BERDIRI DARI KIRI: Raja Farah, Farhana, Isma, saya, AdiDUDUK KERUSI DARI KIRI: Malau, Wan, Oteng, Puan Rose, Natrah, Nina
DUDUK DI LANTAI: Nasri, Wazir dan Simon
*Gambar diambil secara curi drpd Facebook Malau tetapi sudah meninggalkan mesej hahaha ... ini foto selepas show sebelum bum-out. Semua orang baru selesai makan sebab sebelum show tak sempat makan. Nasri tak habis-habis makan. Intan dgn Rime tengah makan di tepi jadi tak masuk dalam gambar.
SYUKUR alhamdulillah pementasan PERISTIWA DI ZOO berlangsung dengan baik dan lancar malam 10 Julai lalu. Tiada sebarang gangguan fizikal, mental atau teknikal berlaku. Kalau ada kekurangan atau kelemahan di mana-mana, maafkanlah dan insya-Allah akan diperbaiki di masa-masa akan datang. Terima kasih kepada para penonton yang hadir. Segala kritik saya hargai dan saya gunakannya untuk pementasan akan datang insya Allah. Terima kasih.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh krew produksi PDZ. Ketika briefing terakhir sebelum show saya sudah cakap bahawa apabila saya mengucapkan terima kasih, maka amatlah besar maksud perkataan terima kasih itu. Saya tidak sekadar mengucapkannya. Betapa besar hati dan terharunya saya dengan sepenuh komitmen yang diberikan oleh mereka ini. Jadi saya mahu ucapkannya satu-persatu di blog ini, kerana tidak ada kewangan mahu pun material sebagai ganjaran, hanya budi setitiklah yang menjadi penawar.
Pertama sekali kepada Adi Amza, Pengurus Pentas yang juga menguruskan produksi ini bersama-sama saya. Dalam kesibukannya menjalani latihan praktikal di Seremban, dia masih sanggup berulang-alik dua tiga kali seminggu ke Taman Budaya KL untuk mengambil berat akan produksi ini. Awalnya dia nak berulang setiap hari tetapi saya kata jangan buat kerja gila. Naik motorsikal dan sampai Seremban paling awal jam 2 pagi bukanlah benda yang normal. Walaupun PASSION tapi agak-agaklah sikit Adi hehehehe ..... Adi memang tak merungut langsung atas segala kerja-kerjanya walaupun apabila masuk panggung dia banyak menerima panahan laser terutama daripada Pengarah Artistik yang banyak cakap tu, tapi saya tengok Adi ni sabar dan tabah orangnya. Seperti mana projek akhir Wazir dulu, Adi jugalah yang menjadi tulang belakang kepada produksi ini.
Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada Intan Carina - yang sedang mengandung trimester pertama tetapi masih tetap gagah membawa baby dalam perut itu ke hulu ke hilir panggung demi bersama kami. Saya sebenarnya amat risau apabila dia dah mula bum-in bersama kami. Kalau boleh saya tak mahu pun dia buat apa-apa kerja kerana ada femininity dalam diri saya yang mahu melihat seorang wanita mengandung duduk berehat. Tetapi saya melihat kecekalan Intan - dia masih seperti dulu - walaupun tak boleh bergerak banyak tapi mulutnya masih membebel-bebel menyuruh itu dan ini. Malah saya lihat adakalanya apabila dia melihat orang lalai meninggalkan perkara yang sepatutnya dibuat, dialah yang terus-menerus memberi peringatan. Dialah juga jahitkan kostum yang koyak, temankan saya beli make-up, make-up kan pelakon dan menjaga mereka di belakang pentas sehinggalah mengiring mereka keluar selesai show. Dia juga sering mengingatkan perkara-perkara yang adakalanya saya lupa hendak uruskan. Dalam pada tak boleh bergerak itu pun dia sempat juga ikut menggulung benda-benda yang nak dibuat set. Sebenarnya Intan adalah antara orang kuat Mekar Budaya yang bersama kami membina ikatan ini sejak 2001. Tidak pernah dia miss mana-mana produksi Mekar dalam Pekan/ Festival Teater. Macam-macam kerja dia dah buat, daripada krew belakang pentas hinggalah sebagai SM, semua kerjanya tip-top sebab dia cekap menerima dan memberi arahan. Jadi pada produksi kali ini dan saya harap produksi Mekar Budaya seterusnya, saya setuju bahawa selain saya dan Nasri, Intan adalah orang yang layak memberikan arahan di dalam kumpulan ini, kerana dia ada rank sebagai orang lama. Terima kasih Intan, kak Lenny terharu sangat dan mudah-mudahan mulut pompuan mengandung ni ada masinnya hahahaha .....
Seterusnya kepada Natrah, Nina, Simon, Nizam dan KC. Mereka ini orang yang turun naik pentas mengerjakan segala benda berkaitan set dan lampu. Saya lihat mereka bersungguh-sungguh membantu menjayakan produksi ini hingga saat akhir. Natrah sanggup datang dari Kelantan dan menginap di sebuah lokasi rahsia secara curi hahahahaha .. demi nak menjaga efek bunyi serta melakukan kerja-kerja tambahan di atas pentas tanpa bayaran OT. Nina sanggup meluangkan masa-masa berharga yang sepatutnya digunakan untuk berehat kerana kerjanya saja sudah sangat sibuk, tetapi datang juga demi bersama kami. Malah sampai berhenti kerja dia kerana nak menjaga makan-minum dan kebajikan semua orang ... heheheheheheh .... Simon, sinografer saya dalam produksi Di Sebalik Pintu, ikut turun padang mencurahkan kreativitinya di atas pentas. Nasri cakap Simon ni memang pantas dan cekap kerjanya. Dengan kecekapan itu Simon banyak membantu meringankan kerja-kerja pembikinan set. DAN DIA PEREMPUAN OKEYYYY .........
Paling saya tak sangka adalah Nizam yang tiba-tiba muncul pada minit-minit terakhir untuk membantu. Walaupun ada peristiwa itu dan ini dengan Nizam ni, tetapi apabila orang memberi budi sepuluh, saya akan membalasnya seribu daya saya insya Allah. Terima kasih Nizam, ikhlas daripada hati kak Lenny. Jugak kepada KC, yang hanya sempat datang sehari kerana sudah mula bekerja di Seremban. KC datang pada hari sebelum show dan membantu memasang set di pentas, sayangnya pada hari show dia tak boleh ikut kerana perlu out-station. Kepada mereka ini semua, kamu ibarat kaki dan tangan Mekar Budaya, kalau kamu semua tak ada, mampus apa pun kak Lenny dan abang Nasri tak boleh buat. Terima kasih.
Seterusnya tibalah geng kuaytiaw hahahaha ... inilah nama saya berikan kepada pengurus panggung serta pameran kami yang terdiri daripada Isma, Farah, Farhana dan Oteng. Sebabnya apabila kami tanya nak makan apa, empat-empat ni serentak nak makan kuaytiaw hehehe .... Mereka berempat ni adalah bunga-bunga yang menyerikan panggung Mekar Budaya cewahhhh .... Mereka bekerja-keras mempersiapkan pameran dan urusan panggung. Apabila mereka ikut bum-in 9 Julai tu, saya dah mula tarik nafas lega yang amat sangat kerana mereka berempat benar-benar sudah meringankan kerja-kerja persiapan panggung. Mereka masuk saja saya dah tak perlu fikir pasal brosur ke, poster ke dan segala macam benda seumpamanya. Di sebalik itu, nasib baiklah juga "penipuan itu" berjaya dibongkar lebih awal. Kalau tidak, mereka akan jadi lebih penat. Penipuan apa? Tak payahlah cerita kat sini, nanti terumpat dan terkutuk pihak lain pulak. Biarlah kami sahaja yang tau hahahaha .... Jadi saya menumpahkan seluruh penghargaan dan terima kasih kepada mereka berempat yang ikut bertungkus-lumus menjayakan produksi ini.
Haa, jangan lupa kepada encik Malau Azam, manusia misteri yang membantu membuat poster kami serta melakukan publisiti dari jauh. Dia ni orang kuat Mekar Budaya juga kerana sejak 2007, semua produksi Mekar dia terlibat kecuali ada beberapa yang dia miss setelah memulakan profesionnya di Melaka. Terima kasih Malau, yang juga bersungguh-sungguh membantu kami bum-out malam itu. Jadi apabila ramai kaum Adam, maka kaum Hawa terselamat daripada mengangkat platform yang berat nak mampus tu.
Juga kepada sahabat saya Rime, orang yang bertanggungjawab membuyungkan perut Intan hahahahaha .... seperti Intan, dialah juga orang lama di dalam produksi ini. Jadi saya terharu ketika dia datang membantu pada malam sebelum show. Saya tahu kalau Rime ada kesempatan dia akan turun sepenuh masa tetapi dengan tanggungjawab kerjanya di Aswara sekarang dan malam pula berlatih teater Muzikal Tun Razak, jadi melihat dia datang juga pada malam 9 Julai itu dan stay sehingga tengah malam, benar-benar membuatkan saya menghargai ikatan persahabatan ini. Thanks Rime. Walaupun kau benci aku dan aku benci kau, tapi aku tau kau sayang aku dan aku sayang kau hahahahahaha .... jangan marah Intan, peribahasa aje tu...
And last but not least, adalah kepada pasangan gay yang saya kasihi dan sayangi hahahahahahhah ... Wazir dan Wan. Terima kasih kerana membuat kak Lenny bangga dan gembira. Kami berlatih sebulan, ia sungguh padat dan meletihkan - saya tahu. Sikap saya sudah agak tak keras seperti dulu tetapi saya lihat Nasri yang sangat garang dalam produksi ini. Tetapi saya puas hati untuk menyatakan bahawa persembahan kali ini lebih berhasil berbanding dulu. Saya selalu takut dengan re-stage, tetapi yang ini berjaya. Terima kasih Wazir dan Wan. Kalau ini adalah peperangan, kamu berdua adalah benteng terakhir Mekar Budaya. Semua orang sudah mempersiapkan peralatan senjata dan bergantung kepada kamu pada akhirnya dan alhamdulillah, kamu berdua sudah melakukan sebaik mungkin. Dulu kak Lenny selalu provoke kau berdua dengan tekanan untuk menang anugerah tetapi sebenarnya itu luaran saja. Saya hanya mahu mereka berdua menjadi matang dan bijak di atas pentas. Bukan untuk saya atau Nasri atau sesiapa, tetapi untuk diri mereka berdua. Sekarang saya nak beritahu mereka supaya tak perlulah fikir sangat pasal anugerah tu. Kalau dapat alhamdulillah, kalau tak dapat padan muka korang hahahahaha ..... Dan mereka berdua ni bukan hanya berlakon aje, mereka juga yang mengecat pentas dan menaik turunkan bar lampu itu tauuuuu.....
Saya juga ingin berterima kasih kepada individu-individu ghaib hehehehe .... seperti penterjemah skrip ini Puan Roselina Khir Johari yang banyak memberikan pendapat, nasihat dan cadangan bagi meningkatkan lagi persembahan. Juga cik Zulaikha Zahid dari Zoo Negara Malaysia yang menyatakan sokongan kepada Mekar Budaya Production bagi pihak Zoo Negara. Walaupun asalnya kami nak buat konsep Zoo meletopsss kat luar tu tetapi saya arahkan pembatalan di saat-saat akhir kerana beberapa sebab tertentu yang berkait dengan kisah "penipuan" yang saya sebut di atas tu hahahaha .... Lebih baik kami tumpukan kerja di dalam panggung daripada dok berangan buat zoo kat Taman Budaya wakakakakakakakkkk ....
Terima kasih sesungguh hati, seikhlas jiwa daripada kak Lenny dan abang Nasri kepada kamu semua. Entahlah dengan apa mahu membalasnya. Allah saja yang tahu. Ada masa-masa tertentu, saya berlegar ke seluruh kawasan panggung, memerhati mereka dari jauh di ruang tersembunyi - melihat geng kuaytiaw bersungguh-sungguh bekerja memasang pameran dan menyempurnakan keadaan panggung supaya penonton selesa, melihat Simon dan Nizam berkerut-kerut dahi memikir cara nak ikut arahan Nasri untuk touch-up set, melihat Adi turun naik dari pentas ke bilik teknikal setinggi langit tu serta berulang ke UO untuk beli barang sampai jatuh lubang, melihat Nina berulang-alik jumpa encik Hasmadi bertanya jam berapa makanan sampai, melihat Natrah sampai sakit kepala menjaga volume audio dengan saya pulak asyik suruh cancel dan tambah balik, memandang Intan yang asyik membebel menegur itu ini dalam gaya bakal ibu mithali, melihat Wan dan Wazir berlatih, berbincang, beriya-iya tetapi lepas run-through tetap kena maki juga .....
Dan mereka membuatnya bersungguh-sungguh. Setiap kali saya melihat mereka semua bekerja bersungguh-sungguh, saya tertanya-tanya dalam hati saya, mereka semua ni bekerja untuk apa? Tidak ada duit dijanjikan kerana ini adalah kerja festival, tidak ada jaminan kemenangan kerana semuanya di tangan juri. Jadi untuk apa mereka ini bekerja bersama kami? Saya pasti mereka semua tahu jawapannya.
Apabila saya kata hanya Allah saya yang membalasnya, saya berdoa sungguh-sungguh untuk itu. Mereka semua telah banyak memudahkan kerja dan meringankan perkara yang berat dalam urusan kami, saya yakin Allah akan memudahkan kerja dan meringankan perkara berat mereka juga pada satu hari nanti.
Bertanding itu perkara yang lain. Tetapi ikatan yang wujud dalam Mekar Budaya adalah yang paling berharga dalam kenangan ini. Terima kasih, tidak ada perkataan lain untuk mengungkapkannya.