KALI terakhir saya menerima pakai sepenuhnya keputusan dan nasihat ibu bapa adalah ketika usia 18, apabila ayah minta saya masuk ke perkhidmatan kerajaan sebagai guru sandaran tidak terlatih (perancangannya supaya mudah untuk saya masuk ke maktab dan jadi guru tetap). Waktu itu saya ikut saja, suka tidak, tak suka pun tidak.
Suatu hari ketika usia saya 20, ada iklan mencari sub-editor di akhbar Daily Express. Dalam diam saya memohon, pergi interviu dan 3 bulan kemudian saya dipanggil kerja. Saya tahu ayah kecewa sebab dia mahu saya kekal guru. Begitupun dia relaks aja, tak marah pun. Emak saya marah sikit sebab kerja baru ini memerlukan saya keluar jam 2.00 petang dan balik jam 10.00 malam. Kerja suratkhabar kan ... dan itulah pertama kali saya ambil keputusan sendiri tentang apa yang ingin saya buat.
Saya fikir saya akan pencen di Daily Express, tapi setahun di situ membuka mata saya akan pentingnya pendidikan. Rata-rata wartawan dan editor di situ mempunyai kelayakan akademik yang tinggi dan kesannya, etika kerja mereka sangat profesional. Lalu itu jadi motivasi saya untuk sambung belajar. Dalam diam, saya mohon masuk ke ASK (sekarang ASWARA) dan diterima. Ibu bapa hanya tahu apabila dapat surat tawaran, itu lagi dua minggu untuk berangkat ke KL. Emak saya separuh menghalang, tapi ayah saya okey aja, positif betul.
Tapi yang paling saya tidak dapat lupakan hingga kini adalah pada hari saya ke KL - flight jam 4.20 pagi dari KK - emak dan adik-beradik ikut hantar saya ke airport, ayah saja tidak. Dia duduk di depan televisyen, tengok perlawanan Piala Dunia (1998). Waktu saya salam dan cium tangannya, dia langsung tak pandang saya, tapi saya dengar dia cakap "jaga diri dan belajar baik-baik". Matanya bertakung air, tidak menitis di pipi, tapi saya tahu ia mengalir dalam hati ... Hanya bertahun-tahun kemudian baru saya sedar bahawa ayah juga mengambil keputusan yang sangat besar dalam hidupnya apabila melepaskan anak perempuan tunggalnya ini ke Kuala Lumpur seorang diri. Maka sehingga kini, dalam apa saja keputusan yang saya ambil untuk meneruskan hidup, perkara pertama yang saya fikirkan adalah memastikan bahawa keputusan ayah pada detik itu tidak pernah silap.
Keputusan besar seterusnya dalam hidup yang saya buat sendiri adalah apabila memilih berkahwin dengan suami saya sekarang. Emak saya terkedu sebab saya tak pilih orang Sabah. Encik Deen Erwan tu macam biasalah, relaks memanjang. Sehari sebelum saya nikah, emak saya menangis dan cakap, "Mesti lepas ni kau jarang balik Sabah"... ek eleh mami ni (dalam hati saya), walaupun sebenarnya saya sedih juga. Tapi keputusan adalah muktamad.
Awal tahun ini, saya mendapat dua tawaran yang sama, dengan prospek yang sama, tetapi di dua tempat berlainan, yang mana keputusan memilih bakal menentukan karier dan masa depan saya dalam bidang akademik. Saya bingung betul sebab di satu tempat ada nilai nostalgik dan satu tempat lagi ada nilai prestij. Akhirnya saya perlu pilih satu, dan saya telah pilih. Selepas saya mengambil keputusan itu, ia rupanya memberi kesan yang agak mendalam kepada pihak yang tawarannya ditolak. Sedih, tapi sekarang semuanya dah okey.
Hari ini, waktu ini, sekarang ini .... saya menulis entri ini kerana dalam beberapa minggu ini saya sedang berfikir untuk mengambil satu keputusan. Saya telah berbincang dengan suami dan macam biasa Presiden Kelab Penyokong saya itu akan menyokong. Tapi kerana saya perlu second opinion, saya ambil inisiatif bercakap dengan beberapa orang yang saya hormat dan percaya. Kebanyakan mereka meminta saya fikirkan kembali, kerana saya sudah di ambang 50-50.
Saya bertanya pada suami, sekiranya saya ambil keputusan yang di luar dugaan, adakah dia akan sokong? Dia jawab "Ya." Saya tanya lagi, bagaimana kalau keputusan saya silap? Dia cakap "tak apa, lebih baik daripada tak cuba langsung".
Hmmm .... kalaupun mungkin nanti saya silap, saya akan pastikan kesilapan itu betul buat saya.
Tuesday, August 7, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


2 comments:
Salam,
Jangan tak tahu, orang yg ramai kat wad mental tu semuanya gara-gara membuat keputusan yg besar. Mungkin keputusan itu betul tapi efeknya makan balik diri kita. Mungkin keputusan itu menyusahkan kita sekarang tapi rahmat di kemudian hari. Blessing in disguiselah.
Rai masa ambil keputusan sambung study di UM, perlu juga memutuskan untuk berpisah dengan anak selama 3 tahun. Ingat tak sakit jiwa ke!Tapi pusat kebudayaan tu la wad sakit jiwa kita.Muahaha!
Banyak juga keputusan yg telah diambil dan mendatangkan kekesalan, kalau diingat-ingatkan dengan hati yang sempit. Salah satunya samalah macam kes yg Kak Len sebut dlm entri, faham sendirilah...Tapi memetik kata Kak Su dalam Bukak Api-''Jangan lupa...kita ada Tuhan!''
When He closed the door, somewhere He opens a window.
Salam Kak Lenny.
Syahdunya baca entri Kak Lenny yang ini. Bila kakak balik Sabah? jangan lupa contact ya.
Post a Comment