk...

kak Lenny said...

fazleen, nanti ada rezeki kita collaborate. You're so talented, kak lenny pun suka kalau dapat kerja dgn org yang berbakat dan komited, insya Allah.

Pie, ko "lapar" teater??? Jom laa buat program pertukaran UM - UMS kaaa .... heheheh ...

Faizal Dzasrik said...

kak lenny, ada ura-ura tak nak buat teater di shah alam. sini ramai student. boleh buat promosi.

kak Lenny said...

faizal, memang teringin nak buat di sana dan di banyak tempat lain jugak tapi perlu perancangan masa dan venue yang sesuai. Budget pun diambil kira jugak. Tapi selalunya students kat Shah Alam tu rajin turun ke KL tengok teater. Dekat je tu. Faizal jgn lupa datang tengok ya. Boleh jumpa.

PIE said...

sy bkn dr progrm teater kak ooiii...
huhuhuhu...
apa kata kak lenny balik buat teater d cni...
hehehe...ble gak bka ckit mata anak sabah...
yg sy tau kt sabah ni, selain dr GTEL ada RENTAK PTPL.n grup teater yg lama2.
org2 teater mcm maskuji, mastari, madnor, norzah...
ade lg nama...
tp xwat teater...

kak lenny said...

pie, ada dua kertas kerja kak lenny hantar pada pihak yang berkenaan di Sabah sekitar dua tahun lepas. Tapi dua-dua sepi tanpa berita, rasanya direject lah tu. Ada sorang kawan kak lenny kerja di tempat tu cakap, bos dia tanya "siapa marlenny tu?" ... huhuhu ... ini kisah benar ni.

Sebenarnya tidaklah juga kak lenny kecil hati dengan pertanyaan "siapa marlenny tu" sebab memang betul pun .. siapalah aku ini ... tapi at least bagilah peluang pada orang muda macam kita kannnn (muda keeeee ....) .... tapi endak apalah. I'm very positive thinker. Endak ada rejeki, satu hari nanti insya Allah, sampailah hajat berteater di sana tu ....

PIE said...

huhuhu...
apa kata anta lg?
hehehe...
mana tau lpas ni kna trima...
dengkilah nampaknya anak sabah melihat srikandi berjuang d luar sabah tapi buminya terbiar tandus...
huhuhuhuhu...
hehehe...
gurau ja...
sepa la agaknya mengajukan pertanyaan tu...
hehehehe...

deennasour said...

akak,
ehem, deen ni, kalau teater tu dalam lingkaran lrt putra, mmg begitu ringan kaki nak melangkah menjenguk......
tapi kalau jauh tu, susah le....deen tak ada moto o keta,,
sorang2 je kat KL ni.....

malau_kelate said...

semoga berjaya n success sokmo kepada team mekar budaya. terutamanya buat Kak Lenny, Abang Nasri n Jaa Rashid.

Sokongan dari jarak 400 km akan ku berikan ...huhu...sedihnya...